Ibu, Bayi & Kanak Kanak

30 Barang Keperluan Bersalin Yang Anda Mesti Bawa Bersama

barang keperluan bersalin

Sumber: istockphoto

Bila tengok kalendar, dah nak dekat dah ni tarikh jangkaan bersalin. Persiapan di rumah untuk menyambut kelahiran si comel sudah hampir siap dah.

Macam mana pula dengan barang keperluan bersalin untuk dibawa ke hospital? Sudah lengkap ke?

Hmm.. Susahlah kalau agak-agak je bila mengemas barang keperluan ni. Untuk lebih tersusun, apa kata anda buat senarai lengkap seperti Irene Nadia ini?

30 Barang Keperluan Bersalin Untuk Ibu, Bayi Dan Bapa 

3 Dokumen Yang Wajib Dibawa

  1. Kad pengenalan ibu
  2. Kad pengenalan bapa
  3. Buku rekod kehamilan

Kesemua dokumen ini mesti ada untuk urusan bersalin di hospital ya.

10 Barang Keperluan Bersalin Untuk Bayi

#1. Baju bayi

Highlighted

Sumber: istockphoto

Kebiasaannya selepas bersalin, anda akan tinggal di hospital selama sehari dua jika tiada apa-apa masalah.

Dalam tempoh ini, bayi anda mungkin memerlukan 2 pasang baju sehari iaitu sepasang untuk waktu siang dan sepasang untuk malam. Jadi, 4 pasang baju bayi adalah bilangan yang sesuai.

#2. Lampin bayi

Menurut pengalaman Irene Nadia, bayi akan membuang air besar dan kecil dengan lebih kerap pada awal kelahirannya.

Jadi anda mungkin memerlukan jumlah lampin bayi yang agak banyak iaitu sekitar 10 keping sehari.

#3. Sarung tangan dan stoking bayi

Bayi yang baru lahir masih tidak dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran yang sejuk seperti bilik yang berhawa dingin di hospital.

Mereka juga cenderung untuk menggerakkan tangan mereka ke muka dan berkemungkinan akan mencederakan kulit dengan kukunya.

Jadi sarung tangan dan stoking bayi wajib ada dalam senarai ya! Secara ideal, padankanlah jumlahnya dengan bilangan baju si comel.

#4. Kain bedung bayi

Sediakan juga beberapa helai kain bedung bayi ya. Si comel anda akan lebih selesa apabila dibedung nanti.

#5. Sapu tangan bayi

Kadang-kadang, anda memerlukan kain bersaiz kecil untuk lap susu atau air yang tumpah secara tiba-tiba.

Berbanding dengan tuala, sapu tangan bayi adalah lebih senang untuk dibawa.

Selitkanlah sehelai dua sapu tangan bayi di dalam beg ya?

#6. Tisu basah

Sumber: istockphoto

Selain daripada menggunakan tisu kering yang dibasahkan dengan air suam, tisu basah juga boleh membersihkan najis bayi dengan berkesan dan mudah.

Terutamanya dengan keadaan anda yang masih lemah, tisu basah amatlah membantu untuk memudahkan urusan penjagaan bayi.

Bawalah 2 paket tisu basah yang bersaiz sederhana bersama.

#7. Tuala bayi

Tuala bayi diperlukan untuk memandikan atau membasahkan badan mereka. Sememangnya pihak hospital ada menyediakan tuala tetapi tuala bayi adalah yang paling sesuai dengan kulit mereka berdasarkan materialnya.

Sehelai mungkin sudah mencukupi.

#8. Minyak bayi

Sesetengah bayi mengalami masalah kembung perut dan penghadaman. Ini mungkin disebabkan oleh sistem badan mereka yang masih belum matang.

Keadaan ini boleh dilegakan dengan menyapu minyak bayi seperti minyak telon ke perut dan bahagian belakang badan bayi.

Kesannya, si comel anda akan terasa lega dan lebih nyaman. Bawa sebotol ya!

#9. Pam dan botol susu

Sumber: istockphoto

Memang normal kan apabila bayi menghadapi masalah untuk menyusu badan pada awal kelahirannya?

Antara usaha yang boleh dilakukan oleh ibu adalah dengan mengepam susu anda dan menyusukan mereka dengan botol.

Selain daripada memenuhi keperluan bayi, anda juga dapat mengelakkan payudara anda dari membengkak.

Percayalah, pam susu adalah antara barang keperluan bersalin yang sangat anda perlukan !

#10. Kain barut bayi

Kain barut bayi juga penting untuk keselesaan si comel anda ya. Bawalah 2-3 helai untuk penggunaan selama sehari dua.

12 Barang Keperluan Bersalin Untuk Ibu

#1. Pakaian dalam untuk ibu bersalin

Kebiasaannya, anda akan memerlukan 2-3 pasang pakaian dalam untuk sehari. Tetapi sebaiknya anda bawa lebih kerana perkara yang tidak dijangka boleh berlaku seperti seluar dalam anda terkena darah nifas ataupun nursing bra anda dibasahi dengan susu.

#2. Pad materniti/tuala wanita

Sumber: istockphoto

Sejurus selepas bersalin, para ibu wajib memakai pad materniti ya. Pad materniti adalah pad yang direka khas untuk menampung penyerapan darah nifas secara efektif. Namun, terdapat juga sesetengah wanita yang memilih untuk memakai tuala wanita yang dipakai ketika datangnya haid.

Apapun, anda disarankan untuk membawa kedua-duanya. Pakailah pad yang memberikan anda keselesaan yang lebih optimum!

#3. Tuala

Bawa juga sehelai tuala untuk keselesaan anda ya. Ia bukan sahaja untuk mengeringkan badan tetapi boleh juga digunakan sebagai penutup kepala, terutamanya untuk yang beragama Islam.

#4. Peralatan mandian

Untuk peralatan mandian, anda hanya perlu bawa yang sedia ada di rumah. Cumanya untuk lebih teratur, susunlah kesemuanya dalam beg kecil yang kalis air ya.

#5. Kain batik/sarung

Kain batiklah yang selalu menjadi pilihan ibu bersalin kan? Senang untuk dipakai dan lebih selesa berbanding dengan seluar.

Bawalah 4 helai kain batik untuk dipakai di hospital nanti.

#6. Stoking tebal

Sumber: istockphoto

Ibu yang baru bersalin dikatakan tidak boleh terdedah dengan cuaca sejuk dan pengudaraan yang berangin terutamanya di bahagian tapak dan celahan jari kaki.

Oleh itu, pemakaian stoking tebal memang diwajibkan. Lebih-lebih lagi kaki anda akan selalu memijak lantai yang sejuk di hospital.

#7. Minyak panas selepas bersalin

Seperti si comel, anda juga memerlukan minyak yang hangat seperti minyak herba yang diadun khas untuk ibu bersalin.

Ia dapat melegakan sakit-sakit badan dan boleh memberikan keselesaan kepada anda.

#8. Jaket tebal/sweater

Jangan lupa untuk bawa jaket tebal bersama ya. Kadang-kadang, selimut di hospital mungkin tidak cukup tebal untuk anda.

Selain itu, jaket tebal juga boleh dipakai bersama T-shirt untuk proses penyusuan yang lebih mudah berbanding dengan memakai baju lengan panjang.

#9. Selipar tandas

Selipar tandas mungkin kedengaran seperti barang keperluan yang tidak penting. Namun ia amat diperlukan kerana anda akan kerap ke tandas kelak.

Selipar tandas mesti dibawa bersama ya.

#10. Tudung

Sumber: istockphoto

Untuk yang beragama Islam, jangan lupa untuk bawa beberapa helai tudung untuk dipakai sepanjang tempoh anda berada di wad.

#11. Nipple cream

Selain minyak panas, anda mungkin juga memerlukan nipple cream. Krim ini dapat membantu merawat luka di bahagian puting dada dan bermacam lagi.

Jangan lupa untuk beli di farmasi sebulan sebelum tarikh jangkaan bersalin anda tau.

#12. Pakaian harian di hospital

Pakaian harian di hospital adalah antara yang terpenting untuk si ibu selepas bersalin. Pastikan anda membawa kuantiti yang mencukupi untuk bilangan hari anda di hospital.

Seeloknya, bezakanlah pakaian pada waktu siang dan malam. Pakaian pada waktu malam biasanya lebih tebal dan tertutup berbanding waktu siang.

Reka bentuk pakaian yang paling ideal adalah pakaian untuk ibu menyusu. Sebagai contoh, seluar kembang, skirt dan baju kemeja.

Jangan dilupakan juga, sepersalinan pakaian untuk dipakai pada hari anda dibenarkan pulang nanti.

2 Barang Keperluan Bersalin Untuk Bapa

#1. Kain pelikat

Untuk yang beragama Islam, anda mungkin memerlukan kain pelikat untuk sembahyang di hospital. Ini kerana pakaian yang dipakai mungkin tidak cukup bersih untuk digunakan ketika solat.

#2. Baju dan seluar

Para bapa, jangan lupa untuk bawa bersama sepasang baju dan seluar apabila ke hospital nanti ya. Sekurang-kurangnya, anda mempunyai pakaian untuk diganti jika si comel anda terjeluak nanti.

3 Barang-barang Lain Yang Penting

#1. Makanan dan minuman

Sumber: istockphoto

Bawalah bersama makanan dan minuman untuk sepanjang tempoh anda berada di hospital ya.

#2. Kurma, buah tin dan air Zam Zam

Jangan dilupakan juga, makanan-makanan sunnah yang dikatakan dapat memudahkan proses melahirkan seperti buah kurma, buah tin dan air Zam Zam.

#3. Pengecas telefon

Pengecas telefon pun mesti dibawa bersama kan?

Sumber: istockphoto

Senang kan kalau kita buat senarai macam ni? Untuk lebih mudah, anda boleh dapatkan “Hospital Bag Checklist” yang telah disediakan oleh Motherhood di sini.

Nanti bila nak kemas barang keperluan bersalin, anda hanya perlu tandakan sahaja pada senarai yang disediakan.

Dalam pada anda menanti kehadiran si comel, anda boleh mengamalkan doa mudah bersalin ini bagi ibu-ibu yang beragama Islam.

Semoga urusan anda dipermudahkan!