Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Apa Ibu Bapa Perlu Tahu Tentang Speech Delay Atau Anak Lambat Bercakap

anak lambat bercakap

Sumber: Adobe Stock

Kadang-kala geram betul tengok kanak-kanak kecil petah bercakap kan? Lagi-lagi kalau berceloteh siap dengan menggerak-gerakkan jari dan badan. Tapi anak sendiri umur dah lebih dua tahun tak pandai lagi bercakap, risau pula!

Mommy dan Daddy jangan terburu-buru berasa risau, sebab setiap kanak-kanak berkembang mengikut kadar masing-masing, tak kiralah dari segi percakapan, tumbuh gigi, tinggi, berat, dan macam-macam lagi.

Walaupun begitu, kita mesti peka terhadap perkembangan anak-anak dan tunggu atau cari tanda-tanda yang membimbangkan yang boleh mengganggu perkembangan mereka.

Anak Lambat Bercakap? Bila Anak Sepatutnya Boleh Mula Bercakap?

Seorang kanak-kanak berusia dua tahun pada kebiasaannya boleh menyebut dalam 50 perkataan dan membuat ayat dengan dua atau tiga perkataan.

Perkataan pertama mereka selalunya adalah “da-da” atau “ma-ma”, dan ayat yang boleh disuarakan selalunya adalah seperti “nak susu”.

Pada usia tiga tahun, mereka boleh menyebut dalam 1,000 perkataan dan membuat ayat dengan tiga dan empat perkataan, atau lebih.

Highlighted

Sumber: Getty Images

Sekiranya anak Mommy belum mencapai ‘milestones‘ tersebut mengikut peringkat umur mereka, ada kemungkinan anak Mommy sedang mengalami kelewatan pertuturan atau pun ‘speech delay‘.

Ini hanyalah garisan panduan umum, dan akan bergantung kepada Mommy untuk mengagak-agak pencapaian anak memandangkan Mommy akan lebih tahu tentang perkembangan anak sendiri.

Sekiranya Mommy mengesyaki anak lambat bercakap atau sedang mengalami speech delay, ia tak bermaksud ada sesuatu yang tak kena dengan anak Mommy!

Mungkin perkembangannya dari segi pertuturan agak lambat sedikit berbanding kanak-kanak lain.

Boleh jadi juga speech delay itu disebabkan oleh gangguan pendengaran atau gangguan neurologi yang boleh melambatkan perkembangan tersebut.

Apakah Yang Menyebabkan Anak Lambat Bercakap atau Speech Delay?

Seperti yang disebutkan tadi, anak yang lambat bercakap, mungkin hanya lambat sedikit sahaja berbanding mereka yang normal kerana setiap kanak-kanak berkembang pada kadar masing-masing.

Tetapi terdapat beberapa puncayang mungkin boleh dikenalpasti, yang boleh menyebabkan speech delay.

Antaranya:

1. Masalah mulut, lidah, atau lelangit. Dalam keadaan yang disebut ankyloglossia atau lidah pendek, lidah bersambung dengan lantai mulut dan menyukarkan anak kecil menyebut beberapa huruf termasuk D, L, R, S, T, dan Z.

2. Masalah pendengaran. Anak kecil yang tidak dapat mendengar dengan baik akan mengalami kesukaran untuk membentuk dan menyebut perkataan. Tanda besar anak kehilangan pendengaran ialah tidak menjawab apabila dipanggil atau tidak mengenali objek jika Mommy menamakannya, tapi mereka boleh faham jika menggunakan isyarat tangan.

Sumber: Getty Images

3. Masalah pemahaman atau ketidakupayaan belajar. Beberapa gangguan pertuturan dan bahasa melibatkan fungsi otak dan mungkin menunjukkan ketidakupayaan pembelajaran. Ia boleh menyebabkan gangguan fizikal yang menyukarkan pembentukan bunyi dalam urutan yang betul untuk membentuk dan menyebut perkataan.

4. Masalah neurologi. Sesetengah gangguan neorologi boleh mempengaruhi otot yang diperlukan untuk bercakap atau menyebut sesuatu perkataan. Contohnya seperti cerebral palsy, otot dystrophy, dan trauma kecederaan otak.

Bagaimana Pula Dengan Autism?

Masalah pertuturan atau speech delay selalu dikaitkan dengan autisme, atau autism spectrum disorder.

Memang salah satu ciri-ciri gangguan spektrum autism ialah kegagalan untuk berinteraksi atau bercakap walaupun telah mencapai sesuatu peringkat usia, tapi kegagalan untuk bercakap itu sendiri tak semestinya menandakan kanak-kanak tersebut mempunyai gangguan autism!

Malah, menurut kajian daripada Pyschology Today menunjukkan bahawa hampir 70% kanak-kanak yang lambat bercakap tidak mempunyai gangguan autism.

Sumber: Getty Images

Kalau Mommy khuatir anak anda mungkin mengalami autism, tanda-tanda autism spectrum disorder lain yang boleh diperhatikan termasuk:

  • tidak membuat ayat, sebaliknya asyik mengulang sesuatu ayat yang dipanggil echolalia
  • mempunyai tingkah laku yang berulang-ulang
  • komunikasi verbal dan bukan verbal terganggu
  • interaksi sosial terganggu
  • lambat pertuturan dan bahasa (speech delay dan juga language delay)

Apa Yang Boleh Dibuat Untuk Menggalakkan Anak Bercakap?

Disebabkan tumbesaran dan perkembangaan kanak-kanak adalah pada kadar yang berbeza, kadang-kala susah untuk kenal pasti jika anak mempunyai masalah pertuturan atau lambat sedikit sahaja.

Antara 10 hingga 20 peratus kanak-kanak berusia dua tahun lambat bercakap, dan kanak-kanak lelaki lebih cenderung untuk tergolong dalam kumpulan ini.

Sebilangan besar kanak-kanak sebenarnya tidak mengalami gangguan pertuturan atau bahasa dan boleh bercakap atau bertutur secara normal sekitar umur tiga tahun.

Mommy dan Daddy boleh cuba beberapa perkara untuk mempercepatkan perkembangan pertuturan anak seperti di bawah ini.

1. Terapi Pertuturan

Menghantar anak ke terapi pertuturan adalah langkah terbaik jika anak lambat bercakap.

Pakar terapi akan dapat membantu mengenalpasti punca lambat bercakap dan memberi rawatan yang sesuai dengan anak bergantung kepada peringkat usianya.

Jika mendapatkan terapi dengan awal, anak pasti boleh bertutur seperti biasa sebelum masuk ke sekolah.

Sumber: Getty Images

2. Sentiasa Berkomunikasi

Mommy dan Daddy perlu sentiasa berkomunikasi dan bercakap dengan anak depan mereka.

Kalau anak tak pandang pun, Mommy boleh bercakap tentang apa yang sedang Mommy buat, seperti “Mommy nak tukar lampin sayang, ok?” atau “Kereta mainan ni warna apa ye? Mommy rasa warna merah!”, dan macam-macam lagi perkara yang mungkin Mommy rasa tak perlu disebut, tapi ia akan dapat membantu anak-anak ‘pick-up‘ perkataan-perkataan tersebut.

Pastikan Mommy bercakap secara perlahan dan terang. Elakkan mengguna “bahasa bayi” yang tak membawa apa-apa maksud, dan mula bercakap seperti biasa dengan anak sejak mereka lahir lagi.

3. Elakkan Menggunakan Gajet

Gajet seperti telefon bimbit dan tablet memang tidak dinafikan banyak membantu kalau Mommy dan Daddy sedang mengendalikan urusan dan memerlukan anak untuk tidak mengganggu, terutama sekali pada waktu wabak pandemik COVID-19 ini, dimana kedua-dua ibu bapa mungkin perlu bekerja dari rumah.

Walau bagaimanapun, cuba untuk mengurangkan penggunaan gajet, tetapi bila perlu, Mommy dan Daddy masih boleh berinteraksi dengan anak menerusi rancangan yang ditontoni pada gajet.

Contohnya bertanyakan tentang watak-watak kartun yang sedang mereka tontoni.

Sumber: Getty Images

4. Banyakkan Membaca Buku Atau Menyanyi

Walapun anak kecil masih belum boleh membaca, aktiviti membaca bersama dapat merangsang otak anak-anak dan boleh mencetus minat untuk bercakap.

Ia juga akan dapat meningkatkan perbendaharaan kata anak supaya mereka boleh mengingati lebih banyak perkataan.

Selain itu, Mommy boleh kerap menyanyi lagu-lagu kanak-kanak yang diminati oleh anak-anak kerana lebih mudah untuk mereka mengikuti bunyi perkataan dalam bentuk lagu.

Kadang-kadang kelewatan pertuturan boleh disebabkan oleh keadaan kesihatan yang memerlukan rawatan.

Dalam kes ini, terapi pertuturan boleh digunakan bersama dengan terapi lain untuk keadaan seperti yang disebutkan di atas.

Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, Mommy dan Daddy perlu peka dengan perkembangan anak dan dengar naluri dan kata hati jika bimbang tentang kesihatan anak.