Ibu, Bayi & Kanak Kanak

10 Aktiviti-Aktiviti Yang Senang Dan Sesuai Untuk Kanak-Kanak 2 Hingga 3 Tahun

Sumber: Adobe Stock

Kehidupan di zaman pandemik sekarang boleh membuatkan ramai individu berasa tertekan kerana terpaksa memerap dirumah. Lebih-lebih lagi ibu bapa dengan anak-anak kecil yang tidak dapat ke sekolah atau pusat asuhan.

Anak-anak kecil terutama sekali yang berumur kurang daripada empat tahun selalunya memerlukan perhatian hampir sepenuh masa dari ibu bapa jika berada di rumah. Jadi macam mana Mommy nak buat kerja kalau si kecil asyik meminta bermain bersama?

Walaupun banyak pengorbanan yang perlu dibuat dari segi masa dan tenaga, Mommy boleh cuba mengajar anak untuk berdikari dan bermain secara bersendirian atau ‘independent’.

Pada mulanya Mommy atau Daddy perlu mengajar dan memujuk anak untuk bermain sendiri, tapi lama-kelamaan anak mungkin akan pandai untuk bermain secara sendiri atau dengan adik-beradik lain, terutamanya jika aktiviti-aktiviti yang diperkenalkan kepada mereka adalah menarik dan mampu mengajar anak-anak untuk bermain tanpa bantuan ibu bapa.

10 Aktiviti-Aktiviti Untuk Kanak-Kanak 2 Hingga 3 Tahun

1. Aktiviti Sensori Air

Kanak-kanak mana yang tak suka main air, betul tak? Aktiviti ini sangat senang untuk disediakan dan selalunya anak-anak akan bermain dengan lama!

Mommy cuma perlu sediakan tempat untuk letak air dan perkakas yang boleh digunakan untuk mencedok air.

Mommy juga boleh tambah perkakas lain seperti mainan kecil yang anak selalu main ketika mandi. Aktiviti ini boleh dibuat diluar rumah atau di dalam. Pastikan Mommy sediakan tuala kering untuk mengelap air yang akan tumpah!

Highlighted

Sumber: Getty Images

Bahan-Bahan

  • Mangkuk besar, besen cetek, atau meja sensori
  • Air bersih
  • Sudu besar atau cawan penyukat
  • Mainan air kecil

Cara-Cara

  1. Isi air dalam salah satu atau kedua-dua besen cetek
  2. Sediakan perkakas seperti cawan penyukat di tepi besen atau di dalam salah satu besen

Aktiviti ini tidak mempunyai cara spesifik atau khusus untuk dilakukan.

Biarkan imaginasi anak anda memimpin aktiviti tersebut. Walau bagaimanapun, pada awalnya Mommy boleh tunjukkan cara-cara untuk mengambil air dari satu mangkuk dan pindahkan ke mangkuk yang lain.

2. Aktiviti Mengaut Atau ‘Scooping

Aktiviti ini hampir sama seperti aktiviti bermain air di atas. Walau bagaimanapun, aktiviti ini menggunakan bahan-bahan kecil, selalunya makanan, seperti beras, oats, atau kacang kerana ia dapat merangsang deria anak-anak yang masih sedang mempelajarinya.

Mommy juga boleh guna pasir yang bersih kalau bermain diluar. Aktiviti ini dapat membantu meningkatkan kemahiran motor halus dan koordinasi mata-tangan anak.

Sumber: Getty Images

Bahan-Bahan

  • Mangkuk besar
  • Bahan makanan kecil seperti beras, kacang, atau bijian
  • Sudu besar atau cawan penyukat
  • Mainan kecil

Cara-Cara

  1. Isi beras, kacang, atau pasir ke dalam mangkuk besar atau besen besar
  2. Sediakan perkakas dan mainan kecil di dalam besen tersebut atau ditepi

Bergantung kepada saiz dan kawasan, anak-anak boleh bermain di atas meja, atau pun masuk ke dalam besen tersebut jika muat!

Aktiviti ini perlu dipantau dengan kerap supaya anak tidak memasukkan makanan kecil atau pasir ke dalam mulut.

3. Lukisan Cat Air

Cat air atau watercolour yang selamat untuk anak-anak kecil senang untuk di dapati di kedai seni dan kraf.

Kanak-kanak pada usia dua hingga tiga tahun kebanyakannya sudah pandai dan suka belajar tentang warna, jadi menggunakan watercolour tentu menyeronokkan bagi mereka.

Sumber: Getty Images

Bahan-Bahan

Cara-Cara

  1. Sediakan bahan-bahan di atas meja anak
  2. Mulakan dengan beberapa warna sahaja dulu seperti warna primer merah, biru, dan kuning
  3. Picitkan sedikit cat air ke atas palet
  4. Tunjukkan pada anak cara-cara untuk mengambil cat air menggunakan berus
  5. Buat lukisan secara rawak

Anak-anak kecil belum perlu belajar untuk buat lukisan seperti Mona Lisa! Sebaliknya, biarkan anak meneroka cara-cara memegang berus dan membuat lukisan atau contengan yang disukai.

Menurut kajian, kalau ibu bapa melukis sesuatu dengan sempurna, ia boleh membuatkan anak jadi stres dan tidak mahu membuat aktiviti tersebut kerana mereka tidak boleh melukis dengan sempurna.

4. Bercucuk Tanam

Bercucuk tanam mungkin bunyi seperti aktiviti yang terlalu susah untuk kanak-kanak berumur dua ke tiga tahun, tapi Mommy jangan terperanjat kalau tanaman tersebut hidup dengan mekar! Bagi kanak-kanak kecil, Mommy tak perlu bercucuk tanam yang ekstrem seperti dikebun, perkara asas sahaja sudah memadai.

Sumber: Getty Images

Bahan-Bahan

  • Pasu kecil
  • Tanah kompost
  • Biji benih sayuran
  • Bekas siraman kecil
  • Sudu kecil

Cara-Cara

  1. Sediakan semua bahan-bahan di atas meja anak atau di atas lantai beralaskan tikar atau playmat
  2. Tunjuk anak cara untuk mencedok tanah kompost kedalam pasu kecil
  3. Apabila penuh, beri anak biji benih sayuran terpilih untuk taburkan di atas permukaan tanah tadi
  4. Beri anak bekas siraman untuk menyiram biji benih yang diletakkan atas tanah kompost tadi

Walaupun aktiviti ini memerlukan bantuan dan pengawasan Mommy pada mulanya, Mommy boleh ajar anak untuk menyiram pasu tersebut setiap hari sehingga biji benih mula tumbuh.

Anak Mommy tentu teruja melihat daun-daun kecil yang mula tumbuh dari hasil kerja tangan mereka!

5. Membakar Biskut Atau Kek (Baking)

Seperti juga bercucuk tanam, membuat kek mungkin nampak susah, tapi ada banyak resipi-resipi yang mudah dan boleh dilakukan oleh anak kecil!

Ada juga resipi yang menggunakan kurang dari lima bahan. Yang penting, anak-anak menunjukkan minat untuk menolong.

Sumber: Getty Images

Bahan-Bahan

  • Bahan-bahan membuat kek atau biskut seperti tepung, mentega, telur, dan gula
  • Mangkuk
  • Spatula
  • Loyang untuk membakar
  • Sarung tangan ketuhar
  • Ketuhar

Cara-Cara

  1. Bergantung kepada resipi yang dipilih, Mommy perlu mengikut resipi tersebut dengan betul dan teratur
  2. Sediakan peralatan membuat kek dan bahan-bahan di atas meja supaya senang untuk anak menyukat, mencampur, dan memasukkan ke dalam loyang
  3. Pastikan anak tidak berdekatan dengan ketuhar yang panas dan beri amaran kepada mereka tentang penjagaan dalam menggunakan peralatan dapur

Aktiviti mudah ini bukan sahaja seronok untuk dicuba, tetapi anak-anak juga akan mendapat hasil yang lumayan berbentuk kek yang sedap!

6. Aktiviti Menyusun

Aktiviti menyusun boleh merangkumi banyak cara dan tema. Yang paling mudah bagi kanak-kanak dua ke tiga tahun ialah aktiviti menyusun mengikut warna.

Ia bukan sahaja menyeronokkan kerana kanak-kanak pada usia ini memang sangat berminat dengan konsep warna, ia juga dapat mengajar anak untuk menyusun permainan dengan elok di masa hadapan.

Sumber: Getty Images

Bahan-Bahan

  • Pelbagai barang yang berwarna-warni (boleh juga memilih hanya satu jenis barang yang mempunyai perbagai warna seperti bola-bola kecil plastik)
  • Kotak-kotak berwarna

Cara-Cara

  1. Taburkan barang-barang yang berwarna-warni tadi (sebagai contoh bola kecil) di atas meja atau playmat
  2. Sediakan kotak yang mempunyai warna
  3. Tunjukkan kepada anak untuk memasukkan bola kecil merah ke dalam kotak berwarna merah

Anak-anak mungkin akan melakukan aktiviti ini dengan perlahan buat pertama kalinya, tapi lama-kelamaan mereka akan jadi mahir dalam menyusun barang mengikut warna.

Aktiviti ini sangat bagus untuk perkembangan motor halus dan koordinasi tangan-mata.

7. Membuat Permainan Doh (Homemade Play Dough)

Kanak-kanak semestinya suka bermain dengan play dough kerana mereka boleh membuat apa-apa bentuk!

Apa kata Mommy cuba buat homemade play dough bersama anak? Cara untuk membuatnya senang sahaja.

Mommy boleh cuba resipi play dough yang paling mudah ini.

Sumber: Getty Images

Bahan-Bahan

  • 1 cawan tepung
  • 1/2 cawan garam
  • 1/2 cawan air
  • Pewarna makanan atau cat air

Cara-Cara

  1. Gaulkan tepung dengan garam
  2. Masukkan air sedikit demi sedikit sehinggan adunan menyerupai konsistensi doh mainan
  3. Bahagikan kepada beberapa bahagian mengikut warna yang ingin digunakan
  4. Picitkan sedikit pewarna makanan pada setiap doh dan uli

Pastikan Mommy menggunakan sedikit sahaja pewarna makanan kerana kadang-kadang ia boleh menjadi terlalu pekat. Membuat play dough di rumah amat senang kan?

Kemudian anak-anak bolehlah bermain dengan play dough tersebut! Tentu mereka berasa bangga kerana membuatnya sendiri.

8. Mainan Membina

Aktiviti ini memerlukan ibu bapa membeli permainan berbentuk blocks atau apa-apa yang boleh dibina, seperti Lego, block yang diperbuat daripada kayu, ataupun jubin bermagnet.

Walaupun perlu melabur sedikit wang, permainan jenis ini sangat membantu membina imaginasi anak-anak dan juga kemahiran membina struktur yang stabil.

Apabila mereka sudah biasa membina, percayalah yang mereka mampu bermain dengan permainan jenis ini berjam-jam!

Sumber: Getty Images

Bahan-Bahan

  • Lego, blok kayu, atau jubin bermagnet

Cara-Cara

  1. Sediakan permainan tersebut di kawasan mainan anak
  2. Mommy boleh susun mengikut warna atau bentuk jika ada masa, tetapi ini hanya secara pilihan

Kanak-kanak memang senang tertarik dengan permainan jenis open-ended ini, maksudnya, tiada satu cara yang betul untuk bermain dengannya.

Yang pasti, ia akan menarik perhatian anak dan memainkan peranan dalam merangsang minda anak.

9. Aktiviti Origami

Origami adalah seni melipat kertas sehingga menjadi sesuatu bentuk seakan-akan 3D.

Kalau Mommy tak pernah cuba origami, ini boleh menjadi aktiviti yang seronok bersama anak!

Selalunya lipatan kertas yang paling senang untuk dibuat ialah bentuk sampan, kapal terbang, dan burung.

Sumber: Getty Images

Bahan-Bahan

  • Kertas biasa yang senang untuk dilipat
  • Bahan rujukan untuk buat origami

Cara-Cara

  1. Salah satu contoh membuat origami seperti origami burung adalah seperti berikut:
Sumber: popmama.com

Jika sesetengah bentuk terlalu sukar untuk anak-anak kecil, Mommy boleh ajar anak untuk melipat kertas dahulu supaya mereka biasa dengan aktiviti tersebut.

Lama-kelamaan, mereka mungkin boleh buat bentuk origami yang lebih kompleks dan unik.

10. Bermain Di Padang Permainan

Aktiviti ini bunyi senang sahaja kerana hampir setiap kawasan perumahan tentu ada padang permainan kan?

Tapi sebenarnya ramai kanak-kanak yang kurang terdedah kepada kemudahan beriadah ini dan hanya terperap di dalam rumah.

Sebenarnya di padang permainan, kanak-kanak tak semestinya perlu bermain dengan apa yang ada di situ sahaja.

Ibu bapa boleh berkelah disesetengah taman permainan jika ada ruang, atau kanak-kanak boleh membawa permainan mereka ke padang permainan! Ia tidak terhad kepada kemudahan yang disediakan sahaja.

Sumber: Getty Images

Kali seterusnya anak ingin ke padang permainan, apa kata Mommy cadangkan anak membawa permainan yang mereka ada ke luar rumah? Tentu seronok!

Aktiviti ini tidak memerlukan apa-apa cara yang khusus pun. Biar anak yang tentukan apa yang mereka mahu buat pada hari itu.

[separator type=”thin”]

Aktiviti-aktiviti yang disebutkan di atas tadi boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja untuk anak-anak kecil.

Kalau aktiviti di luar, pastikan anak tidak bermain dalam hujan ribut! Semoga artikel ini bermanfaat dan dapat membantu ibu bapa mengajar anak untuk bermain sendiri.