Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Benarkah Air Selusuh Membantu Memudahkan Proses Bersalin?

air selusuh untuk ibu hamil

Sumber: istockphoto

Air selusuh sememangnya sinonim dengan ibu hamil dan proses melahirkan.

Menurut kata orang tua, air selusuh dapat membantu untuk memudahkan dan mempercepatkan proses bersalin.

Betul ke?

Ada yang menyokong pendapat ini dan ada yang tidak. Namun menurut sains, masih tidak ada lagi kajian klinikal yang dapat membuktikan keberkesanan air selusuh ini dalam memudahkan proses bersalin.

Jadi anda harus mengamalkannya ataupun tidak ya? Bila dah timbul pelbagai pandangan macam ni, jadi keliru pula kan?

Air apa sebenarnya air selusuh ni?

Apakah Itu Air Selusuh?

Air selusuh adalah air yang dibacakan ayat-ayat suci Al-Quran, yang bertujuan untuk memudahkan proses bersalin.

Namun terdapat juga sesetengah air selusuh yang dibacakan mantera atau jampi serapah yang berkemungkinan tidak selari dengan ajaran agama Islam.

Selain daripada itu, ada juga air selusuh yang dimasukkan dan direndam akar kayu, herba dan bahan-bahan lain yang dipercayai dapat mempercepatkan pembukaan pintu rahim dan menyebabkan kontraksi.

Adakah Ia Sesuai Untuk Diamalkan?

Menurut pegawai perubatan Obstetrik dan Ginekologi di Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak, air selusuh yang dicampurkan bahan-bahan ke dalamnya mungkin kurang sesuai untuk diminum dan diamalkan.

Ini adalah kerana kita tidak jelas tentang bahan kimia yang terdapat di dalam bahan-bahan itu. Banyak persoalan yang harus timbul.

Seberapa banyak dosnya? Apakah sesuai untuk setiap individu dan keadaan bayi yang dikandung? Kandungannya boleh menyebabkan sebarang kesan sampingan tak?

Oleh kerana masih tiada kajian tentang kesan air selusuh kepada ibu hamil dan bayi, kita tidak boleh menjawab mana-mana persoalan ini dengan jelas.

Campuran bersama bahan-bahan lain inilah yang merisaukan sebenarnya.

Sebagai contoh, antara bahan yang dicampurkan ke dalam air selusuh adalah akar Fatimah.

Ia juga turut dikenali sebagai Rumput Fatimah/Rose of Jericho atau Sanggul Fatimah. Akar ini dipercayai mengandungi bahan yang dapat merangsang proses bersalin.

Apabila darah awal bersalin telah keluar, air ketuban telah pun pecah ataupun tanda-tanda awal bersalin yang lain berlaku, ibu hamil disarankan untuk meminum air selusuh ini. Selain itu, sapukan juga di kawasan perut dan rahim.

Mengapakah Air Selusuh Dikatakan Berbahaya?

Highlighted

Sumber: istockphoto

Terdapat kajian yang mendapati bahawa bahan yang digunakan dalam pembuatan air selusuh akan bertindak balas seperti hormon oksitosin, iaitu menyebabkan kontraksi pada rahim ibu.

Sememangnya, jumlah dan kesannya kepada individu dan kandungan tidak dijelaskan dengan terperinci. Bayangkan jika dosnya berlebihan ataupun keadaan ibu dan bayi tidak sesuai untuk menerimanya?

Masalah kesihatan yang lain mungkin terjadi dan kandungan akan terancam. Agak berisiko, bukan?

Bukan itu sahaja ya, pengambilan air selusuh dikatakan berbahaya kerana mengganggu proses berpuasa ibu hamil.

Seperti yang dinyatakan Dr. Muhammad Izzat, ibu hamil yang telah memasuki fasa aktif bersalin akan disuruh berpuasa supaya apabila berlakunya kecemasan, pembedahan boleh dilakukan dengan segera.

Sudah tentunya pengambilan air selusuh akan mengganggu proses ini kan?

Malah terdapat juga kes ibu hamil yang terpaksa dibedah kerana mengalami kesakitan yang melampau selepas meminum air selusuh.

Berdasarkan pengalaman beliau juga, kebanyakan ibu hamil yang mengamalkan air ini meracau akibat sakit yang teramat.

Jika dinilai, agak menggerunkan kesan pengambilan air selusuh ini kan? Apatah lagi kesannya bukan sahaja kepada ibu hamil tetapi juga kepada bayi di dalam kandungan.

Sebagai contoh, kontraksi yang kerap berlaku selepas mengambil air ini boleh menyebabkan gangguan pada peredaran darah bayi dan melemaskannya.

Jadi adakah ibu hamil tidak boleh mengambil sebarang air selusuh?

Air Selusuh Yang Selamat Untuk Ibu Hamil dan Kandungan

Sebenarnya, bukan kesemua air selusuh itu tidak elok. Air selusuh yang dibacakan ayat-ayat suci al-quran, selawat serta doa untuk memudahkan proses bersalin adalah bagus.

Namun janganlah dicampur dengan bahan-bahan lain seperti herba dan akar kayu ya.

Penjelasan dari Dr. Muhammad Izzat sudah cukup jelas yang kita tidak boleh kawal kesan dan akibatnya.

Cara yang Boleh Dicuba

Namun jika anda ingin amalkan meminum dan menyapu air selusuh di perut, apa kata anda cuba cara Ustaz Don Daniyal ini:

1. Sediakan air masak atau sebaiknya air zamzam di dalam bekas yang bersih. Anggarkan kuantiti yang mencukupi untuk diminum dan disapu pada anggota badan ya.

2. Mulakan bacaan dengan Surah Al-Fatihah sebanyak 1 kali.

Sumber: almukhlisin.my

3. Kemudian teruskan bacaan dengan membaca Surah Al-Hasyr dari ayat 21 sehingga ayat 24.

Surah A-Hasyr ayat 21:
Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya.

Surah A-Hasyr ayat 22:
Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata; Dia lah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Surah A-Hasyr ayat 23:
Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Menguasai (sekalian alam); Yang Maha Suci; Yang Maha Selamat Sejahtera (dari segala kekurangan); Yang Maha Melimpahkan Keamanan; Yang Maha Pengawal serta Pengawas; Yang Maha Kuasa; Yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya); Yang Melengkapi segala KebesaranNya. Maha Suci Allah dari segala yang mereka sekutukan denganNya.

Surah A-Hasyr ayat 24:
Dia lah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya); bagiNyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepadaNya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dia lah Yang tiada bandingNya, lagi Maha Bijaksana.

4. Sesudah itu, bacakan selawat syifa’ ini:

Sumber: amanpalestinmy

5. Kemudian, bacakan Doa Selusuh:

“Ya Allah, dengan hak Maryam, juga hak hamba yang diturunkan kepadanya Surah Maryam, ringankanlah daripadanya (nama isteri berbintikan emak) penderitaan bersalin, dengan rahmatMu wahai Tuhan yang amat mengasihani dari segala-galanya.”

6. Yang terakhir, sudahi bacaan anda dengan Doa Pemudah:

“Ya Allah, permudahkanlah dan jangan Kau sukarkan kerana Engkaulah yang Maha Memudahkan, segala yang susah adalah mudah bagiMu. Ya Allah, sempurnakanlah dengan kebaikan, dengan rahmatMu, Ya Arhamar Rahimin.”

Sumber: istockphoto

InsyaAllah, dengan kuasa Allah yang Maha Berkuasa, semoga air selusuh yang dibacakan ayat-ayat suci al-quran, selawat dan doa-doa ini akan memudahkan urusan bersalin ibu hamil.

Seeloknya, mintalah para suami untuk membuatnya dan semoga dengan berkat doa dari suami, urusan bersalin anda akan lebih lancar.

Atau lebih baik, Mama juga boleh mengamalkan surah-surah dan doa bersalin ini sepanjang mengandung.

Namun harus diingatkan ya, ini hanyalah sebahagian dari usaha dan jika berkesan, ia hanyalah asbab sahaja. Semoga usaha para ibu dan bapa diberkatiNya.