Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Aktiviti Kraf Dan Seni Kreatif Yang Menarik Dan Sesuai Untuk Kanak-kanak

Sumber: Adobe Stock

Berbanding dengan orang dewasa, mempelajari sesuatu hobi atau aktiviti seni kreatif baru adalah lebih senang untuk kanak-kanak.

Kanak-kanak juga lebih cenderung untuk menerokai perkara baru yang membolehkan mereka membuat eksperimen dan menemui perkara atau aktiviti yang dapat menarik minat mereka.

Highlighted

Sumber: hellodoktor.com

Tambahan pula, ketika setiap anak murid perlu belajar secara atas talian di rumah pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, jadual pembelajaran mereka selalunya adalah rawak dan tidak konsisten.

Ada juga yang perlu belajar pada hari minggu. Kesian betul!

Jadi macam mana nak isi masa lapang antara kelas-kelas tersebut? Ia tentu sekali tak sama langsung dengan belajar di sekolah di mana waktu pembelajaran adalah tetap seperti pada seluruh waktu pagi.

Kemudian pada bahagian petang pula mereka boleh membuat aktiviti ko-kurikulum atau beriadah.

Jadi perkara terbaik yang boleh dibuat dengan pembelajaran di rumah ialah mengisi masa lapang tersebut dengan aktiviti yang berfaedah tetapi juga menyeronokkan supaya masa anak-anak yang berharga tidak terbuang.

Aktiviti kraf dan seni adalah bidang yang sesuai untuk diceburi kanak-kanak untuk mengisi masa lapang. Ia selalunya tidak memerlukan pemerahan otak dengan bersungguh-sungguh dan dapat mengasah kreativiti mereka.

Beberapa aktiviti untuk kanak-kanak dalam lingkungan umur tujuh ke 12 tahun boleh dilakukan seperti yang disenaraikan berikut.

10 Aktiviti Seni Kreatif untuk Kanak-kanak 7-12 Tahun

1. Lipatan Kertas Origami

Sumber: Adobe Stock

Kanak-kanak memang suka bermain dengan kertas. Ingat tak, dulu Mama dan Papa pun mesti kerap melipat kertas untuk membuat bentuk 3D seperti kapal terbang dan sampan, betul tak? Popular betul bentuk-bentuk tu!

Origami juga adalah seni melipat kertas sehingga menjadi sesuatu bentuk seakan-akan 3D.

Walaupun ia selalu dikaitkan dengan bentuk-bentuk yang rumit, sebenarnya sekarang banyak bentuk yang senang dibuat oleh kanak-kanak dan juga menarik perhatian mereka seperti bentuk dinosaur.

Bahan-Bahan

  • Kertas biasa yang senang untuk dilipat
  • Bahan rujukan untuk buat origami

Cara-Cara

  1. Salah satu contoh membuat origami seperti origami dinosaur adalah seperti berikut:

Sumber: wikiHow

2. Membuat Gelang Tangan

Sumber: Adobe Stock

Membuat gelang tangan atau barang kemas lain selalunya menarik minat anak-anak perempuan, tetapi anak lelaki juga boleh membuat gelang tangan seperti ‘friendship bracelet‘ yang nampak macho!

Mama dan Papa jangan risau kerana anak-anak tak perlu gunakan emas betul! Gelang tangan seperti ‘friendship bracelet‘ senang didapati dalam bentuk kit yang sudah mempunyai bahan-bahan yang diperlukan.

Bahan-Bahan

  • Kit gelang tangan seperti di sini, ataupun:
  • benang sulaman
  • manik atau ‘charms
  • aksesori gelang tangan lain
  • gunting

Cara-Cara

  1. Potong dua helai benang sulaman kira-kira 10 inci yang berbeza warna, lipat dua dan simpul di tengahnya untuk membuat lubang gelung.
  2. Lekatkan dengan masking tape ke atas permukaan meja.
  3. Buat ikatan atau simpulan seperti tocang secara selang-seli di antara dua benang tersebut untuk membentuk gelang sehingga ke hujung benang.
  4. Apabila sampai ke penghujung, buat ikatan simpul mati supaya boleh diikat ke simpul di hujung gelang tangan yang satu lagi.
Sumber: craftjam.co

3. Lukisan Cat Air / Akrilik / Minyak

Sumber: Adobe Stock

Anak Mama boleh melukis atau mengecat menggunakan pelbagai medium seperti cat air, cat akrilik, cat minyak, dan bermacam-macam lagi yang boleh dijumpai di kedai seni dan kraf.

Lukisan tersebut tak perlu dihadkan kepada satu medium sahaja, malah mencampur beberapa medium cat dan juga apa sahaja bahan lain adalah trend melukis sekarang dan dipanggil seni ‘mixed media‘.

Beri anak peluang untuk memilih medium yang menarik perhatian mereka dan tunjukkan semangat supaya mereka berasa tak sabar untuk mencuba.

Bahan-Bahan

  • Medium cat – cat air, cat akrilik, atau cat minyak
  • Kertas lukisan atau kanvas
  • Berus untuk cat
  • Kain lap
  • Cawan dan air
  • Bahan-bahan lain yang menarik minat anak

Cara-Cara

  1. Sediakan bahan-bahan dan peralatan untuk anak-anak di tempat bersesuaian.
  2. Biarkan anak meneroka cara menggunakan bahan asas cat dan berus serta apa-apa bahan lain yang mereka mahu tambah seperti gold leaf atau glitter.

4. Belajar Mengait

Sumber: Adobe Stock

Aktiviti mengait benang seperti knitting atau crochet dapat meningkatkan kreativiti anak dan mengisi masa lapang dengan berguna kerana anak-anak dapat menghasilkan barangan seperti topi atau baju!

Tambahan pula, aktiviti ini dikatakan bermanfaat bagi anak-anak yang mudah rasa resah atau mempunyai isu anxiety.

Mama tahu tak, atlet sukan Olympic terkenal dalam acara terjun dari England iaitu Tom Daley amat popular kerana minat mengait benang dan pernah menghadiahkan kardigan hasil tangannya kepada atlet Olympic tempatan kita sendiri iaitu Cheong Jun Hoong! Rasa bangga kan?

Sumber: Instagram @cheongjunhoong dan Twitter @Olympics

Bahan-Bahan

  • Benang kait yang diperbuat daripada kapas, akrilik, atau bulu biri-biri
  • Jarum mengait untuk knitting atau cangkuk mengait untuk crochet

Cara-Cara

  • Untuk aktiviti ini, Ibu boleh cuba rujuk buku-buku atau video-video yang mengajar cara mengait.

5. Membina dengan Lego

Sumber: Adobe Stock

Siapa yang tak kenal dengan permainan Lego, betul tak? Permainan yang berasaskan bata plastik yang boleh dicantum atau ‘interlocking‘ ini telah menjadi popular sejak tahun 1930-an lagi!

Kalau Mama nak tahu, nama “Lego” itu berasal dari perkataan Denmark ‘leg godt‘, yang bermaksud “bermain dengan baik”, jadi tak hairanlah ramai ibu bapa yang suka melihat anak-anak bermain dan membina dengan Lego!

Dengan permainan ini, anak-anak dapat merangsang kreativiti dengan membina apa sahaja idea yang muncul dalam minda. Tambahan pula, permainan Lego sekarang boleh didapati dalam pelbagai tema yang bersesuaian dengan minat anak Mama.

Bahan-Bahan

  • Set Lego yang bersesuaian dengan umur dan minat anak

Cara-Cara

  1. Tiada cara-cara yang khusus melainkan apa yang disarankan dalam manual arahan Lego tersebut.

6. Menghias Kek

Sumber: Adobe Stock

Ramai kanak-kanak kecil sekarang sudah pandai membuat dan membakar kek! Kebanyakannya amat mudah untuk dibuat.

Bagi kanak-kanak yang dah besar sedikit, cabaran yang menarik mungkin adalah pada menghias kek yang cantik-cantik dan unik.

Macam-macam corak boleh dibuat di atas kek menggunakan ising yang berwarna-warni, seperti corak bunga atau pun karakter kartun yang anak Mama gemari.

Bahan-Bahan

  • Ising dengan pelbagai warna
  • Plastik untuk mengisi ising
  • Sprinkles

Cara-Cara

  1. Sediakan bahan-bahan untuk menghias kek.
  2. Jika perlu, Mama boleh bantu anak memasukkan ising ke dalam plastik.
  3. Potong hujung plastik supaya ising boleh keluar dengan sedikit.
  4. Biarkan anak Ibu menghias kek mengikut citarasa mereka.

7. Membina Menggunakan Kotak Kadbod

Sumber: Instagram @offspring.inc

Dalam melalui PKP ni, mesti Mama dan Papa selalu beli barang atas talian kan? Kalau barang-barang besar, tentu datang dalam kotak yang besar!

Daripada membuang kotak-kotak tersebut, apa kata berikan kepada anak untuk membuat sesuatu dengannya, atau apa yang dipanggil ‘upcycle‘.

Bergantung kepada saiz kotak tersebut, anak-anak boleh buat “rumah”, “roket”, “kapal angkasa”, “kedai”, dan macam-macam lagi!

Bahan-Bahan

  • Kotak-kotak kadbord (cardboard) terpakai
  • Gunting
  • Gam
  • Cat warna akrilik

Cara-Cara

  1. Gunting kotak tersebut supaya menjadi sesuatu yang ingin dibuat oleh anak.
  2. Gamkan atau guna sellotape untuk mencantum kepingan kotak yang dipotong.
  3. Warnakan kepingan kotak menggunakan cat akrilik.

8. Anyaman Kertas (Paper Weaving)

Sumber: craftymorning.com

Kraf anyaman kertas adalah sangat menyeronokkan dan boleh dibuat menjadi pelbagai bentuk. Cara untuk membuatnya juga amat senang dan hanya memerlukan beberapa bahan asas.

Kraf anyaman kertas selalunya menggunakan paling kurang dua kertas yang berlainan warna yang dianyam dan membuat corak kotak-kotak atau ‘checkered‘. Corak asas itu boleh membentuk corak kompleks jika anak rajin membuat praktis. Mana tahu, kelak anak Mama boleh anyam ketupat pula!

Bahan-Bahan

  • Strip kertas berwarna-warni (warna pelangi)
  • Gam
  • Kertas manila putih atau hitam
  • Gunting

Cara-Cara

  1. Potong bentuk ikan dengan kertas manila dan lipat tengah.
  2. Gunting atau potong barisan rapat di bahagian bawah dan mulut ikan.
  3. Anyam kepingan kertas berwarna-warni dan potong bahagian atas dan bawah agar kelihatan seperti sirip ikan.
  4. Selitkan baki kertas warna di seluruh badan dan tambahkan juga pada ekor ikan.

9. Sulaman Tangan

Sumber: Adobe Stock

Sulaman tangan atau ‘hand embroidery‘ dapat menghasilkan corak-corak yang cantik dan indah.

Dengan menggunakan benang sulaman dan gelang sulaman, corak yang dihasilkan boleh dibiarkan di dalam gelang tersebut dan digantung sebagai hiasan, atau boleh ditampal pada baju, beg, dan sebagainya.

Anak Mama boleh gunakan pelbagai jenis kain untuk disulam seperti kain sutera atau pun denim, tapi untuk mula-mula belajar lebih elok guna kain yang senang untuk dikendalikan seperti kapas.

Bahan-Bahan

  • Benang sulaman
  • Gelang sulaman
  • Jarum
  • Kain kapas

Cara-Cara

  1. Sediakan bahan-bahan yang diperlukan.
  2. Rujuk video-video atau tutorial yang senang didapati.

10. Carta Keluarga Menggunakan Cap Ibu Jari

Sumber: Philip Friedman / Studio D

Carta keluarga semakin kurang popular untuk dibuat oleh kanak-kanak. Di negara-negara Barat, ia lebih dikenali sebagai ‘family tree‘ dimana carta tersebut menunjukkan keturunan nenek-moyang dan saudara mara seseorang.

Salah satu cara untuk membuatkan aktiviti ini menarik untuk anak-anak ialah dengan melukis sebuah pokok dengan cabang-cabang yang mewakili setiap keluarga, dan ahli-ahli keluarga tersebut boleh mencapkan ibu cari ke atas nama mereka.

Memandangkan kita tak boleh menziarahi sesiapa ketika PKP, Mama boleh membantu anak mengeposkan carta keluarga tersebut dan pad dakwat berwarna hijau berserta arahan untuk mengecap jari di atas nama.

Menarik kan? Tambahan pula dapat merapatkan silaturrahim pada zaman pandemik ini.

Bahan-Bahan

  • Kertas untuk melukis carta keluarga
  • Pen
  • Pad dakwat hijau

Cara-Cara

  1. Lukis sebuah pokok (atau apa-apa corak lain yang diminati anak) yang mewakili carta keluarga.
  2. Tulis nama ahli-ahli keluarga berdekatan.
  3. Buat cap ibu jari anak, Mama, Papa, dan adik beradik lain.
  4. Poskan carta tersebut kepada keluarga lain untuk membuat perkara yang sama dan arahkan mereka untuk poskan semula kepada anak.

Tak kira aktiviti yang mana menjadi pilihan Mama atau anak sendiri, tentu aktiviti-aktiviti ini dapat mengisi masa lapang dan menambahkan pengetahuan anak tentang perkara-perkara yang tidak dapat dipelajari di sekolah.

Semoga anak Mama mendapat manfaat dari aktiviti-aktiviti yang dipilih.