Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Apa Yang Ibu Hamil Perlu Tahu Tentang Air Ketuban Banyak

Sumber: Adobe Stock

Ibu yang sedang mengandung tentu sudah mempunyai banyak pengetahuan tentang kehamilan dan proses bersalin.

Tetapi kadang-kala Ibu mungkin terlepas pandang beberapa perkara yang tak banyak orang bincangkan, terutamanya perkara-perkara yang jarang berlaku semasa hamil. Salah satu daripadanya ialah air ketuban banyak.

Bayi dalam kandungan Ibu dikelilingi oleh air ketuban.

Air ketuban ini terkandung dalam satu kantung di dalam rahim. Air ketuban berfungsi untuk membantu perkembangan janin, memberi keselesaan pada bayi dalam rahim, dan memastikan suhu dalam rahim untuk bayi adalah bersesuaian.

Highlighted

Sumber: longlonglife.org

Keadaan apabila air ketuban banyak atau cecair amniotik yang berlebihan semasa hamil dipanggil ‘polyhydramnios’.

Setiap kali Ibu berjumpa dengan doktor pakar sakit puan, salah satu rutin yang akan diperiksa oleh doktor ialah mengukur jumlah cecair amniotik dalam rahim. Terdapat dua cara untuk mengukur jumlah cecair tersebut.

Cara Doktor Mengukur Kuantiti Air Ketuban

  • Amniotic Fluid Index (AFI)

Kaedah Amniotic Fluid Index (AFI) (Sumber: fetalultrasound.com)

Yang pertama ialah Amniotic Fluid Index (AFI) di mana jumlah cecair diukur dalam empat poket berbeza di kawasan tertentu di dalam rahim. Bacaan AFI biasa adalah dalam lingkungan lima hingga 24 sentimeter.

  • Mengukur Kantung Cecair Paling Dalam

Cara yang kedua ialah dengan mengukur kantung cecair yang paling dalam di dalam rahim. Ukuran lebih dari 8cm akan di diagnos sebagai ‘polyhydramnios’.

Mengukur kantung cecair paling dalam. (Sumber: fetalultrasound.com)

Ia juga bergantung kepada sejauh mana Ibu berada dalam kehamilan, kerana tahap cecair amniotik akan meningkat sehingga trimester ketiga, kemudian menurun semula.

Secara umumnya, air ketuban akan di diagnos sebagai ‘polyhydramnios’ apabila bacaan AFI adalah lebih daripada 24cm atau kantung dalam rahim paling dalam melebihi 8cm.

Ini semua diperiksa melalui imbasan ultrasound, dan keadaan ‘polyhydramnios’ atau air ketuban banyak hanya berlaku dalam 2% kehamilan sahaja.

Punca Air Ketuban Banyak

Polyhydromnias atau air ketuban berlebihan secara kebiasaannya berpunca daripada salah satu atau gabungan beberapa punca berikut:

1. Kecacatan Fizikal Pada Janin

Kecacatan pada janin secara fizikal atau fisiologikal seperti kecacatan saraf tunjang atau sistem pencernaan tersumbat boleh menyebabkan air ketuban banyak.

Ini kerana bayi tersebut tidak berkeupayaan untuk menelan air ketuban dengan sempurna, mengakibatkan air ketuban banyak.

2. Mengandung Anak Kembar

Air ketuban berlebihan boleh juga berlaku jika Ibu sedang mengandungkan anak kembar. Keadaan yang mungkin berlaku ialah satu kembar mempunyai cecair amniotik yang sedikit manakala yang satu lagi pula terlalu banyak.

3. Diebetes Kehamilan Atau Gestational Diebetes

Tahap glukosa dalam darah yang tinggi juga boleh mengakibatkan pengeluaran atau pembentukan cecair amniotik yang berlebihan. Ini boleh berlaku apabila ibu mengandung mempunyai diabetes kehamilan atau kencing manis.

4. Janin Yang Menghadapi Anemia Atau Darah Tidak Sama

Air ketuban boleh jadi berlebihan apabila janin menghadapi anemia. Ini termasuklah ketidaksesuaian Rh, iaitu keadaan apabila ibu dan anak dalam kandungan mempunyai jenis darah yang berbeza, seperti ibu mempunya jenis darah Rh negatif manakala bayi adalah Rh positif.

5. Kecacatan Genetik Atau Jangkitan

Jika bayi dalam kandungan mempunyai kecacatan genetik atau jangkitan dalam cecair aminiotik, ia boleh mengakibatkan pembetukan air ketuban yang berlebihan juga.

Air ketuban berlebihan juga boleh berlaku tanpa apa-apa sebab seperti yang disebut di atas tadi.

Bagi sesetengah ibu hamil yang sedang melalui keadaan polyhydramnios, doktor pakar sakit puan tidak dapat menentukan punca yang sahih. Ini terutamanya berlaku jika kes polyhydramnios tersebut adalah ringan dan tidak membawa ancaman.

Apakah Risiko-Risiko Jika Air Ketuban Banyak?

Risiko polyhydramnios akan berbeza-beza dari satu kehamilan ke kehamilan yang lain. Ia selalunya akan bergantung kepada sejauh mana Ibu berada dalam kehamilan dan berapa teruk keadaan polyhydramnios tersebut.

Antara risiko berkaitan dengan polyhydramnios yang lebih parah adalah:

  • risiko posisi bayi dalam kandungan songsang atau breech, kerana dengan lebih banyak cecair, bayi mungkin menghadapi masalah untuk turun
  • risiko prolaps tali pusat bayi dimana tali pusat boleh tergelincir keluar dari rahim dan memasuki faraj sebelum dilahirkan
  • peningkatan risiko komplikasi pendarahan selepas kelahiran
  • air ketuban pecah terlalu awal atau secara pramatang yang boleh mengakibatkan kelahiran bayi pramatang
  • peningkatan risiko gangguan plasenta dimana plasenta berpisah dari dinding rahim sebelum kelahiran bayi

Ibu yang sedang hamil juga mungkin mengalami risiko air ketuban pada diri sendiri seperti kesukaran bernafas, bengkak kaki, sembelit, rasa kontraksi terlalu awal, dan juga heartburn.

Sumber: Getty Images

Ujian Dan Rawatan Polyhydramnios

Jika doktor sakit puan Ibu mengesyaki Ibu mempunyai masalah polyhydramnios, selalunya doktor akan  membuat ujian melalui imbasan ultrasound dahulu dan mengenalpasti bacaan AFI.

Kemudian doktor akan membuat ujian dengan lebih terperinci untuk memastikan bayi dalam kandungan tidak mempunyai apa-apa masalah yang abnormal.

Pada kebiasaannya, kes-kes air ketuban berlebihan yang ringan atau sederhana tidak memerlukan apa-apa rawatan intensif kecuali mengawasi perkembangan kehamilan sahaja.

Ujian-ujian yang biasa dilakukan jika kes air ketuban berlebihan mungkin parah adalah seperti:

  • ujian glukosa dalam darah
  • ujian sampel cecair untuk mengesan kecacatan bayi
  • ujian kadar jantung bayi untuk memeriksa sebarang keabnormalan
  • imbasan ultrasound Doppler yang lebih kuat untuk melihat sistem peredaran darah bayi
Sumber: Adobe Stock

Jika Ibu mengalami keadaan ini, doktor akan membuat ujian-ujian ini dan pemantauan bayi dengan lebih kerap untuk memastikan keadaan tidak melarat.

Doktor juga mungkin akan mencadangkan kelahiran melalui pembedahan Cesarean untuk mengelakkan komplikasi.

Walau bagaimanapun setiap rawatan dan cadangan akan bergantung kepada individu dan keparahan setiap kes.

Seeloknya Ibu perlu berbincang dengan doktor pakar sakit puan Ibu sendiri jika Ibu rasa Ibu sedang mengalami air ketuban banyak atau berlebihan.

Ibu boleh baca artikel disini untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang tanda-tanda air ketuban pecah. Semoga artikel ini bermanfaat bagi ibu-ibu yang sedang hamil.