Selain daripada tiang rumah, atap atau bumbung rumah merupakan ciri lain yang terpenting dalam pembinaan sebuah rumah tu.
Mommy dan Daddy tahu tak, kalau atap rumah tak sesuai, banyak kesan buruk pada rumah baru Mommy nanti. Sebagai contoh, akan berlaku takungan air, dinding rumah retak dan siling rumah bocor sana sini.
Bukan benda kecil ni kan? Nak baiki nanti, satu kerja pula lah. Keluar lagi bajet!
Tips Memilih Atap Rumah Yang Sesuai
Disebabkan itulah, Mommy dan Daddy kena betul-betul cakna dalam memilih jenis atap rumah. Bukan boleh main pilih design yang berkenan je tau.
Yang paling penting, Mommy kena pilih berdasarkan kesesuaian dan fungsinya dari beberapa aspek seperti jenis atap, bentuknya, rekaannya dan tinggi dinding rumah.
Menurut perkongsian daripada Vocket, antara tips dalam memilih atap rumah yang terbaik adalah:
- Pilih jenis atap yang curam supaya dapat menampung cuaca dan iklim di Malaysia dengan lebih baik.
- Reka bentuk atap dengan perletakkan tiang rumah hendaklah pada angle yang sesuai untuk mengelakkan rekahan struktur rumah.
- Untuk rumah di kawasan berbukit, lapang dan tinggi, rekaan unjuran bumbung tidaklah boleh panjang sangat untuk mengurangkan tekanan rintangan angin.
- Design atap yang rata tidaklah sesuai untuk cuaca negara kita kerana mudah untuk air bertakung dan menyebabkan kebocoran dan penyerapan air.
- Kalau nak memilih bentuk atap yang bersambung dengan dinding rumah, kena hati-hati ya. Reka bentuk atap sebegini mudah untuk berlaku kebocoran.
7 Jenis Atap Rumah
Jadi bila dah tengok tips-tips ini, rasa-rasanya untuk rumah dan kedudukan geografi tanah Mommy dan Daddy tu, jenis atap rumah yang macam mana yang paling sesuai?
#1. Atap genting simen/konkrit
Harga atap genting jenis simen atau konkrit ni agak ‘keras’ ya. Ini kerana pembuatannya bukanlah biasa-biasa. Hasil campuran simen dan bahan-bahan lain dalam pembuatannya membuatkan ia berat, kuat dan kukuh.
Atap rumah jenis ni memang tahan perubahan cuaca dan api. Ia selalunya datang dengan bentuk melekung dan rata serta pelbagai warna.
#2. Atap genting tanah liat
Kalau di Malaysia, atap jenis tanah liat ni memang popular kan? Dengan harga yang agak murah di pasaran, ramai yang memilih untuk menggunakan atap ini kerana kukuh terhadap angin dan hujan yang kuat.
Ia juga susah untuk terbakar dan tidak mudah lapuk dengan perubahan cuaca.
#3. Atap metal deck
Atap metal deck diperbuat daripada zincalume steel yang membuatkan ia ringan dan tidak berkarat. Atap rumah jenis ini boleh memantulkan semula haba yang akan membuatkan rumah Mommy dan Daddy lebih sejuk.
Yang ini pun kita selalu tengok orang guna kan? Terutamanya untuk pembinaan garaj kereta dan bangsal. Macam-macam warna ada!
#4. Atap genting seramik
Atap jenis seramik pula adalah atap rumah tanah liat yang diinovasikan. Ia ada tambahan finishing glazer di bahagian atasnya. Yang Mommy nampak berkilat dan licin tu inilah.
Selain daripada cantik, ia tahan lama dan tak pudar warnanya.
#5. Atap genting zink
Kalau atap rumah yang jauh murah harganya, memang jenis zink la kan? Kalau di kampung, kita selalu tengok banyak rumah kayu guna atap ni.
Memang ia murah dan tahan lama. Tetapi kerana ia mudah berkarat dan menyerap haba, itu yang selalu menjadi pertimbangan kalau-kalau nak guna atap jenis ni.
Dari segi estetika pula, memang kurang cantik sikit lah berbanding yang lain.
#6. Atap asbestos
Atap asbestos ini sebenarnya pernah menjadi isu kerana material nya sendiri boleh membahayakan kesihatan paru-paru manusia.
Walaupun harganya murah dan tidak menyerap haba seperti atap zink, ia tidak tahan lama. Atap ini mudah rosak dan reput. Kalau untuk binaan sementara, mungkin boleh dipertimbangkan.
#7. Atap shingles
Atap shingles adalah antara yang menggunakan teknologi terkini. Jenis ini agak ringan dan tahan lama dengan harga yang berpatutan.
Kalau dengan cuaca di Malaysia ni, ia boleh bertahanlah. Cara pemasangan dan penyelenggaraannya pun tak adalah rumit sangat. Mudah untuk diperbaiki dan digantikan yang baru.
Tips Memilihnya
Setiap jenis atap, mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing kan? Sebaiknya, Mommy dan Daddy berbincanglah dengan pihak arkitek dan kontraktor rumah dan pilih yang mana terbaik untuk rumah baru nanti.
Sumber: buildspaces
Dapatkan pelbagai tips renovation dan idea dekorasi untuk rumah anda di SINI.