Si bulus anda baru melahirkan anak kucing yang comel-comel atau anda baru je nak belajar bela? Tahu tak apa yang perlu anda buat? Kalau tak tahu, jom ikuti perkongsian Motherhood kali ni mengenai cara penjagaan anak kucing yang betul.
Si kecil yang comel ni sebenarnya memerlukan penjagaan yang rapi dan teliti. Jadi, bagi memastikan si comel ini membesar dengan sempurna dan sihat, anda perlu ikuti langkah-langkah di bawah.
Jom lihat!
Cara Jaga Anak Kucing Yang Betul
Tak kisahlah nak bela anak kucing parsi ke, anak kucing kampung ke atau apa-apa je lah kacukan anak kucing comel tu, semuanya tetap perlukan penjagaan yang betul. Jadi, jom ikuti panduan cara jaga anak kucing di bawah ini:
#1. Tempat Tidur Yang Bersih dan Selesa
Asas paling utama adalah tempat tidur yang bersih, selesa, sedikit hangat dan gelap serta terlindung dan selamat dari ancaman bahaya.
Kalau nak tahu, ibu kucing tak suka duduk di tempat di mana anak-anaknya senang dilihat. Antara sebab adalah takut jika kucing jantan melihat anak kucing lalu membunuhnya.
Ibu kucing juga tak suka kalau manusia kerap memegang anaknya dan akan berpindah merata tempat yang dia rasakan adalah selamat dan selesa.
Anda juga perlu kerap menukar kain pelapik untuk pastikan tempat baby kucing sentiasa dalam keadaan bersih untuk elakkannya dari mudah terkena penyakit.
Lagi menarik kalau Mommy boleh sediakan rumah kucing yang khas untuknya.
#2. Bekas Makanan Yang Tidak Mudah Pecah
Untuk anak kucing comel yang sudah boleh menjamah makanan, pastikan anda meletakkan bekas makanan yang tidak pecah. Pilih yang sesuai dengan saiz dan ketinggian si comel anda.
Kalau boleh, pilih bekas yang berat dan tidak mudah bergerak atau senang terbalik. Kerap cuci bekas makanan dan minuman mereka untuk elakkan jangkitan bakteria atau virus.
#3. Beri Makan Ikut Kesesuaian Umur
Penting untuk anda tahu, si comel ini perlu diberi makan mengikut berat dan peringkat umur mereka.
Untuk anak kucing yang umurnya kurang dari 2 bulan, anda boleh beri makanan wet food anggaran berat antara 45 gram ke 50 gram yang dicairkan disebabkan perut mereka yang masih kecil dan hanya perlu sedikit makanan dan kerap bersama susu.
Untuk si comel yang berumur dalam lingkungan 2-4 bulan pula, anda perlu beri makanan yang lengkap nutrisi penting seperti,mineral, kalsium dan phosphorus untuk tulang dan gigi, anti-oksida (taurine, Vitamin A dan E) untuk kuatkan daya tahan tubuh mereka serta protein untuk kuatkan otot.
Disarankan pengambilan wet food dalam 50 gram ke 90 gram sehari.
#4. Elakkan Susu Lembu
Untuk anak kucing yang kematian ibu, elakkan pemberian susu lembu tau!
Bahaya untuk mereka kerana ada laktosa. Anda boleh beli susu yang dirumus khas untuk si comel di kedai haiwan atau dapatkan ibu kucing tumpang untuk mereka.
#5. Ajar Anak Kucing Tempat Untuk Poo dan Pee
Paling senang nak ajar si comel untuk membuang adalah dengan meletakkan pasir berdekatan tempat makan atau tempat mereka tidur. Paling mudah letakkan dalam sangkar lah.
Letak satu bekas yang berisi pasir di dalamnya selepas 2 minggu si comel dilahirkan.
Pada permulaan, anda akan lihat mereka tidur dan bermain di dalam pasir tersebut dan lama-kelamaan mereka akan mula belajar untuk mengorek pasir dan membuang dengan sendiri.
Bila dah pandai, barulah anda lepaskan mereka bermain di luar sangkar tetapi perlu pastikan sangkar sentiasa terbuka kerana mudah untuk mereka membuang najis nanti.
Paling penting, kerap buang najis yang terkumpul dan tukar pasir baharu untuk elak pencemaran bau dan jangkitan penyakit.
#6. Beri Anak Kucing Bermain Alat Mainan
Kalau banyak anak kucing, tak menjadi masalah kalau mainan tidak ada sebabnya mereka akan bermain sesama sendiri.
Tetapi bagi si comel yang hanya seekor sahaja, adalah lebih baik jika anda membelinya mainan kucing seperti tikus mainan, bola kertas atau apa-apa mainan bersesuaian untuk buatkannya kekal cergas dan aktif.
#7. Rawatan Kesihatan
Untuk kekalkan kesihatannya pada tahap optimum, anda boleh membawa mereka berjumpa dengan doktor Veterinar bagi mendapatkan khidmat nasihat.
Kebiasaannya, doktor akan memberikan mereka rawatan seperti awal vaksinasi, parasit, gigi dan lain lain.
Si comel anda yang sihat, pasti akan mendatangkan dan mewujudkan suasana ceria dalam rumah anda. Jadi, diharapkan panduan ini dapat memberi ilmu yang bermanfaat kepada anda.
Dapatkan juga pelbagai lagi tips, petua dan panduan yang lain di SINI!