Tabiat seorang anak korek hidung adalah antara amalan kotor yang biasanya dilakukan oleh kanak-kanak pada awal usianya. Ia bukan sahaja satu tabiat yang tidak sihat, malah boleh membahayakan dirinya sendiri.
Ia sering dilakukan pada fasa usianya yang masih mentah dan tidak mempunyai sifat malu yang tinggi berbanding dengan kanak-kanak yang berusia lebih tua.
Semakin menginjak usia, perbuatan tersebut secara umumnya akan berkurangan disebabkan sifat malunya. Tabiat ini akan mula dilakukan secara senyap apabila mereka menyendiri dan kurang kelihatan semasa berada di khayalak ramai.
Anda sebagai ibu bapa pasti tidak mahu anak-anak yang disayangi terbiasa dengan tabiat ini bukan? Ia bukan sahaja memalukan, malah turut boleh disertai dengan kesan-kesan yang tidak diingini seperti pendarahan, jangkitan kuman dan sebagainya.
Jadi apa yang patut anda lakukan apabila anak anda telah terbiasa korek hidung samada di khalayak ramai ataupun secara senyap?
Jom kita lihat punca-punca, kesan dan cara untuk mencegah anak daripada mengorek hidung.
Punca-Punca Kanak-Kanak Korek Hidung
Terdapat pelbagai faktor yang berkait dengan tabiat ini.
Pertama: Suka Meneroka
Seperti yang kita sedia maklum, kanak-kanak di awal usia mempunyai keinginan meneroka yang tinggi. Bukan sahaja terhadap persekitaran mereka, malah terhadap tubuh badan mereka juga.
Ada sahaja ruang kosong, anak-anak pasti akan cuba untuk mengorek atau ‘explore’ apa yang ada di dalamnya. Atau bagaimana kedalaman ruang tersebut.
Atas sebab itu, anda pasti akan berada dalam keadaan di mana bendasing terlekat di dalam lubang hidung anak-anak semasa mereka masih kecil.
Kedua: Rasa Tidak Selesa
Jika kanak-kanak kecil suka korek hidung disebabkan sifat menerokanya, bagi mereka yang lebih berusia terutamanya prasekolah adalah disebabkan faktor yang berlainan.
Kanak-kanak prasekolah didapati suka korek hidung disebabkan rasa tidak selesa yang terjadi pada kawasan tersebut seperti kesan-kesan hingus lama yang telah menjadi kupingan keras.
Sebagai contoh apabila mereka terkena jangkitan selesema, mereka tidak tahu cara untuk menghembuskannya keluar lalu menyebabkannya terkumpul pada rongga hidung tersebut.
Hingus-hingus itu lalu apabila kering menjadi kupingan keras yang membuatkan mereka berasa tidak selesa dan gatal. Lalu langkah terakhir yang diambil adalah dengan menggaru atau mengoreknya.
Ketiga: Alergi
Sebab yang ketiga pula boleh jadi kerana kegatalan akibat alergi yang dialami. Alergi boleh terjadi disebabkan debu, sejuk ataupun habuk.
Alergi juga berkait rapat dengan faktor genetik keluarga. Apabila terdapat ahli keluarga yang mempunyai masalah alergi terutamanya ibu atau bapa, anda akan dapati ada salah seorang daripada anak-anak turut mengalami keadaan yang sama.
Situasi ini dapat dilihat dengan kerap bagi mereka yang menghidapi masalah resdung. Seseorang itu akan sering bersin pada waktu pagi atau malam ketika sejuk, begitu juga jika terdedah kepada debu atau selepas memakan makanan laut.
Ia juga boleh disertai dengan rasa gatal pada hidung dan mungkin merebak hingga ke mata.
Kesan Korek Hidung
Walaupun korek hidung pada hakikatnya tidak dikategorikan sebagai suatu yang membahayakan, namun ia boleh mengakibatkan kesan-kesan buruk.
Sebagai contoh, anak-anak yang suka korek hidung dalam keadaaan kukunya yang tajam boleh menyebabkan pendarahan terjadi disebabkan lapisan permukaan rongga hidung yang lembut.
Selain itu, jangkitan kuman juga boleh terjadi apabila ia digaru dengan kuku yang kotor. Apa yang lebih merisaukan lagi adalah di kala seluruh dunia tengah kecoh dengan wabak COVID-19 ini, tabiat ini boleh menyebabkan anak anda mudah untuk dijangkitinya.
Situasi ini boleh berlaku terutamanya selepas bersentuhan dengan pesakit COVID-19 tanpa disedari. Sudah pasti anda tidak mahu kes-kes seperti ini terjadi.
Tambahan pula, kanak-kanak yang lebih lemah sistem pertahanan badannya boleh mengalami kesan komplikasi yang lebih teruk berbanding dengan golongan dewasa apabila diserang wabak tersebut.
Cara-cara Mencegah Anak-anak Daripada Mengorek Hidung
Menasihati Anak
Pada hakikatnya, anak-anak kecil masih lagi mentah dan tidak mengerti sebagaimana kanak-kanak yang telah memasuki alam persekolahan.
Mereka masih tidak dapat membezakan dengan jelas antara kelakuan baik atau buruk, begitu juga bersih dengan kotor.
Oleh itu, peranan anda sebagai ibu bapa penting dalam usaha, menasihati menegur dan mendidik mereka dengan baik.
Jangan sesekali cuba untuk mendidik atau menasihati mereka dengan cara sindiran atau ejekkan. Ia bakal memberikan kesan emosi yang mendalam terhadap jiwa mereka.
Malah, tahap keyakinan diri mereka juga turut akan luntur jika anda menggunakan gaya didikan seperti ini.
Mengajar Cara Betul Membersihkan Hidung
Kanak-kanak tidak lari daripada terdedah dengan jangkitan seperti selesema, batuk dan seangkatan dengannya.
Seperti yang kita sedia maklum, jangkitan selesema tergolong dalam faktor utama yang menyebabkan hidung anak tidak selesa akibat daripada hingus yang menjadi kupingan-kupingan keras pada ruang tersebut.
Apa yang anda boleh lakukan adalah dengan mengajarkan mereka tentang cara untuk membersihkan hingus dari rongga hidung menggunakan teknik hembusan.
Di samping itu, ajarkan juga mereka tentang amalan menjaga kebersihan tangan. Ini dapat mengelakkan daripada penyebaran bakteria atau virus disebabkan sentuhan pada hidung dengan menggunakan jari dan tangan yang kotor.
Pastikan mereka terbiasa untuk membasuh tangan sebelum atau selepas memegang atau mengorek hidung.
Amalan ini akan memberi pengajaran kepada mereka secara tidak langsung bahawa perbuatan korek hidung adalah tabiat yang kotor.
Pasti lama-kelamaan mereka secara sendirinya akan berasa kurang senang dengan tabiat tersebut lalu akan berhenti secara sendirinya.
3.) Elakkan Menggunakan Perkataan Berbentuk Larangan
Mengajar anak untuk berhenti korek hidung dengan menggunakan perkataan-perkataan larangan seperti “Jangan! Berhenti!” dan sebagainya akan membuatkannya lebih degil.
Lagi anda melarang, lagi banyak pula tabiatnya terjadi.
Sebaliknya, gunakan perkataan-perkataan yang berunsurkan dorongan dan puji-pujian apabila ia telah mula mematuhi nasihat anda.
Contoh: “Bagusnya anak Daddy! Dah tak korek hidung dah…hehehe”
Bicara seperti ini ternyata lebih berkesan dan ia juga boleh mengelakkan daripada terjadinya konflik antara ibu bapa dengan anak.
Tabiat korek hidung bukanlah suatu tabiat yang dikategorikan sebagai merbahaya dari aspek kesihatan walaupun boleh mengakibatkan pendarahan atau jangkitan kuman.
Namun, anda juga tidak boleh membiarkannya berlarutan kerana ia bukanlah suatu amalan yang baik dan perlu dicegah dari usia awal.
Semoga bermanfaat!