Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Bantuan Kanak-Kanak (BKK) Sehingga RM1,000 Sebulan Tahun 2021

Kredit: stellarcells.com

Sejak negara dilanda pandemik, pelbagai insentif dan bantuan telah diumumkan oleh pihak kerajaan.

Malah semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh Malaysia bermula dari 12 Mei hingga 7 Jun 2021.

PKP 3.0 ini dilaksanakan demi menurunkan kadar keberjangkitan virus COVID-19 yang meningkat secara mendadak di Malaysia sejak akhir-akhir ini.

Untuk mengurangkan beban ibu bapa terutamanya bagi keluarga yang terkesan akibat daripada pandemik ini, anda MASIH BOLEH memohon Bantuan Kanak-kanak (BKK) 2021 yang bernilai sehingga RM1,000 sebulan untuk sebuah keluarga.

Highlighted

Gambar sekadar hiasan. (Kredit: freemalaysiatoday.com)

Apakah Bantuan Kanak-kanak (BKK) 2021?

Program ini merupakan sebuah bantuan yang diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membantu keluarga, penjaga, dan kanak-kanak dalam meneruskan kelangsungan kehidupan yang terkesan selepas melandanya pandemik.

Tambahan pula, jumlah bantuan yang diberikan sebelum ini hanyalah RM450, kini, bantuan tersebut telah dinaikkan sehingga RM1,000 sebulan.

Berdasarkan portal rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), berikut merupakan pengagihan Bantuan Kanak-kanak yang lama dan Bantuan Kanak-kanak bagi tahun 2021.

Jumlah Bantuan BKK Lama VS BKK 2021

Jumlah BKK Lama

  • Maksimum bagi seorang anak akan menerima bantuan sebanyak RM100.
  • Maksimum sebanyak RM450 jika mempunyai anak lebih daripada 4 orang.

Jumlah BKK Tahun 2021

  • Kanak-kanak berumur 7 tahun sehingga 18 tahun akan mendapat RM150 sebulan seorang.
  • Kanak-kanak berumur 6 tahun dan ke bawah akan mendapat RM200 sebulan seorang.
  • Maksimum sebanyak RM1,000 sebulan untuk sebuah keluarga.

Syarat Kelayakan Bantuan Kanak-kanak 2021

  1. Merupakan warganegara dan bermastautin di Malaysia.
  2. Pendapatan isi rumah tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Miskin Isi Rumah Semasa atau PGK Purata Miskin Per Kapita Semasa.
  3. Kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun (umur 18 tahun ke atas boleh dipertimbangkan jika bersekolah sehingga menengah atas sahaja).
  4. Mana-mana kes yang berkeperluan, layak dipertimbangkan dengan kelulusan Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat.

Untuk anda yang (layak) masih belum memohon bantuan ini, anda boleh ikuti langkah-langkah di bawah:

Cara Memohon BKK 2021

Permohonan Atas Talian

  1. Layari laman web ini untuk pendaftaran permohonan baru: eBantuan JKM
Kredit: ebantuanjkm.jkm.gov.my
  1. Isi maklumat yang diperlukan.
  2. Cetak borang permohonan.
  3. Sekiranya ada kemaskini, cetak borang kemaskini.

Permohonan Secara Manual

Berdasarkan maklumat yang dikongsikan oleh JKM, permohonan boleh dibuat di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daedah/Jajahan/Bahagian di seluruh negara.

Untuk memudahkan urusan pentadbiran, pemohon diminta membawa dokumen sokongan semasa hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah/Jajahan/Bahagian seperti:

  • salinan Kad Pengenalan diri pemohon
  • salinan Kad Pengenalan suami/isteri/ibu/bapa/anak yang tinggal bersama
  • salinan sijil kelahiran anak-anak/ahli keluarga yang tinggal bersama
  • salinan penyata gaji (jika ada)
  • lain-lain dokumen yang berkaitan

Borang yang Berkaitan

  • JKM 18 Borang Permohonan Bantuan
  • JKM 20 Borang Kaji Semula Bantuan

Untuk Pertanyaan

Jika berlaku sebarang masalah atau pertanyaan berkaitan dengan permohonan, Mama boleh menghubungi:

  • Laman rasmi JKM: https://www.jkm.gov.my/
  • Nombor Telefon: +603-8000 8000
  • Ibu Pejabat JKM:
    • Jabatan Kebajikan Masyarakat
      Aras 6, 9-18
      No 55, Persiaran Perdana,
      Presint 4,
      62100 Putrajaya

atau ke Pejabat JKM yang berhampiran.