Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Berkenan Untuk Memasang Awning Rumah? Ketahui Beberapa Jenis Awning Dan Cara Memasangnya Sendiri

Awning rumah mungkin tidak diberikan perhatian ramai kerana tidak semua orang memerlukannya. Jika rumah Mommy landed seperti rumah banglo atau teres, kebarangkalian besar Mommy memerlukannya.

Ia mungkin bertujuan untuk mendapatkan perlindungan daripada cahaya matahari yang terik ataupun hujan yang lebat. Ada juga yang menambahnya untuk menaikkan seri rumah!

Apa Itu Awning Rumah?

Buat pengetahuan Mommy, awning rumah adalah sejenis penutup seperti bumbung yang memanjang dibahagian luar rumah. Ia sering dipasangkan di bahagian hadapan atau belakang rumah, dan sering dijumpai di atas tingkap dan pintu rumah.

Highlighted

Sumber: Getty Images

Awning boleh didapati dalam beberapa jenis atau bentuk, bahan, dan juga saiz untuk menampung pelbagai jenis kegunaan.

Tidak seperti bahagian rumah lain yang lebih kekal atau ‘permanent‘, awning rumah boleh diperbaiki, ditarik balik, atau dialihkan.

Penting Atau Sekadar Hiasan?

Kalau ikutkan cuaca di Malaysia, awning untuk rumah sebenarnya penting untuk beberapa sebab.

Kedua-dua cahaya matahari dan juga hujan boleh menghakis bahagian rumah anda yang terdedah kepada unsur-unsur tersebut dalam jangka masa yang panjang.

Awning rumah penting untuk menjaga harta benda seperti kereta yang diletakkan di anjung rumah, dan juga bagi mereka yang menyidai baju di luar rumah.

Memang tak dinafikan cahaya matahari memang amat membantu mengeringkan baju secepat mungkin, tapi sinar UV daripada cahaya matahari boleh memudarkan warna dan merosakkan baju di masa hadapan.

Selain itu, awning juga dapat membantu menurunkan suhu di dalam rumah dengan mengurangkan haba dan silau langsung matahari, justeru dapat mengurangkan kos bil elektrik!

Jenis-jenis Awning Untuk Rumah Kediaman

1. Logam/Aluminium

Kalau Mommy ingin memasang awning untuk kepraktisannya dan tahan lasak dalam jangka masa panjang, aluminium adalah pilihan yang terbaik.

Bergantung kepada jenis logam dan aluminium, terdapat banyak pilihan yang bertahan selama berpuluh tahun dengan hanya sedikit penyelenggaraan.

Walaupun tidak ‘glamour‘, ada juga jenis yang boleh dicat untuk dipadankan dengan warna rumah Mommy. Tak pun, Mommy boleh memilih jenis yang memang sudah mempunyai warnanya sendiri.

Awning rumah jenis aluminium selalunya adalah tebal dan kukuh untuk menghadap bahang matahari dan curahan air hujan yang kerap.

Awning logam jenis ‘aluminium composite panel‘, atau juga dikenali dengan ACP terkenal kerana mempunyai banyak reka bentuk dan warna.

Harganya juga masih berpatutan dan bermula dari RM25 – RM55 sekaki.

Ada juga jenis melengkung dan yang lebih tahan lasak, tetapi agak mahal dan boleh mencecah ratusan ringgit sekaki.

2. Kaca/Gelas

Awning yang diperbuat daripada kaca atau gelas dari jenis ‘tempered glass‘ boleh didapati dalam dua bentuk, iaitu rata atau melengkung.

Ketahanan awning rumah jenis gelas ini juga mempunyai daya ketahanan yang tinggi. Kalau jatuh pun, ia takkan pecah secara berderai kerana mempunyai sokongan polyvinyl butyral (PVB).

Kelebihan lain awning kaca ialah ia tidak mudah rosak dan datang dalam pelbagai jenis corak, tekstur, dan warna.

Awning yang diperbuat daripada kaca nampak moden, mewah, dan kontemporari, dan harganya bermuda daripada RM40 sekaki, serasi dengan kualitinya.

3. Polycarbonated

Awning rumah jenis ‘polycarbonated‘ adalah seolah-olah jenis awning kaca atau gelas kerana ia tidak tapis cahaya sepenuhnya. Walau bagaimanapun, ia lebih ringan dan telus, serta tidak membuatkan bunyi yang terlalu bising semasa hujan lebat.

Kekurangannya ialah ia akan memberikan kesan tompokan daripada curahan air hujan, jadi perlu dibersihkan dengan lebih kerap.

Awning jenis ini sangat boleh dijadikan pilihan jika Mommy sedang mencari jenis awning rumah yang tidak terlalu gelap dan sesuai untuk menjemur baju. Baju cepat kering dan juga terlindung daripada dibasahi air hujan.

Awning polycarbonated juga tahan lasak dan boleh menampung suhu paling tinggi dan paling rendah.

Tambahan pula, ia boleh digunakan agak lama, sehingga 10 tahun, bergantung kepada jenis, sama ada ‘solid‘ atau ‘emboss‘.

Jenis awning ini adalah antara yang paling murah, bermula dari serendah RM24 sekaki. Harga akhirnya akan berubah mengikut jenis ketebalan dan peratusan penembusan cahaya, sama ada separuh atau pun 80%.

Jadi ia mempunyai banyak faktor pembolehubah yang membuatkannya lebih menarik dan menjadi pilihan ramai.

4. Pergola

Pergola adalah sejenis awning yang lebih kekal dari segi binaannya, dibandingkan dengan jenis-jenis awning yang disebutkan tadi.

Pergola selalunya dipasangkan di rumah dengan disokongi oleh tiang-tiang. Ada yang diperbuat daripada kayu, dan ada juga yang diperbuat daripada besi.

Teduhan seperti ini lebih ‘trendy‘ kerana pergola sering dipasang dengan tujuan untuk meletakkan tumbuh-tumbuhan yang menjalar dan boleh berpilin dikeliling tiang dan atap pergola.

Pergola sering dipasang diruang yang lebih luas untuk bersantai, selain daripada dipasang di depan, belakang, atau tepi rumah.

Bergantung kepada bahan dan reka bentuk pergola, harganya boleh didapati dalam lingkungan RM40 sehingga RM150 sekaki.

5. Metal Deck/Zink

Awning rumah jenis zink adalah antara yang termurah di pasaran. Awning jenis ini mudah didapati dalam pelbagai warna, tetapi ia tidaklah begitu kukuh.

Tambahan pula, ia boleh menjadi bising ketika hujan lebat, cepat bocor, dan senang karat.

Awning zink ini boleh dipasang dengan agak luas disebabkan harganya yang murah, serendah RM14 sekaki. Tapi Mommy perlulah bersedia dengan kos penyelenggaraannya kerana ia tidak tahan begitu lama.

Cara Memasang Awning DIY

Perkhidmatan memasang awning rumah senang untuk didapati di Malaysia. Mommy boleh cari banyak penjual awning rumah yang menyediakan perkhidmatan memasangnya sekali.

Tapi kalau Mommy jenis suka buat pengubahsuaian rumah sendiri atau DIY, sesetengah jenis awning juga boleh dipasang sendiri. Jimat kos disitu!

Video dibawah adalah contoh memasang sendiri awning rumah jenis ACP dengan reka bentuk pergola.

Kalau Mommy betul-betul ingin memasang awning sendiri, Mommy perlulah mempunyai kemahiran asas mengendalikan alatan seperti penggerudi dan sebagainya.

Tambahan pula, selalunya pemasangan awning DIY memerlukan sekurang-kurangnya dua orang untuk memasangnya dengan selamat.

Yang pasti, kerja tangan sendiri tentu akan membuahkan hasil yang memuaskan!


Dapatkan e-baucar istimewa apabila Mommy mengundi jenama barangan bayi dan keperluan ibu hamil kegemaran Mommy di Motherhood Choice Awards 2022 hari ini!