Amalan mencukur kepala bayi adalah salah satu rukun aqiqah. Setelah memberi nama kepada bayi yang baru lahir, ia adalah menjadi sunnah untuk mencukur kepala bayi dan jika mampu, melaksanakan aqiqah.
Dari Samurah bin Jundub RA berkata, Rasulullah SAW bersabda:
Setiap anak kecil (bayi) dipertaruhkan dengan suatu akikah, disembelih untuknya pada hari ketujuh, dicukur kepalanya, dan diberi nama.
(Riwayat Imam Abu Daud, Tirmizi, an-Nasa’i dan Ibnu Majah)
Berdasarkan hadith di atas, Mama dan Papa tak perlu ragu-ragu untuk melakukan pencukuran rambut bayi serta semua sunnah aqiqah yang lain kerana ia menunjukkan ketaatan kepada Rasulullah SAW.
Rasulullah SAW memerintahkan kita untuk memberi nama, mencukur rambut, dan melaksanakan aqiqah pada hari ketujuh selepas kelahiran anak.
Setelah memberi nama dan mencukur rambut bayi, rambut tersebut kemudian ditimbang dan berat rambut tersebut disamakan berat dan nilainya dengan emas atau perak, yang mana sesuai dengan kemampuan Mama dan Papa, kemudian disedekahkan nilai tersebut.
Contohnya jika berat rambut bayi adalah 1g dan nilai emas pada hari tersebut ialah RM200/g, Mama dan Papa boleh sedekahkan nilai tersebut kepada fakir miskin. Kalau Mama Papa tak mampu sedekahkan dengan nilai emas, boleh tengok pula nilai perak.
Kebaikan Mencukur Rambut
Kalau sesuatu perkara tu adalah sunnah Rasulullah SAW, sudah tentu ada kebaikannya, bukan? Jadi apakah kebaikan mencukur rambut bayi itu?
- Yang paling jelas dan ketara tentulah aspek sedekah kerana sedekah itu sesuatu yang sangat mulia dan merendahkan diri. Dalam keseronokan menerima cahaya mata, Mama dan Papa dapat sedekah pula kepada yang memerlukan. Rasa sejuk hati bukan?
- Dari aspek fizikal pula, mencukur rambut dikatakan baik untuk membuang rambut bayi yang pernah diselaputi darah dan lendiran semasa dalam kandungan dan juga waktu proses bayi dilahirkan.
- Selain itu, ia juga dikatakan bertujuan untuk menyihatkan dan menyuburkan rambut, serta menjaga kebersihan dan memastikan rambut baru dapat tumbuh dengan lebih sihat.
- Apabila dicukur hingga botak, si kecil akan berasa lebih selesa kerana bayi akan mengeluarkan peluh dari rongga-rongga di kepala. Jadi bila tiada rambut, peluh dikepala tidak akan menganggu bayi dan senang Mama Papa nak lap peluh. Lagi-lagi dengan cuaca yang panas di Malaysia ni kan!
- Ada pula sesetengah bayi yang akan mengalami kerak dikepala, juga dikenali sebagai ‘cradle cap’. Ia adalah keadaan di mana bayi mempunyai kerak-kerak berlemak dikepala yang berminyak dan berbau hamis. Kalau bayi dicukur licin, senang Mama Papa nak lihat keadaan kerak tersebut dan senang juga untuk letak minyak yang dibuat khusus untuk cradle cap.
Jadi Mama Papa jangan bersedih kalau rasa sayang nak potong sebab rambut si comel lebat dan cantik!
Ada banyak kebaikan mencukur rambut dan tambahan pula ia adalah sunnah Rasulullah SAW. InshaAllah rambut si kecil akan tumbuh dengan lebih sihat dan lebat.
Cara-cara Untuk Mencukur Rambut Bayi
- Pastikan bayi telah dibedung dengan rapi supaya tangan bayi tidak bergerak-gerak ketika rambutnya dicukur.
- Sediakan satu bekas berisi air. Terpulang kepada Mama Papa jika ingin meletakkan sedikit syampu rambut bayi kedalam air tersebut. Air ini bertujuan untuk membersihkan pisau cukur selepas menggunakannya.
- Jika rambut bayi sangat lebat, Mama Papa boleh gunting atau trim dahulu rambut dan simpan rambut tersebut di dalam plastik seperti ziplock bag. Kalau ada mesin cukur, boleh guna mesin cukur tersebut dahulu untuk mencukur kebanyakan rambut bayi.
- Kemudian, basahkan rambut bayi dengan air dan sedikit syampu rambut bayi, dan mula cukur rambut bayi sehingga botak. Pastikan pisau cukur yang digunakan adalah baru dan bersih.
- Celupkan pisau cukur ke dalam air di dalam bekas tadi untuk membersihkannya dan ulang langkah mencukur. Kalau pisau cukur rasa tumpul, gunakan pisau cukur baru.
- Kumpulkan semua rambut yang dipotong dan dicukur kedalam beg tadi untuk ditimbang.
- Selepas selesai, lap kepala bayi dengan lembut, dan sapukan produk yang Mama Papa rasa sesuai untuk diletakkan di atas kepala si kecil. Ada yang menggunakan bedak sejuk, minyak zaitun, minyak kelapa, atau pun minyak badam manis (sweet almond oil) yang sangat bagus untuk menenangkan kulit kepala bayi yang telah dicukur tadi.
Tips-tips Untuk Mencukur Kepala Bayi
- Pastikan peralatan untuk mencukur kepala bayi lengkap dan mencukupi. Sediakan beberapa bilah pisau cukur, bekas air, plastik untuk simpan rambut, dan kain lap basah jika ada sedikit pendarahan.
- Cukur kepala bayi pada awal siang hari kerana bayi sudah dapat rehat yang mencukupi malam sebelumnya, dan bukannya di waktu petang atau malam bila bayi mungkin lebih gelisah atau cranky.
- Pastikan bayi tenang sebelum mencukur rambut, dan mempunyai perkara atau mainan yang boleh mengalihkan perhatian. Tak pun, Mama Papa boleh cuba cukur sewaktu bayi sedang tidur atau menyusu.
- Pastikan Mama Papa atau sesiapa yang mengendalikan proses mencukur itu membasuh tangan dengan bersih sebelum mencukur rambut bayi. Ini kerana kulit kepala bayi sedang dan selepas dicukur akan menjadi sangat sensitif dan terdedah kepada jangkitan.
- Sebelum mencukur bayi, Mama dan Papa jangan nervous! Bukan saja bahaya kalau tak yakin untuk mencukur, tetapi si kecil pun boleh terkesan dengan perasaan gementar tu. Jadi Mama Papa perlu berasa tenang dan yakin sebelum mencukur.
- Seperti yang disebut dalam langkah mencukur tadi, jika rambut bayi sangat lebat, pastikan rambut bayi digunting dahulu sependek mungkin. Ini kerana susah nak cukur rambut jika rambut terlalu panjang.
- Mama Papa boleh mula mencukur dari atas ke bawah, kerana ini mungkin rasa lebih semula jadi. Setelah habis dicukur sebegitu, boleh pula rapikan dengan mencukur dari bawah ke atas hingga licin dan untuk mengelakkan rasa tajam-tajam di kepala bayi.
- Mandikan bayi setelah selesai semua proses dan langkah cukur rambut untuk membersihkan badan bayi daripada rambut-rambut yang mungkin melekat ketika dicukur tadi.
Cara Timbang Rambut Bayi
- Setelah Mama dan Papa kumpulkan rambut dalam plastik tadi, contohnya plastik ziplock, pastikan Mama Papa sediakan lagi satu plastik yang sama jenis dan saiz yang kosong.
- Untuk mendapatkan berat yang paling tepat, Mama Papa disarankan untuk menimbang di kedai emas, kerana penimbang yang selalu digunakan di dapur tu mungkin tak berapa reliable memandangkan rambut bayi kemungkinan besar kurang daripada 5g, dan penimbang dapur selalunya hanya boleh detect 5g ke atas.
- Sewaktu menimbang rambut di dalam plastik tadi, timbang juga berat plastik yang kosong. Tolak perbezaan berat untuk mendapatkan berat rambut sahaja tanpa plastik.
- Darabkan berat rambut tersebut dengan nilai emas atau perak, ikut kemampuan Mama Papa.
Semoga panduan cukur rambut bayi ini memudahkan Mama dan Papa, terutamanya yang baru pertama kali dikurniakan cahaya mata.