Ibu, Bayi & Kanak Kanak

10 Aktiviti-Aktiviti Yang Seronok Dan Berfaedah Untuk Kanak-Kanak 4 Hingga 6 Tahun

Sumber: Adobe Stock

Anak-anak yang terperap dalam rumah dan terpaksa menghadap komputer sepanjang hari untuk kelas atas talian tentu memenatkan fizikal dan mental mereka.

Bukan kanak-kanak yang sudah masuk sekolah rendah atau menengah saja, anak-anak yang baru masuk tadika pun perlu melalui kelas atas talian.

Kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun selalunya pandai bermain sendiri dan tidak memerlukan perhatian Ibu dan Ayah sepanjang masa.

Tapi ada kalanya mereka juga mungkin akan berasa bosan dan mahu bermain dengan Ibu dan Ayah atau adik-beradik lain memandangkan mereka sudah biasa bermain dengan kawan-kawan di sekolah.

Jadi apa yang Ibu dan Ayah boleh lakukan untuk mengelakkan kebosanan buat anak-anak kecil?

Beberapa aktiviti untuk kanak-kanak 4-6 tahun yang boleh disediakan supaya mereka boleh bermain sendiri atau turut disertai Ibu dan Ayah.

Barulah lebih seronok bukan?

10 Aktiviti-Aktiviti Untuk Kanak-Kanak 4-6 Tahun

1. Lukisan Cat

Highlighted

Sumber: Getty Images

Anak Ibu boleh melukis atau mengecat menggunakan pelbagai medium seperti cat air, cat akrilik, cat minyak, dan bermacam-macam lagi yang boleh dijumpai di kedai seni dan kraf.

Kami sarankan Ibu mencari peralatan dan bahan-bahan bersama-sama anak di kedai kraftangan, dan ia juga boleh dilakukan secara atas talian di musim PKP sekarang.

Beri anak peluang untuk memilih medium yang menarik perhatian mereka dan tunjukkan semangat supaya mereka berasa tak sabar untuk mencuba jika ini kali pertama mereka.

Bahan-Bahan

  • Medium cat – cat air, cat akrilik, atau cat minyak
  • Kertas lukisan atau kanvas
  • Berus untuk cat
  • Kain lap
  • Cawan dan air

Cara-Cara

  1. Sediakan bahan-bahan dan peralatan untuk anak-anak di tempat bersesuaian
  2. Biarkan anak meneroka cara menggunakan cat dan berus

2. Bercucuk Tanam

Sumber: Getty Images

Anak-anak berusia empat hingga enam tahun bukan sahaja sudah pandai membuat banyak perkara, mereka juga selalunya berminat untuk ‘menjaga’ sesuatu.

Bercucuk tanam adalah aktiviti yang sesuai untuk mereka kerana mereka dapat melihat hasil tanaman jika berjaya menjaga tanaman tersebut.

Bahan-Bahan

  • Pasu kecil
  • Tanah kompost
  • Biji benih sayuran
  • Bekas siraman kecil
  • Sudu kecil

Cara-Cara

  1. Sediakan semua bahan-bahan di atas meja anak atau di atas lantai beralaskan tikar atau playmat
  2. Tunjuk anak cara untuk mencedok tanah kompost kedalam pasu kecil
  3. Apabila penuh, beri anak biji benih sayuran terpilih untuk taburkan di atas permukaan tanah tadi
  4. Beri anak bekas siraman untuk menyiram biji benih yang diletakkan atas tanah kompost tadi

3. Aktiviti Origami

Sumber: Getty Images

Origami adalah seni melipat kertas sehingga menjadi sesuatu bentuk seakan-akan 3D.

Kalau Ibu tak pernah cuba origami, ini boleh menjadi aktiviti yang seronok bersama anak!

Selalunya lipatan kertas yang paling senang untuk dibuat ialah bentuk sampan, kapal terbang, dan burung.

Bahan-Bahan

  • Kertas biasa yang senang untuk dilipat
  • Bahan rujukan untuk buat origami

Cara-Cara

  1. Salah satu contoh membuat origami seperti origami burung adalah seperti berikut:
Sumber: popmama.com

4. Belajar Mengait

Sumber: Getty Images

Kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun kebiasaannya sudah tangkas menggunakan tangan dan mempunyai koordinasi mata-tangan yang matang.

Jadi Ibu boleh memperkenalkan aktiviti mengait benang seperti knitting atau crochet yang dapat meningkatkan kreativiti anak.

Tambahan pula, aktiviti ini dikatakan bermanfaat bagi anak-anak yang mudah rasa resah atau mempunyai isu anxiety.

Bahan-Bahan

  • Benang kait yang diperbuat daripada kapas, akrilik, atau bulu biri-biri
  • Jarum mengait untuk knitting atau cangkuk mengait untuk crochet

Cara-Cara

  • Untuk aktiviti ini, Ibu boleh cuba rujuk buku-buku atau video-video yang mengajar cara mengait

5. Membakar Dan Menghias Kek (Baking)

Sumber: Getty Images

Pada zaman sekarang, memang ramai kanak-kanak yang menunjukkan minat untuk membantu Ibu di dapur.

Ada yang pandai tolong memasak, ada juga yang menunjukkan minat untuk membuat kek yang cantik dan sedap!

Banyak resipi yang Ibu boleh dapatkan yang mudah, dan untuk kanak-kanak dalam usia empat hingga enam tahun, mereka juga boleh cuba untuk menghias atau membuat corak yang cantik atas kek tersebut.

Ini dapat menggalakkan anak Ibu untuk berfikiran bebas atau ‘think outside the box‘.

Bahan-Bahan

  • Bahan-bahan membuat kek atau biskut seperti tepung, mentega, telur, dan gula
  • Bahan-bahan untuk menghias kek seperti icing dan sprinkles
  • Mangkuk
  • Spatula
  • Loyang untuk membakar
  • Sarung tangan ketuhar
  • Ketuhar

Cara-Cara

  1. Bergantung kepada resipi yang dipilih, Ibu perlu mengikut resipi tersebut dengan betul dan teratur
  2. Sediakan peralatan membuat kek dan bahan-bahan di atas meja supaya senang untuk anak menyukat, mencampur, dan memasukkan ke dalam loyang
  3. Pastikan anak tidak berdekatan dengan ketuhar yang panas dan beri amaran kepada mereka tentang penjagaan dalam menggunakan peralatan dapur
  4. Sediakan bahan-bahan untuk menghias kek dan biarkan anak Ibu menghias kek mengikut citarasa mereka

6. Membiak Rama-Rama

Sumber: Getty Images

Eh Ibu jangan risau, ini tak bermakna Ibu kena buka taman rama-rama untuk anak!

Pada zaman pandemik ini, banyak perniagaan dan juga taman-taman seperti taman rama-rama terpaksa memberhentikan operasi.

Tapi kaedah lain yang perniagaan-perniagaan tersebut boleh lakukan ialah dengan bantuan rakyat. Salah satunya ialah membiak rama-rama di rumah.

Tidak susah pun, kerana ia lebih kurang seperti bercucuk tanam juga! Aktiviti ini akan mengajar anak tentang pembiakan dan juga kepentingan menjaga alam sekitar termasuk flora dan fauna.

Bahan-Bahan

Cara-Cara

  1. Setelah mendapat set atau kit rama-rama, ikut arahan yang disediakan seperti memastikan tali dalam balang diikat dengan betul dan kepompong diposisikan dengan betul atas tali
  2. Kekalkan kelembapan kepompong dengan menyembur air dengan kerap
  3. Apabila rama-rama sudah dibiak, anak boleh lepaskan rama-rama di kawasan hijau berdekatan

7. Bermain Permainan Papan (Boardgame)

Sumber: Getty Images

Walaupun permainan boardgame seperti Saidina dan Monopoly adalah antara boardgame yang popular, sebenarnya banyak lagi boardgame yang lebih menarik dan cendorong kearah pembelajaran dan menyelesaikan masalah.

Aktiviti ini memerlukan penyertaan beberapa orang, mungkin termasuk ibu bapa, tapi ada juga boardgame yang boleh dimain oleh seorang pemain sahaja.

Bahan-Bahan

  • Boardgame yang dipilih

Cara-Cara

  • Bergantung kepada boardgame yang dipilih, Ibu perlu mengikut arahan yang datang dengan permainan tersebut

8. Aktiviti Membaca

Sumber: Getty Images

Aktiviti ini mungkin bunyi seperti bukan aktiviti yang boleh dilakukan anak-anak kecil, tapi sebenarnya lagi awal anak-anak pandai membaca, lagi banyak faedah dan manfaat anak-anak akan dapat.

Ibu bapa mungkin berasa anak hanya perlu belajar membaca di sekolah, tapi sedikit demi sedikit, kalau Ibu atau Ayah membaca dengan anak, anak akan lebih senang untuk belajar berbanding dengan menunggu ketika belajar sewaktu memasuki sekolah rendah.

Bahan-Bahan

  • Bahan bacaan yang dipilih oleh ibu bapa dan juga anak-anak

Cara-Cara

  1. Ibu atau Ayah perlu memilih tempat yang selesa untuk membaca, kerana ada yang suka membaca di meja, ada juga yang suka membaca di katil
  2. Pilih buku-buku yang mempunyai perkataan yang sedikit dahulu dan baca dengan perlahan tetapi jelas supaya anak boleh ikut

Ibu Ayah juga boleh cuba cara-cara ini untuk mengajar anak-anak membaca sepanjang berada di rumah ini.

9. Kumpul Bahan Alam Semula Jadi

Sumber: Getty Images

Bergantung kepada kawasan perumahan, Ibu boleh galakkan anak-anak untuk keluar rumah dan mencari dan mengumpul satu jenis bahan alam semulajadi, contohnya batu kecil, daun kering, atau bunga.

Batu-batu kecil adalah contoh yang baik kerana tiada satu batu pun yang betul-betul sama bentuknya dengan batu yang lain.

Setelah mengumpul beberapa jenis, Ibu boleh menggalak anak-anak untuk mengambil gambar atau melukis bahan-bahan tersebut.

Jika mengumpul bunga, mungkin Ibu dan anak boleh mencari nama atau spesis bunga tersebut bersama-sama.

Cara-Cara

  1. Lawat taman berdekatan dengan rumah atau hanya di luar kawasan rumah dan kumpul bahan-bahan yang digemari
  2. Letakkan bahan yang sudah dikumpul di suatu tempat dan biarkan anak Ibu fikir apa yang mereka ingin lakukan seterusnya seperti mengumpul mengikut warna, melabelkan, melukis, atau macam-macam lagi

10. Berkelah Di Taman

Sumber: Getty Images

Taman di sini tak semestinya bermaksud taman yang khas untuk berkelah sahaja.

Tapi Ibu dan seluruh keluarga boleh memilih banyak tempat seperti padang yang luas untuk berkelah atau buat mini picnic. Anak-anak juga dapat berlari dengan bebas tanpa halangan.

Cuma pastikan Ibu sekeluarga tidak pergi ke kawasan yang terlalu sesak di musim pandemik ini.

Bahan-Bahan

  • Apa-apa sahaja bahan picnic yang bersesuaian seperti tikar, makanan ringan, dan air sejuk
  • Mainan untuk anak-anak seperti bola dan layang-layang

Tak kira aktiviti untuk kanak-kanak 4-6 tahun yang mana menjadi pilihan Ibu atau anak sendiri, tentu aktiviti-aktiviti ini dapat mengisi masa lapang dan menambahkan pengetahuan anak tentang perkara-perkara yang tidak dapat dipelajari di sekolah, apatah lagi melalui tayangan dari komputer.

Semoga anak-anak Ibu mendapat manfaat dari aktiviti-aktiviti yang dipilih.