Ibu, Bayi & Kanak Kanak

5 Kebaikan Air Kelapa Untuk Ibu Hamil

Sumber: Adobe Stock

Negara Malaysia yang beriklim tropikal sangat kaya dengan pokok-pokok kelapa, dan ia menjadi sesuatu yang dicari-cari bukan sahaja dari kalangan pelancong, tetapi juga penduduk tempatan. Air kelapa memang popular dengan kebaikannya, termasuklah kebaikan air kelapa untuk ibu hamil.

Minuman tropikal yang amat lazat ini sering dijadikan minuman manis di tepi pantai atau selepas bersenam, tanpa memerlukan perasa atau pewarna tambahan.

Tambahan pula, disebabkan air kelapa datang dari jus di dalam kelapa dan bukan dari isi putihnya, ia mengandungi banyak nutrien tanpa dos lemak tepu yang tinggi yang sering didapati dalam banyak makanan berasaskan kelapa.

Bolehkah Ibu Hamil Minum Air Kelapa?

Tentu sekali! Biasanya, makanan yang termasuk dalam senarai makanan terlarang untuk wanita hamil adalah makanan yang berpotensi untuk berlakunya pertumbuhan bakteria berbahaya. Atas sebab ini, banyak ibu-ibu yang tertanya-tanya jika air kelapa, sama ada yang segar atau yang dipasteurisasi adalah selamat diminum.

Highlighted

Sumber: Getty Images

Bagi air kelapa segar, asalkan biji kelapa tersebut baru dibelah, ia adalah selamat untuk dimininum. Ibu disarankan agar menyimpannya di dalam peti sejuk untuk memastikan kesegaran yang berpanjangan. Elakkan mengambil air kelapa yang telah terdedah pada suhu bilik terlalu lama.

Jika air kelapa di beli dipasaran yang telah dibungkus secara komersial, ia juga selamat untuk diminum kerana telah dipasteurisasikan untuk memastikan keselamatannya bagi ibu hamil. Sama seperti air kelapa segar, pastikan ia tidak terdedah pada suhu bilik terlalu lama untuk mengelakkan pembiakan bakteria.

Air kelapa mungkin tidak sesuai jika ibu hamil mempunyai penyakit kronik, sedang melalui kehamilan berisiko tinggi, atau mempunyai diabetes kehamilan (gestational diabetes). Bincang dengan doktor Ibu jika mempunyai kebimbangan tentang pengambilan air kelapa.

5 Kebaikan Air Kelapa Untuk Ibu Hamil

Air kelapa bukan sahaja sedap dan menyegarkan, ia juga mengandungi banyak nutrisi penting dan mungkin mempunyai kebaikan khusus buat ibu hamil seperti berikut.

1. Menggantikan Elektrolit Yang Hilang Kerana Morning Sickness

Walaupun bukan semua ibu hamil akan mengalami morning sickness atau alahan mengandung, tetapi kalau terjadi memang boleh menganggu emosi ibu hamil. Bukan itu sahaja, alahan mengandung kerap mengakibatkan ibu hamil untuk muntah-muntah, justeru membuatkan ibu hamil kehilangan elektrolit yang penting untuk tubuh badan.

Sumber: Getty Images

Elektrolit dari air kelapa dapat membantu menstabilkan sistem tubuh badan Ibu. Tambahan pula, ibu hamil yang mempunyai hiperemesis gravidarum, iaitu bentuk alahan mengandung yang paling teruk, sering memerlukan elektrolit tambahan untuk menampung kehilangan elektrolit akibat muntah berlebihan.

2. Menghidrat Dan Mengembalikan Cecair Yang Hilang

Air kelapa mempunyai kandungan air tulen sebanyak 95%! Ia boleh menjadi pilihan untuk pengambilan cecair harian untuk mengekalkan tahap hidrasi tubuh badan Ibu. Ia juga boleh mengembalikan apa-apa cecair yang hilang dari tubuh badan, sama ada melalui peluh, kencing, dan juga muntah dari alahan mengandung, sama seperti meminum air kosong.

Air kelapa mampu berfungsi seperti air kosong dengan memberi perasa tanpa gula tambahan. Walau bagaimanapun, jangan minum berlebihan kerana meminum air kosong masih penting dan diperlukan oleh badan.

3. Boleh Mengurangkan Refluks Asid

Semasa hamil, keadaan refluks asid memang sering berlaku disebabkan oleh perkembangan dan pertumbuhan bayi di bahagian abdomen Ibu. Tambahan pula, hormon progesteron melonggarkan injap perut dan jus gastrik boleh menggelembung ke kerongkongan, menyebabkan rasa tidak selesa dan banyak bersendawa.

Sumber: Getty Images

Air kelapa dapat membantu melegakan refluks asid ini dan menenangkan atau mengurangkan rasa tidak selesa tersebut. Ramai ibu yang pernah hamil mendakwa air kelapa dapat menghilangkan refluks asid terus, tapi masih banyak kajian kukuh yang diperlukan untuk membuktikan tuntutan ini.

4. Mengandungi Nutrien Penting Untuk Perkembangan Bayi

Sebagai ibu hamil, tentu macam-macam ilmu yang Ibu kumpul untuk memastikan perkembangan optimum bayi dalam kandungan. Secara umumnya, ibu hamil perlu mengambil vitamin pranatal seperti yang disyorkan oleh doktor, dan ini boleh ditambahkan dengan pengambilan air kelapa yang megandungi mikronutrien seperti kalsium, potasium, dan magnesium.

Semasa mengandung, suplemen magnesium dikaitkan dengan peningkatan berat badan kelahiran dan pengurangan risiko preeklamsia. Kalsium pula sangat penting untuk pertumbuhan tulang dan gigi.

Potasium terkenal untuk membantu aliran darah dan tekanan darah, jadi ia sesuai bagi ibu hamil yang mempunyai tekanan darah tinggi semasa hamil.

Walaubagaimanapun, air kelapa hanya mengandungi sejumlah kecil mineral ini, dan Ibu masih perlu mengambil pemakanan yang seimbang dan berkhasiat lain untuk kesihatan Ibu dan bayi dalam kandungan.

5. Minuman Terbaik Selepas Bersenam

Sumber: Getty Images

Ibu tentu tahu bahawa senaman adalah sangat baik dan diperlukan untuk ibu hamil. Jangan elakkannya kerana khuatir tidak elok untuk bayi dalam kandungan! Asalkan Ibu tidak membuat senaman yang terlalu ekstrem dan hanya membuat senaman ringan yang dapat mengeluarkan peluh sudah memadai.

Kajian mendapati bahawa air kelapa setanding dengan air kosong untuk memulihkan hidrasi selepas bersenam. Malah, ia menawarkan penghidratan yang lebih lengkap berbanding dengan air kosong kerana mengandungi sedikit natrium.

Air kelapa dapat menghasilkan rehidrasi yang menyegarkan setelah melakukan senaman kehamilan yang berpanjangan, seperti berjalan atau berenang.

Disebabkan air kelapa mengandungi elektrolit dan beberapa karbohidrat, ia juga dapat membantu penghidratan yang seimbang.

Sumber: Adobe Stock

Seperti semua makanan dan minuman lain, apa yang terbaik ialah pengambilannya secara moderasi atau bersederhana. Terutamanya bagi air kelapa, jika Ibu membeli air kelapa yang dikeluarkan secara komersial, berapa jenama mungkin dilengkapi dengan pemanis tambahan yang boleh menyebabkan kenaikan berat badan berlebihan semasa hamil.

Ia boleh menjadi masalah jika Ibu sedang memantau pengambilan gula kerana diabetes kehamilan. Untuk pilihan yang paling sihat, minumlah air kelapa tanpa gula tambahan, dan kalau boleh beli air kelapa yang segar memandangkan negara kita mampu mengeluarkannya secara semulajadi.

Perlu diingati juga, jika apa yang Ibu sedang mencari ialah minuman yang paling menghidratkan, air kosong masih menjadi pilihan utama kerana tidak mempunyai kalori, gula, atau karbohidrat.

Semoga bermanfaat.