Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Panduan Lengkap 10 Adab Membaca Al-Quran

adab membaca al-quran

Kredit gambar: Youtube @Yufid.TV - Pengajian & Ce

Al-quran adalah kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W. sebagai mukjizat. Al-quran mengandungi kata-kata Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W. melalui malaikat Jibril sebagai panduan seluruh umat manusia. Oleh itu, amatlah penting untuk kita sebagai hamba-Nya menitkberatkan adab membaca Al-quran.

Perkongsian kali ini akan berkongsi berkenaan adab membaca Al-quran yang perlu dijaga dan diikuti semasa membaca Al-quran.

Panduan Adab Membaca Al-quran

Highlighted

Kredit gambar: riwaqalquran.com

Membaca Al-quran tidak sama seperti membaca buku biasa kerana ianya adalah kalam Allah. Berikut adalah beberapa adab semasa membaca Al-quran iaitu:

#1. Niat Membaca kerana Allah

Niat atau nawaitu merupakan permulaan kepada sesuatu amal ibadat yang kita lakukan. Penting untuk kita letakkan niat membaca Al-quran adalah kerana Allah. Seperti yang disebut di dalam hadis yang tentang kepentingan niat. Hadis yang berbunyi:

Daripada Umar Al-Khattab RA:

“Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Sesungguhnya setiap amalan perbuatan adalah dinilai mengikut niat. Setiap orang dinilai dengan niatnya. Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasulnya maka hijrahnya dinilai mengikut niatnya menuju kepada Allah dan Rasulnya. Sesiapa yang berhijrah untuk mendapatkan dunia atau wanita untuk dikahwininya maka hijrahnya dinilai mengikut tujuan hijrah itu.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

#2. Pastikan Diri dan Pakaian Suci serta Bersih

Adab membaca Al-quran yang seterusnya ialah pastikan sebelum membaca Al-quran diri juga pakaian suci dan bersih. Kebersihan adalah separuh daripada iman.

Sudah cukup untuk menerangkan betapa penting kebersihan di sisi Allah. Berwudhuk sebelum membaca Al-quran adalah antara cara bersuci.

Oleh itu, pastikan sebelum membaca Al-quran, diri kita suci dari sebarang hadas dan berwudhuk terlebih dahulu.

#3. Menghadap Kiblat, Duduk dengan Sopan, Khusyuk dan Tenang

Adab menghadap kiblat ini ada disebut di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA yang berbunyi, Rasulullah S.A.W. bersabda:

إِنَّ لِكُلِّ شَيْءٍ سَيِّدًا، وَإِنَّ سَيِّدَ الْمَجَالِسِ قُبَالَةَ الْقِبْلَةِ

Maksudnya:

“Sesungguhnya bagi setiap sesuatu itu ada sayyidnya (penghulu) dan penghulu bagi setiap majlis adalah majlis yang menghadap ke arah kiblat”

Riwayat Al-Thabrani dalam Al-Mu’jam Al-Awsath (2354)

Selain itu, duduk dengan sopan, tenang dan membaca Al-quran dengan khusyuk juga merupakan adab yang perlu dititikberatkan semasa membaca Al-quran. Ini kerana, membaca Al-quran seolah-olah kita sedang berbicara dengan Allah.

#4. Tinggikan Kedudukan Al-Quran

Al-quran adalah kalam Allah dan juga mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W. Isi kandungan Al-quran adalah kata-kata Allah kepada manusia.

Oleh itu, sewajarnya kita meninggikan kedudukan Al-quran semasa membacanya. Sangatlah tidak beradab untuk meletakkan Al-quran pada kedudukan yang rendah.

Ianya seolah-olah menyamakan kedudukan Al-quran dengan buku-buku biasa.

#5. Membaca dengan Tajwid yang Betul dan Tartil

Selain itu, antara perkara lain yang perlu dititiberatkan semasa membaca Al-quran ialah membaca dengan tajwid yang betul dan tartil. Seperti yang disebut di dalam surah al-Muzammil ayat 4, Allah S.W.T. berfirman:

وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا

Maksudnya:

“dan bacalah Al-Quran dengan “Tartil”.”

Pentingnya untuk membaca dengan tajwid yang betul dan tartil kerana risau kesilapan dalam menyebut dan membaca boleh mengubah makna ayat Al-quran. Oleh itu, sentiasa perbaiki bacaan Al-quran kita.

#6. Menghayati Isi Kandungan Al-Quran

Seperti yang dinyatakan di atas, Al-quran adalah kata-kata Allah yang menjadi panduan kepada semua hamba-Nya.

Oleh itu, adalah amat dituntut untuk kita menghayati dan memahami isi ayat yang dibaca.

Apabila kita menghayati dan memahami ayat yang dibaca, segala nasihat dan peringatan yang diberikan akan memberi kesan kepada diri kita.

#7. Membaca Taawuz antara Adab Membaca Al-Quran

Bukan itu sahaja, kita juga dianjurkan untuk memulakan bacaan dengan membaca taawuz. Taawuz membawa maksud meminta perlindungan dan keselamatan dari Allah. Bacaan taawuz adalah seperti di bawah:

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Maksudnya:

“Aku memohon perlindungan dengan Allah daripada syaitan yang direjam.”

(Riwayat al-Bukhari (1319))

Walaupun hukumnya adalah sunat namun, tiada salahnya untuk kita memulakan bacaan dengan lafaz taawuz bukan? Pahala dapat perlindungan dari Allah pun dapat.

#8. Menutup Aurat antara Adab Membaca Al-Quran

Di samping itu, adalah amat digalakkan untuk mereka yang membaca Al-quran untuk menutup aurat. Al-quran adalah kalam Allah yang mengandungi perintah Allah kepada manusia.

Oleh itu, menutup aurat semasa membaca Al-quran adalah sebagai satu cara untuk memuliakan Al-quran.

#9. Membaca doa Selesai Membaca Al-Quran

Adab membaca Al-quran yang seterusnya ialah membaca doa selesai membaca Al-quran. Selepas menyucikan hati dengan membaca dan memahami isi ayat A-quran berdoalah dan mintalah dari Allah apa yang kita inginkan.

InsyaAllah, Allah akan makbulkan permintaan kita.

#10. Membaca dengan Suara Perlahan

Adab membaca Al-quran yang terakhir adalah membaca dengan suara yang perlahan. Seperti yang diriwayatkan oleh ‘Uqbah Ibn ‘Amir Al-Juhani RA, Rasulullah S.A.W. bersabda:

الْجَاهِرُ بِالْقُرْآنِ كَالْجَاهِرِ بِالصَّدَقَةِ، وَالْمُسِرُّ بِالْقُرْآنِ كَالْمُسِرِّبِالصَّدَقَةِ

Maksudnya:

“Seseorang yang menjaharkan Al-Quran (membacanya dengan suara yang kuat) adalah sama seperti seorang yang bersedekah secara terang-terangan dan seseorang yang membaca Al-Quran secara perlahan adalah sama seperti seorang yang bersedekah secara sembunyi sembunyi”

Riwayat Abu Daud (1333)

Namun, tiada salahnya jika ingin menguatkan suara semasa membaca Al-quran sekiranya ingin menghindari sifat malas, rasa mengantuk dan untuk menguatkan hafalan seperti ayat di bawah.

Imam Ibn Qudamah kemudiannya berkata:

ولا بأس بالجهر في بعض الأوقات لمقصود صحيح، إما لتجويد الحفظ، أوليصرف عن نفسه الكسل والنوم، أو ليوقظ الوسنان

Maksudnya:

“Tidak mengapa menjaharkan (menguatkan) bacaan pada sebahagian waktu dengan tujuan yang betul. Sama ada dengan tujuan untuk menguatkan hafalan, atau untuk menghindari sifat malas dan juga tidur, atau untuk menyegarkan diri dari perasaan mengantuk.”

Rujuk Mukhtasar Minhaj Al-Qashidin (1/44)

Kesimpulannya, membaca Al-quran dengan penuh adab menandakan penghormatan kepada Al-Quran kerana kemuliaan dan ketinggiannya sebagai kalam Allah.

Banyak kelebihan membaca Al-quran ini. Sesiapapun yang membaca satu huruf sekalipun akan diberi ganjaran pahala. Oleh itu, selamat membaca dan selamat beramal!


Dapatkan info dan panduan ibadah yang lain di SINI!