Ibu, Bayi & Kanak Kanak

10 Tips Untuk Mengatasi Alahan Mengandung

Sumber: orami.co.id

Alahan yang dialami semasa mengandung selalu dipanggil ‘morning sickness‘, iaitu rasa mual dan loya dan selalunya diikuti dengan muntah ketika hamil.

Alahan mengandung adalah perkara yang biasa berlaku bagi sesetengah ibu hamil, malah ia sebenarnya menjadi tanda bahawa kehamilan Ibu adalah normal.

Oleh kerana deria bau Ibu lebih sensitif sewaktu hamil, sesetengah makanan atau minuman yang berbau kuat mungkin akan membuatkan Ibu berasa loya juga.

Walaupun dipanggil ‘morning sickness‘, alahan mengandung sebenarnya boleh terjadi pada bila-bila waktu dalam satu hari, sama ada pagi, petang, atau pun malam.

Alahan mengandung boleh mula berlaku sekitar minggu keempat kehamilan sehingga pertengahan bulan kedua. Bergantung kepada setiap ibu hamil, ia boleh berlaku selama beberapa minggu atau bulan.

Malangnya, ada juga yang mengalami alahan mengandung sepanjang kehamilan!

Highlighted

Sumber: Getty Images

Jadi apakah yang Ibu boleh buat untuk mengatasi atau melegakan alahan mengandung? Walaupun kebiasaannya ibu hamil perlu beri masa dan biarkan alahan mengandung pergi dengan sendiri, ada beberapa cara yang boleh Ibu cuba kerana dikatakan berkesan untuk melegakan ataupun juga mengelakkan alahan mengandung.

Tips-Tips Mengatasi Alahan Mengandung

1. Kurangkan Makanan Berbau

Kalau Ibu sudah mula mengalami alahan mengandung, satu cara terbaik ialah mengurangkan makanan berbau di dalam rumah. Apa makanan tersebut bergantung kepada setiap individu, kerana ia akan berbeza-beza.

Macam saya, sebelum mengandung memang minat sangat dengan nasi Arab, tapi bila sedang mengalami alahan mengandung, tak tahan betul dengan bau ayam yang dimasak seperti ayam mehndi!

Jadi kalau ada makanan kegemaran, tak kiralah oleh ibu mengandung, suami, atau anak-anak kecil lain, kalau Ibu tak tahan dengan baunya, elakkan memasak atau membeli makanan tersebut sementara sedang mengandung.

2. Gunakan Gelang Tangan Acupressure

Salah satu aksesori zaman moden yang berdasarkan perubatan tradisional ialah gelang tangan akupresur (acupressure). Ia telah dibuktikan secara klinikal untuk melegakan rasa mual dan loya akibat alahan mengandung, mabuk laut, dan mual kemoterapi.

Ia berfungsi dengan memberi tekanan pada titik acupressure di pergelangan tangan untuk melegakan rasa mual tersebut.

Kaedah ini adalah kaedah semulajadi dan selamat yang Ibu boleh cuba memandangkan ia sangat berkesan jika dilakukan dengan betul.

3. Perbanyakkan Rehat

Bila Ibu mengalami alahan mengandung, Ibu perlu memastikan badan mendapatkan rehat yang mencukupi.

Dapatkan nasihat doktor tentang kesihatan semasa Ibu dan jika tiada perkara penting perlu dilakukan, utamakan rehat untuk mengelakkan kesihatan dan perkembangan bayi terjejas juga.

Kalau Ibu banyak muntah semasa mengalami alahan mengandung, pastikan Ibu minum banyak air untuk menggantikan air yang hilang.

Jika air itu sendiri membuatkan Ibu berasa mahu muntah, Ibu boleh cuba makan kiub ais supaya air dapat masuk sedikit demi sedikit tanpa membuatkan Ibu berasa mual.

Sumber: Getty Images

4. Cuba Aktiviti Menenangkan

Aktiviti-aktiviti harian yang menenangkan dapat membantu melegakan alahan mengandung.

Mungkin kerana bila sibuk membuat sesuatu aktiviti, minda pun kurang berfikir tentang alahan mengandung yang Ibu sedang alami!

Ibu boleh cuba aktiviti seperti meditasi ataupun yoga pranatal yang dapat membantu dengan pernafasan yang lancar.

Aktiviti ringan lain seperti berenang juga mampu melegakan alahan mengandung. Pastikan Ibu melakukan aktiviti yang selamat sahaja ketika mengandung untuk mengelak risiko kecederaan.

Sumber: Getty Images

5. Sapu Minyak Pati

Minyak pati, atau lebih dikenali sebagai essential oil bergred terapi dikatakan dapat menghilangkan atau melegakan alahan mengandung juga. Sama juga seperti minyak panas yang biasa digunakan untuk angin, sakit kepala, dan sakit perut, betul tak?

Cuma essential oil yang popular sekarang boleh didapati dari bentuk 100% semula jadi dan bergred terapi, bermakna ia lebih kuat, berkesan, dan lebih selamat untuk digunakan, terutamanya ketika mengandung.

Minyak pati yang sering digunakan untuk melegakan alahan mengandung selalunya dari jenis beraroma sitrus atau berangin seperti limau, bergamot, dan pudina.

Ibu boleh dapatkan minyak pati yang sudah dicairkan dengan minyak lain seperti minyak kelapa atau minyak badam manis, kemudian Ibu boleh sapukan pada tapak tangan dan mengambil bau minyak tersebut dari tapak tangan.

6. Kerap Makan Dan Minum

Sewaktu mengalami alahan mengandung dan jika banyak muntah, Ibu perlu makan dan minum dengan kerap, tapi dalam kuantiti yang kecil sahaja ye!

Takut kalau makan kerap dalam kuantiti biasa lagi senang membuatkan Ibu muntah! Selain itu, tentu Ibu tidak mahu menambahkan berat badan yang berlebihan.

Jadi Ibu disarankan untuk makan makanan yang ringan dan tidak membuatkan Ibu mual dengan kerap seperti biskut, salad, atau sandwich.

Mungkin Ibu boleh makan dalam lima hingga enam hidangan sehari, dan kurangkan saiz bahagian makanan utama seperti tengah hari dan malam.

Sumber: Getty Images

7. Pilih Diet Yang Mengandungi Protein

Makanan yang mengandungi protein yang tinggi seperti ikan, kacang, dan telur dapat membuatkan Ibu berasa kenyang dengan lebih lama.

Jadikan makanan yang berprotein tinggi sebagai makanan utama supaya Ibu dapat berasa kenyang lebih lama dan boleh makan makanan ringan yang lain di antara makanan utama.

Ini juga dapat mengelakkan asiditi perut keluar dengan banyak yang dapat membuatkan Ibu berasa mual.

Ibu hamil yang mempunyai alahan mengandung juga perlu elakkan makanan pedas, berasid, berlemak, dan makanan bergoreng.

Sumber: Getty Images

8. Gunakan Diffuser Atau Bahan Wangian Lain

Seperti yang disebutkan tadi, minyak pati dapat melegakan alahan mengandung bagi kebanyakan ibu yang sedang mengandung.

Selain daripada menyapu minyak patu yang telah dicairkan, Ibu juga boleh cuba diffuse atau sebarkan bau minyak pati tersebut menggunakan alat pelembap seperti diffuser essential oil yang senang didapati di pasaran sekarang.

Satu alternatif yang boleh dicuba ialah meletakkan wangian di sekitar rumah, bergantung kepada apa yang Ibu boleh gunakan, seperti semburan bilik, ataupun bunga segar. Wah bukan sahaja dapat memberi bau yang sedap, tapi juga menaikkan seri hiasan dalaman rumah Ibu!

Sumber: Adobe Stock

9. Minum Teh Herba

Teh herba dikatakan boleh mengurangkan dan melegakan alahan mengandung, bergantung kepada jenis-jenis teh herba tersebut.

Salah satu bahan dalam teh yang boleh digunakan ialah halia untuk membuat teh halia yang memang sering digunakan untuk membantu penghadaman dan mengurangkan ketidakselesaan perut.

Kajian menunjukkan bahawa ia juga boleh membantu melegakan simptom loya. Selain halia, daun pudina juga mempunyai ciri-ciri yang melegakan loya.

Selain teh herba, Ibu juga boleh mencuba snek yang mengandungi bahan tersebut seperti biskut halia atau ginger cookies. Mmm, bunyi pun sudah sedap, mungkin memang dapat bantu melegakan alahan mengandung Ibu!

Sumber: Adobe Stock

10. Ambil Vitamin Dan Supplement

Apabila Ibu sudah banyak muntah-muntah, tentulah nutrisi dalam badan Ibu pun berkurang, betul tak? Walaupun rasa macam sudah makan semua jenis makanan berkhasiat, mungkin ada nutrisi yang masih kekurangan yang boleh mencetuskan rasa mual.

Vitamin B6 dikatakan boleh membantu mengurangkan loya, manakala suplemen zat besi yang diperlukan semasa kehamilan pula boleh menyebabkan loya.

Bergantung kepada apa yang badan Ibu mungkin perlukan, Ibu disarankan untuk berbincang dengan doktor Ibu sendiri untuk menentukan jenis vitamin dan suplemen yang sesuai untuk diambil. Perlu diingati bahawa suplemen hanya boleh digunakan di bawah pengawasan doktor, terutamanya semasa hamil.


Sekiranya tiada satu pun langkah pencegahan alahan mengandung seperti yang disenaraikan di atas membantu Ibu, pastikan Ibu berunding dengan doktor pakar sakit puan untuk memastikan yang alahan mengandung Ibu tidak merbahayakan.

Sumber: Adobe Stock

Alahan mengandung atau ‘morning sicknness‘ kebiasannya adalah salah satu tanda kehamilan adalah normal dan baik, jadi Ibu tak perlu risau jika ia tidak memudaratkan.

Semoga alahan mengandung Ibu hanya berlaku sekejap sahaja sepanjang kehamilan, dan selamat menikmati perjalanan kehamilan selebihnya.