Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Panduan Lengkap Syarat Aqiqah Anak Lelaki Dan Perempuan Mengikut Dalil Tepat

aqiqah anak lelaki

Kredit gambar: id.theasianparent.com

Ibadah aqiqah anak lelaki dan anak perempuan dilakukan bagi tujuan untuk memanjatkan segala kesyukuran ke atas nikmat dikurniakan anak oleh Allah S.W.T. Menurut hadis riwayat Abu Daud, At-Tirmizi dan Ibnu Majah bahawasanya:

“Setiap anak yang lahir itu terpelihara dengan aqiqahnya yang disembelih untuknya pada hari ke tujuh, dari hari lahirnya – dicukur seluruh rambutnya dan diberikan nama yang membawa maksud yang baik.”

Ibnu Al-Qayyim menegaskan bahawa aqiqah itu memelihara bayi tersebut daripada golongan syaitan dalam urusan dunia dan akhirat.

Highlighted


Manakala menurut Imam Malik pula, beliau menyatakan bahawa, hukum aqiqah ini adalah perintah yang tidak dapat diperselisihkan lagi. Imam Ibnu Qayyim pula menyabitkan aqiqah dengan nilai korban seekor kambing yang dikurniakan oleh Allah S.W.T yang dijadikan sebagai ganti diri untuk Nabi Ismail a.s.

Maka dengan itu, sangat jelas difahamkan bahawa penyembelihan aqiqah untuk anak yang dilahirkan ini sangat berguna untuk melindungi bayi daripada segala gangguan syaitan.

Untuk memahami dengan lebih jelas apakah syarat-syarat yang diperlukan untuk melakukan ibadah ini, jom ikuti perkongsian di bawah!

Apa Itu Aqiqah Anak Lelaki dan Anak Perempuan

Nor Sham Soyod / Shutterstock.com

Aqiqah anak lelaki dan anak perempuan merupakan satu ibadah Islam iaitu dengan cara mengorbankan haiwan untuk bayi perempuan dan lelaki yang baharu sahaja dilahirkan. Ibadah aqiqah ini sangat afdal jika dilakukan sembelihan haiwan pada hari ke-7 kelahiran bayi.

Hukum aqiqah adalah sunat muakkadah (dituntut) iaitu bagi orang yang berkemampuan untuk melaksanakannya. Terdapat hadis daripada Salman bin Amir al-Dhabbi r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:

مَعَ الْغُلاَمِ عَقِيقَتُهُ فَأَهْرِيقُوا عَنْهُ دَمًا وَأَمِيطُوا عَنْهُ الأَذَى

Maksudnya:

“Bersama-sama kelahiran bayi ada aqiqahnya. Oleh itu, tumpahkanlah darah aqiqah bagi pihaknya dan buangkanlah kekotoran dan najis daripadanya.”

(Riwayat al-Bukhari 2839)

Ibadah aqiqah ini sunat dilakukan pada hari ketujuh kelahiran bayi tersebut. Pada hari tersebut juga disunatkan untuk memberikan nama yang baik serta melakukan ibadah mencukur rambut bayi tersebut. Hal ini bertepatan dengan sabda Baginda Rasulullah S.A.W daripada Samurah r.a:

الْغُلاَمُ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ يُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ السَّابِعِ وَيُسَمَّى وَيُحْلَقُ رَأْسُهُ

Maksudnya:

“Bayi itu tertebus dengan aqiqahnya. Disembelih aqiqah pada hari yang ketujuh kelahirannya, diberikan nama dan dicukur rambutnya.”

(Riwayat Abu Daud 1522)

Malah Imam Syafie turut menyimpulkan berdasarkan sebuah hadis di mana Nabi Muhammad S.A.W bersabda:

“Tiap-tiap anak itu tertebus (terpelihara daripada kemudaratan dan kemungkaran) dengan aqiqahnya, disembelih haiwan untuknya pada hari ketujuh, dicukur kepalanya dan diberi nama.”

(Maksud hadis riwayat Ahmad dan Tirmidzi)

Oleh itu, sangat jelas berdasarkan hadis-hadis sahih di atas bahawa disunatkan untuk dilaksanakan aqiqah ke bayi tersebut dengan bilangan sebanyak dua ekor kambing iaitu bagi bayi lelaki manakala untuk bayi perempuan pula adalah seekor kambing.

Ini dijelaskan melalui hadis Nabi Muhammad S.A.W iaitu:

مَنْ وُلِدَ لَهُ وَلَدٌ فَأَحَبَّ أَنْ يَنْسُكَ عَنْهُ فَلْيَنْسُكْ عَنِ الْغُلاَمِ شَاتَانِ مُكَافِئَتَانِ وَعَنِ الْجَارِيَةِ شَاةٌ

Maksudnya:

“Sesiapa yang dikurniakan anak dan ingin melakukan ibadat untuknya, maka lakukanlah ibadah aqiqah bagi anak lelaki dua ekor kambing dan bagi anak perempuan pula seekor kambing.”

(Riwayat Abu Daud 2842)

Syarat Aqiqah Anak Lelaki dan Aqiqah Anak Perempuan

Berikut merupakan syarat aqiqah anak lelaki dan perempuan iaitu:

  • 2 ekor kambing untuk anak lelaki
  • 1 ekor kambing untuk anak perempuan
  • Atau pun seekor lembu di mana ia dibahagikan kepada 7 bahagian iaitu 1 bahagian bersamaan dengan seekor kambing.

Bahagian ini dijelaskan daripada hadis riwayat Aisyah iaitu:

“Rasullulah SAW memerintahkan kepada kami supaya menyembelih aqiqah untuk anak lelaki dengan dua ekor kambing dan untuk perempuan seekor.”

Manakala untuk satu bahagian lembu bersamaan seekor kambing pula disebut dalam al-Khatib al-Syarbini Rahimahullah di dalam Kitab Mughni al-Muhtaj:

وَكَالشَّاةِ سُبْعُ بَدَنَةٍ أَوْ بَقَرَةٍ، فَلَوْ ذَبَحَ بَدَنَةً أَوْ بَقَرَةً عَنْ سَبْعَةِ أَوْلَادٍ، أَوْ اشْتَرَكَ جَمَاعَةٌ فِيهَا جَازَ، سَوَاءٌ أَرَادُوا كُلُّهُمْ الْعَقِيقَةَ أَوْ بَعْضُهُمْ الْعَقِيقَةَ وَبَعْضُهُمْ اللَّحْمَ

Maksudnya:

“Dan bagi seekor kambing itu 1/7 (satu bahagian) dari unta dan lembu. Sekiranya disembelih unta atau lembu itu dari 7 orang anak atau dikongsi secara beramai-ramai, ia juga dibolehkan sama ada dengan sembelihan itu kesemua (bahagian) diniatkan untuk aqiqah atau sebahagian untuk aqiqah dan sebahagian lagi hanya untuk mendapatkan daging sahaja.”

Namun begitu, bukan menjadi satu kewajiban untuk melakukan aqiqah bagi bayi lelaki dengan dua ekor kambing kerana Nabi Muhammad S.A.W pernah membuat aqiqah untuk cucu Baginda iaitu Saidina Hassan r.a dan juga Saidina Husin r.a di mana setiap seorang dengan seekor kibas.

5 Syarat Sah Aqiqah

Dalam menjalankan ibadah aqiqah ini, Islam telah pun memberi batasan/syarat yang ringan, tetapi walaupun tampak ringan tetapi jika tidak dipelajari akan salah dalam melakukannya.

Berikut merupakan syarat-syarat sah aqiqah iaitu:

  • Berniat aqiqah ketika menyembelih.
  • Binatang aqiqah harus berkaki 4, sama ada kambing, biri-biri, unta, lembu, dan kerbau.
  • Binatang tersebut memenuhi syarat-syarat sembelihan.
  • Tidak ada cacat pada binatang yang ingin disembelih
  • Umur binatang yang ingin disembelih harus cukup umur

Hikmah Melakukan Aqiqah Anak Lelaki dan Perempuan

Kredit gambar: surausrimelor.wordpress.com

Berikut merupakan hikmah melakukan ibadah aqiqah ini iaitu:

  • Dapat menghidupkan sunnah Nabi Muhammad S.A.W.
  • Membebaskan anak dari ketergadaian.
  • Dapat memberi perlindungan anak dari gangguan syaitan.
  • Menghindarkan anak dari musibah, keburukan moral, dan penderitaan yang berpanjangan.
  • Sebagai tanda untuk mewujudkan rasa syukur kepada Allah S.W.T..
  • Menimbulkan rasa gembira dengan rezeki dikurniakan anak.
  • Memperkuat lagi tali-tali silaturrahim.

Semoga dengan perkongsian ini, anda semua dapat memahaminya dengan lebih jelas. Selain itu, bagi anda yang belum lagi memilih nama bayi, boleh cuba memilih nama-nama bayi yang sesuai untuk dinamakan bersamaan dengan ibadah aqiqah nanti di SINI!

Rujuk panduan solat, zikir, doa dan ibadah-ibadah lain DI SINI.