Ibu, Bayi & Kanak Kanak

15 Acara Sukaneka Yang Pasti Menggamit Memori Anak-anak Tahun 90-an

Kanak-kanak tidak dinafikan lagi memang suka bermain, tak kira main secara bersahaja atau untuk pembelajaran. Selain itu, pelbagai jenis permainan juga boleh dijadikan acara sukaneka untuk kanak-kanak.

Permainan atau acara tersebut boleh digunakan sebagai aktiviti hari keluarga, ataupun hari sukan di sekolah jika anda seorang guru yang sedang mencari acara-acara sukaneka yang bersesuaian.

Walaupun aktiviti-aktiviti yang disenaraikan dibawah adalah untuk kanak-kanak, tapi kebanyakannya sesuai untuk orang dewasa juga jika ingin mengambil bahagian. Tentu lagi seronok kalau semua ahli keluarga dapat bermain bersama!

Teringat zaman kita seusia mereka dahulu – seronok sangat kalau ada family day atau hari sukaneka di sekolah bukan?

Jom tengok acara sukaneka yang seronok dan ringkas untuk kanak-kanak dan seisi keluarga dibawah.

15 Acara Sukaneka Untuk Kanak-Kanak Yang Selamat Dan Menyeronokkan

1. Membawa Bola Dengan Sudu

Highlighted

Sumber: mmea.gov.my

Aktiviti ini memang popular sejak dulu lagi sebagai acara sukaneka kanak-kanak mahupun orang dewasa. Selalunya bahan-bahan yang diperlukan hanyalah sebatang sudu, sama ada plastik atau besi, berserta bola ping pong.

Bola ping pong akan diletakkan di atas sudu, manakala sudu dipegang dalam mulut.

Untuk kanak-kanak yang lebih kecil, mungkin boleh memegang sudu tersebut daripada dibawa menggunakan mulut. Bola perlu dibawa dengan cara ini ke garisan penamat secepat mungkin untuk dikira pemenang.

2. Lari Dalam Guni

Credit: ibuayahdamia.blogspot.com

Acara yang klasik ini kerap digunakan sebagai acara sukaneka di seluruh pelosok dunia! Hanya dengan menggunakan guni, kanak-kanak perlu berlari didalamnya sehingga ke garisan penamat dan patah balik untuk diserahkan kepada ahli kumpulan lain pula.

3. Cari Gula-Gula Dalam Tepung

Credit: nanyfadhly.com

Kanak-kanak tentu suka acara sukaneka ini kerana menggunakan gula-gula.

Beberapa gula-gula disorokkan di dalam tepung dan peserta perlu mencari kesemua gula-gula atau jumlah gula-gula paling banyak menggunakan mulut dalam masa yang paling singkat untuk memenangi acara ini.

Tangan tidak boleh digunakan langsung ya. Permainan yang amat ringkas tetapi tentu masih kecoh dengan tepung yang berlumuran di muka kanak-kanak!

4. Makan Laju

Credit: iStock

Acara ‘makan laju’ melibatkan kanak-kanak atau peserta untuk memakan sesuatu hidangan, selalunya buah-buahan, dengan laju. Buah-buahan yang disediakan perlulah dari jenis yang selamat untuk kanak-kanak makan.

Acara ini dimenangi dengan kumpulan kanak-kanak yang berjaya menghabiskan semua buah-buahan dalam masa paling singkat. Berkhasiat sungguh acara ini!

5. Mengutip Kacang / Kulit Kacang

Sumber: parenting.firstcry.com

Untuk acara atau aktiviti ini, selalunya kacang atau kulit kacang (jika tidak mahu membazir) di taburkan di suatu kawasan atau taman.

Kanak-kanak perlu mengutip sebanyak kacang yang mungkin dalam sesuatu masa yang ditetapkan untuk memenangi acara ini.

6. Isi Air Dalam Botol Menggunakan Span

Sumber: akubiomed.com

Acara ‘Isi Air Dalam Botol Menggunakan Span’ amat mudah untuk dimainkan oleh kanak-kanak. Setiap kumpulan akan diberikan sebiji span yang perlu dimasukkan dalam baldi berisi air untuk menyerap air.

Kemudian peserta perlu berlari kedepan untuk memerah span kedalam sebuah botol yang besar, kemudian patah balik untuk rakan kumpulan lain membuat perkara yang sama.

Botol juga boleh hanya diletakkan ditepi baldi untuk kanak-kanak yang lebih kecil. Kumpulan yang dapat mengisi air paling banyak dalam masa tertentu akan menjadi pemenang.

7. Anyam Ketupat

Sumber: YouTube

Aktiviti ini walaupun sedikit sukar tetapi dapat mengasah dan menaikkan kreativiti kanak-kanak. Daun ketupat atau kertas anyaman akan diberikan kepada peserta pertama dalam sesuatu kumpulan.

Peserta pertama dikehendaki menyanyam ketupat mengikut kretiviti masing-masing. Setiap kali wisel ditiup, kanak-kanak tersebut perlu berikan ketupat tadi kepada rakan kumpulan lain untuk menyambung anyaman ketupat itu.

Pemenang dipilih mengikut yang paling kreatif.

8. Boling Kampung

Sumber: bidadari.my

Acara ini hampir sama dengan konsep sukan boling, cuma menggunakan bahan-bahan yang lebih ringkas. Tin-tin kosong disusun tiga tingkat dan kanak-kanak perlu menggunakan apa-apa jenis bola untuk ‘meruntuhkan’ tin-tin tersebut.

Kanak-kanak yang dapat menjatuhkan semua tin adalah pemenang.

9. Tiup Belon

Sumber: ohpida.blospot.com

Acara ‘Tiup Belon’ tentu akan membuat kanak-kanak berasa teruja! Setiap kanak-kanak akan meniup belon dan mengikatnya. Jika tak boleh ikat, boleh berikan tugasan ini kepada orang dewasa untuk setiap kumpulan.

Acara sukaneka ini dilakukan secara bergilir-gilir dengan ahli kumpulan yang lain. Pemenang ditentukan dengan jumlah belon terbanyak dan terbesar.

10. Lari Dalam Gelung Getah/ Gelung Rotan

Kebanyakan sukan di sekolah rendah atau tadika tentu ada acara sukaneka gelung getah yang menyeronokkan ini.

Hanya dengan menggunakan gelung getah, setiap kanak-kanak perlu berlari dengan menyarungkan dan memegang gelung getah dipinggang kemudian diserahkan kepada ahli kumpulan yang lain pula.

11. Tarik Bola Dengan Gelung Rotan/Gelung Getah

Sumber: YouTube

Lagi satu acara yang menyeronokkan yang menggunakan gelang getah ialah menarik bola dengan gelung getah atau rotan.

Kanak-kanak perlu menarik apa-apa jenis bola yang bersesuaian dengan gelung getah ke depan dan kembali, kemudian serahkan kepada ahli kumpulan lain untuk membuat perkara yang sama sehingga semua ahli kumpulan telah melakukannya.

12. Jalan Pening

Sumber: sgarul.wordpress.com

Untuk acara ini, setiap kumpulan kanak-kanak dikehendari berlari mengikut kon yang menghalang perjalanan mereka dengan berlari ke kiri kemudian ke kanan dan ke kiri semula untuk mengelak kon.

Setiap ahli kumpulan boleh mula berlari seorang demi seorang selepas wisel dibunyikan. Kumpulan mana yang habis awal dikira pemenang! Ia juga boleh dimainkan secara individu selain daripada berkumpulan.

13. Kerusi Muzik

Sumber: Facebook Taska Genius Pintar Ceria

Permainan kerusi muzik kerap dijumpai di pesta hari jadi, hari keluarga, dan apa-apa festa lain kerana amat mudah dan menyeronokkan.

Hanya perlu menyusun kerusi dalam bulatan mengikut jumlah kurang satu peserta. Kanak-kanak perlu berpusing atau berjalan mengelilingi kerusi sepanjang muzik dibunyikan.

Apabila muzik ditutup, kanak-kanak akan duduk di kerusi yang terdekat mereka. Seorang peserta tentu tidak akan dapat duduk kerana tak cukup kerusi, dan peserta tersebut akan disingkirkan.

Begitulah seterusnya, kerusi dikeluarkan satu per satu untuk mencari mangsa yang perlu disingkirkan seterusnya. Peserta terakhir yang dapat duduk di atas satu kerusi yang tinggal adalah pemenang.

14. Mekap-mekap (Solekan/Make-up)

Aktiviti ini perlu menggunakan alat solek dan terdapat pelbagai alat solek sekarang yang sesuai untuk digunakan untuk kulit kanak-kanak.

Cara memainkan acara ini adalah dengan memilih seorang rakan untuk menjadi model dengan duduk di kerusi yang disediakan.

Kanak-kanak atau ahli kumpulan lain akan datang seorang demi seorang untuk memakaikan mekap atau alat solek ke atas model tersebut. Mekap yang dihakimi paling cantik akan dikira sebagai pemenang.

15. Kepala Seimbang

Gunakan botol atau cawan plastik dan isi air sebanyak suku cawan. Letakkan atas kepala dan jalan hingga garis penamat. Mudah saja kan?

Tapi mungkin amat mencabar bagi kanak-kanak! Jika cawan atau botol tidak jatuh, akan dikira sebagai pemenang.

Sumber: emarieys.com

Mana-mana acara yang dipilih sama ada untuk hari keluarga, hari sukan, teambuilding, atau apa sahaja jenis aktiviti, semoga anda dan kanak-kanak terlibat akan mendapat keseronokan dan memori indah seperti kita sekarang daripada acara-acara tersebut.