Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Air Ketuban Pecah: Fahami Salah Satu Tanda Akhir Kelahiran Ini

air ketuban pecah

Kredit: hellodoktor.com

Kehamilan adalah salah satu pengalaman yang paling terindah buat seseorang wanita. Walaupun bakal ibu tak sabar nak jumpa si kecil buat kali pertama, bakal ibu pasti akan rindu detik-detik manis kehamilan seperti bayi bergerak-gerak di dalam rahim.

Banyak pengetahuan yang perlu dipelajari tentang kehamilan dan proses kelahiran, terutamanya buat bakal ibu yang sedang berbadan dua buat pertama kali.

Bakal ibu tentu sudah tahu tentang air ketuban pecah kan? Kalau bukan informasi yang bakal ibu dapati dari membaca artikel-artikel lain, drama-drama dalam TV pun selalu menggambarkannya.

Tapi apa maksud sebenarnya bila dikatakan air ketuban “pecah”?

Bayi dalam kandungan Ibu dikelilingi oleh air ketuban. Air ketuban ini terkandung dalam satu kantung di dalam rahim.

Air ketuban berfungsi untuk membantu perkembangan janin, memberi keselesaan pada bayi dalam rahim, dan memastikan suhu dalam rahim untuk bayi adalah bersesuaian.

Highlighted

Sumber: Wikipedia

Biasanya kantung tersebut akan pecah sejurus sebelum proses bersalin. Kadang-kala ia boleh berlaku semasa bersalin.

Ada juga yang pecah sebelum kontraksi bermula, dan ini dipanggil premature rupture of membranes (PROM), atau pemecahan selaput pramatang, selalunya sebelum minggu ke 37.

Tetapi PROM jarang berlaku dan hanya terjadi dalam 10% kelahiran.

Dalam kebanyakan kehamilan dan kelahiran, air ketuban akan pecah selepas kontraksi berlaku.

Tanda-Tanda Air Ketuban Telah Pecah

Setiap wanita akan melalui pengalaman air ketuban pecah yang berbeza-beza. Ada yang akan pecah secara dramatik, ada yang mengalir secara perlahan saja.

Bagi saya yang pernah mengalami kehamilan satu kali, air ketuban pecah apabila kontraksi sudah bermula dan ia berlaku sewaktu saya sedang duduk di dalam wad bersalin.

Air ketuban tersebut mengalir dengan mendadak. Jadi macam mana nak tahu air ketuban dah pecah?

1. Kebocoran air ketuban tidak terkawal.

Apabila air ketuban pecah, seperti yang disebut tadi, banyak air ketuban yang boleh keluar atau pun mengalir secara perlahan sahaja.

Jumlahnya bergantung kepada cara kantung air ketuban tersebut pecah, sama ada terkoyak sedikit atau betul-betul pecah habis (bayangkan macam belon berisi air!).

Sekiranya kantung air ketuban pecah di bawah kepala bayi, maka banyak cecair yang akan keluar, tetapi kalau pecah di bahagian atas rahim, maka cecair tersebut akan mengalir mungkin lebih perlahan sedikit.

Yang pasti, dalam kedua-dua kes, aliran air tersebut tidak boleh dikawal, tak seperti air kencing sebab Ibu masih boleh ‘tahan kencing’ kan?

Apabila air ketuban pecah, jumlah air yang keluar pun lebih banyak daripada air kencing, dalam dua atau tiga kali ganda.

2. Ingat C.O.A.T.

COAT ialah akronim bagi colour (warna), odour (bau), amount (jumlah), dan time (masa). Pada kebiasaannya, air ketuban akan berwarna jernih dan sebenarnya tidak berwarna.

Kalau ada warna pun mungkin sedikit kekuningan sahaja. Baunya pula adalah tidak berbau. Jauh sama sekali dengan bau air kencing.

Kalau ada bau, mungkin itu tanda-tanda jangkitan. Jumlah air ketuban seperti yang disebutkan tadi adalah sangat banyak, dan lebih banyak daripada air kencing.

Yang terakhir ialah masa, di mana air ketuban akan selalunya berlaku selepas kontraksi bermula, atau pun betul-betul sebelum bersalin.

Sumber: Getty Images

3. Terasa tekanan yang tidak menyakitkan.

Sesetengah bakal ibu boleh merasa sedikit tekanan ketika air ketuban pecah.

Ada juga yang katakan mereka boleh dengar bunyi air ketuban ‘meletup’, disusuli dengan kebocoran air ketuban tersebut.

Mungkin ini perasaan diminda sahaja, tapi naluri ibu memang kuat dan selalunya betul!

Yang pasti, tekanan atau bunyi tersebut tidak menyakitkan.

4. Tidak melekit dan tebal seperti keputihan.

Keputihan boleh nampak macam putih susu tapi ada juga yang jernih.

Sesetengah bakal ibu mungkin menganggap air yang keluar itu, terutama sekali kalau keluar secara perlahan, sebagai keputihan.

Tetapi bakal ibu perlu ingat yang keputihan atau vaginal discharge bersifat lendir dan tebal, tidak macam air ketuban.

Apa Yang Berlaku Apabila Air Ketuban Pecah?

Air ketuban terdiri daripada nutrien, hormon, dan antibodi. Air ketuban mula terkumpul sewaktu 12 hari selepas pensenyawaan.

Ibu tahu tak, bayi dalam kantung air ketuban meminum air ketuban itu dan juga kencing di dalamnya!

Air ketuban ini jugalah yang membantu dengan perkembangan paru-paru, sistem pencernaan, dan juga sistem muskuloskeletal, iaitu tulang, otot, tendon, ligamen, dan tisu lembut.

Tapi selepas bayi dalam kandungan mencecah usia 23 minggu, bayi itu tidak terlalu bergantung kepada air ketuban untuk hidup.

Sebaliknya, mereka akan menerima nutrien dan oksigen dari plasenta ibu. Pada waktu ini, air ketuban hanyalah berfungsi untuk memberi keselesaan kepada bayi dalam kandungan.

Sekiranya kantung tersebut pecah, bayi akan terdedah kepada jangkitan dan risiko lain.

Berapa lama bayi boleh hidup bila tiada air ketuban pula bergantung kepada beberapa faktor.

Sesetengah bayi boleh hidup beberapa minggu dengan kawalan rapi dan rawatan oleh doktor pakar sakit puan, tetapi kebarangkalian besar bayi akan lahir secara pramatang.

Kalau usia kehamilan atau bayi dalam kandungan sudah mencecah minggu 37, kebarangkalian besar kelahiran akan bermula dalam masa 48 jam.

Langkah Seterusnya

Selepas mengenalpasti dan mengesahkan tanda-tanda air ketuban telah pecah, kalau bakal ibu sudah berada di hospital, boleh maklumkan staf di hospital.

Jika bakal ibu masih berada di rumah dan sebelum ini sudah dikategorikan sebagai kehamilan risiko tinggi, bakal ibu perlulah bergegas ke hospital dengan kadar segera.

Bakal ibu juga perlu bergegas ke hospital kalau air ketuban pecah sebelum minggu ke 37.

Sumber: Getty Images

Selepas 37 minggu dan jika air ketuban pecah, proses bersalin akan selalunya bermula dalam masa 24 jam.

Apa yang sering berlaku ialah bakal ibu akan diberikan pilihan untuk menggalakkan proses kehamilan, atau dikenali sebagai induce labor, menggunakan pitocin atau kaedah lain yang mungkin akan dicadangkan oleh doktor pakar sakit puan ibu.

Setelah membuat keputusan, doktor sakit puan akan menentukan jika bayi sudah bersedia untuk keluar dengan memeriksa kedudukan atau posisi bayi, status kesihatan ibu dan bayi dalam kandungan, dan faktor-faktor risiko lain.

Buat ibu-ibu yang sudah dekat due date tu, Motherhood sarankan anda sudah bersiap sedia dengan beg hospital yang lengkap dengan barang-barang asas agar mudah untuk terus ke hospital nanti.