Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Keistimewaan Bulan Ramadan: Amalan 10 Malam Terakhir Yang Mommy Perlu Kejar Tahun Ini

10 malam terakhir Ramadan amatlah istimewa kerana para muslimin dan muslimat akan bersama-sama mengejar kelebihan dan ganjaran pada malam tersebut, terutamanya malam Lailatulqadar. Terdapat banyak perbahasan serta hadis mengenai malam Lailatulqadar ini.

Ramai yang mengatakan hari ke 27 Ramadan merupakan malam Lailatulqadar, namun, ulama menyatakan bahawa setiap tahun, malam istimewa ini jatuh pada hari yang berbeza. Oleh sebab itu, adalah lebih afdhal untuk kita mengejar 10 malam terakhir bulan Ramadan ini dengan memperbanyakkan ibadah, terutamanya pada malam-malam ganjil.

Firman Allah SWT:

“Malam Al-Qadar lebih baik dari seribu bulan” (Al-Qadr : 2)

Tambahan pula, di malam ini jugalah Nabi S.A.W bersungguh-sungguh beribadat melebihi malam-malam Ramadhan yang lain. Disebutkan di dalam sebuah hadis:-

Adalah Nabi SAW, beribadat dengan (lebih) bersungguh dan kuat di sepuluh malam terakhir Ramadhan, tidak sebagaimana baginda di malam-malam yang lain”

( Riwayat Muslim, no 1175 )

Mari kita lihat kelebihan 10 malam terakhir ini di bawah.

Keistimewaan 10 Malam Terakhir 

Highlighted


Seperti yang dikatakan, malam Lailatulqadar adalah antara malam yang teristimewa pada 10 malam terakhir. Allah S.W.T menyuruh seluruh manusia untuk terus berdoa dan melakukan solat sunat untuk kesejahteraan hidup di dunia dan juga di akhirat kerana ini adalah saat-saat kemuncak makbul doa.
Allah S.W.T berfirman:

فَمِنَ النَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا وَمَا لَهُ فِي الآخِرَةِ مِنْ خَلاَقٍ

Maksudnya:
Maka di antara manusia ada orang yang berdoa: “Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia”, dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat ( Al-Baqarah : 200 )
Allah S.W.T juga memberi bentuk doa yang patut diamalkan, seperti:

وِمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Yang bermaksud:
“Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: “Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka” ( Al-Baqarah : 201 )
Bagaimana pula dengan wanita yang uzur pada 10 malam terakhir ini?

Bagi Wanita Uzur 

Untuk Mommy yang uzur antara malam-malam ini, jangan risau! Kerana Allah S.W.T. Maha Adil. Pelbagai amalan yang Mommy boleh lakukan seperti:
  • Berzikir
  • Berdoa
  • Membaca terjemahan Al-Quran dan menghayatinya
  • Mendengar ayat-ayat suci Al-Quran di YouTube ataupun bacaan daripada ahli keluarga
Terdapat beberapa amalan yang Mommy boleh amalkan pada 10 malam terakhir ini. Mari kita lihat dan amalkan!

Amalan Terbaik 10 Malam Terakhir Ramadhan

#1 Mandi, Berpakaian Bersih & Berwangi-wangian

Ia diriwayatkan oleh sahabat-sahabat Rasulullah, Anas bin Malik dan ulama pada masa Tabi’in bahawa mereka akan membersihkan diri dengan mandi, memakai baju bersih dan indah serta wangi-wangian apabila berada pada akhir Ramadan.

Segala apa yang dilakukan oleh Rasulullah, sahabat dan Tabi’in laksanakan untuk menyambut dan meraikan kedatangan Lailatulqadar.

Selain itu, mereka juga berdoa mendapatkan keampunan dan keberkatan malam yang penuh dengan kemuliaan itu. Kita pun harus lakukannya juga tau, Mommy!

Oleh itu, marilah kita berada dalam keadaan yang segar dan wangi semasa melakukan ibadah 10 malam terakhir Ramadan.

#2 Menunaikan Solat Sunat, Beriktikaf & Membaca al-Quran

Imam Bukhari meriwayatkan satu hadis daripada Aishah yang membawa maksud:

“Adalah Rasulullah apabila telah masuk 10 akhir daripada Ramadan, maka Baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan keluarganya dan mengikat pinggangnya.”

Ibadat yang biasa dilakukan pada malam Ramadan adalah

  • Tarawih
  • Witir
  • Membaca al-Quran

Solat berjemaah juga sangat diutamakan pada malam akhir Ramadan. Imam Malik dan Imam Syafie berkata:

“Siapa yang solat Isyak dan Subuh berjemaah pada malam Lailatulqadar, dia telah mengambil bahagiannya daripada malam itu.”

Ia membawa maksud, orang yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh saja dianggap telah mendapat sebahagian daripada Lailatulqadar, apa lagi mereka mengisinya dengan amalan lain sepanjang malam itu.

Teruskan beriktikaf ya Mommy, bahawa Rasulullah juga beriktikaf pada 10 hari akhir sampai Baginda wafat.

#3 Banyakkan Berdoa

Sekali lagi disebut untuk memperbanyakkan doa pada 10 malam terakhir. Kuasa berdoa amatlah hebat, Rasulullah juga bersabda doa adalah ‘otak’ segala ibadat. Tambahan pula, untuk pengetahuan Mommy, Aishah diperintahkan oleh Rasulullah untuk memperbanyak doa pada 10 malam terakhir Ramadan.

Pada malam-malam Lailatulqadar juga, Aishah diajar oleh Rasulullah untuk membaca doa.

Selain itu, doa yang paling utama pada malam Lailatulqadar adalah doa meminta keampunan segala dosa dan kemaafan daripada Allah S.W.T.

Doa yang boleh diamalkan adalah:

Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa’ fu anni

Yang bererti,

“Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, yang suka Maha Mengampun, maka ampunilah aku ini.”

Oleh itu, rebutlah peluang ini pada bulan Ramadan ini, Mommy. Ini adalah kerana bulan Ramadan hanya setahun sekali dan ganjarannya amatlah besar.

Jangan lupa ajak sekali keluarga Mommy untuk beribadah pada bulan Ramadan ini, tak kisah sama ada ketika sepertiga malam atau di siang hari seperti memperbanyakkan solat sunat Dhuha! Semoga amalan kita diterima dan diberkati.