Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Cara Pemakaian, Pemilihan & Kebaikan Barut Bayi Yang Masih Ramai Ibu Bapa Keliru

Foto Kredit: Pa&Ma

Ibu bapa sentiasa memastikan penjagaan bayi kita sentiasa berada pada tahap yang optimum. Tentunya pelbagai persediaan dilakukan, tidak kira dari segi mental, kesihatan, dan kewangan.

Malah, barangan bayi juga seperti menjadi keutamaan dalam senarai perbelanjaan bulanan.

Ada juga orang yang menyoal bahawa perlukah barut bayi? Mengikut zaman nenek moyang kita, barut adalah antara keperluan wajib untuk bayi bagi mengelakkan mereka daripada kembung perut.

Apa Itu Barut Bayi?

Highlighted

Foto Kredit: MajalahIbu

Barut bayi atau dikenali sebagai bengkung bayi atau dalam bahasa orang putihnya ‘infant binder’ hanyalah sekeping kain yang berbentuk empat segi tepat yang digunakan untuk membalut bahagian perut badan bayi anda. 

Selalunya barut ini akan dibalut daripada bahagian dada hinggalah ke bawah pusat bayi. Ia boleh digunakan seawal bayi lahir sehinggalah berusia dalam lingkungan 2 hingga 3 bulan. 

Cara Memakai Barut Bayi yang Betul

Foto Kredit: Bumbumcak.my

Perut bayi adalah bahagian yang sensitif. Bayi yang baru lahir masih mempunyai tunggul umbilik, yang cenderung terhadap jangkitan, dan semua bayi memiliki sistem pencernaan yang belum matang yang boleh menyebabkan bayi tidak selesa.

Barut bayi dapat melindungi tunggul umbilik itu dan menjaga perut bayi anda supaya kekal selesa dan juga membantu pencernaan. Barut ini harus dililit dengan sempurna di perut bayi kecil anda.

  1. Mandikan bayi anda dengan air suam terlebih dahulu.
  2. Keringkan tali pusat jika masih belum tertanggal dengan tuala lembut.
  3. Apabila sudah kering, lumurkan minyak telon (campuran minyak adas, kayu putih dan kelapa).
  4. Ambil barut yang sesuai dengan saiz bayi dan balutkan dengan kemas.
  5. Balutan tersebut jangan terlalu ketat ataupun longgar.

Kelebihan Memakai Barut Bayi

Ada banyak sebenarnya kelebihan memakai barut bayi ni seperti:

Mengelakkan perut bayi kembung 

Foto Kredit: Adobe Stock

Banyak punca yang boleh menyebabkan perut bayi kembung. Antara puncanya adalah perkembangan usus yang belum matang atau alahan pada laktosa.

Bayi yang kembung perut akan berasa tak selesa dan sering menangis hingga boleh meresahkan ibubapa.

Pemakaian barut boleh mengurang masalah ini dengan mengelakkan perut bayi kembung.

Mengelakkan bayi menyusu berlebihan

Foto Kredit: Adobe Stock

Menyusu memang baik untuk tumbesaran bayi. Namun demikian, setiap perkara yang berlebihan akan membawa kepada keburukan termasuklah menyusu.

Pemakaian barut akan membuatkan penyusuan bayi terbatas kerana barut yang dipakaikan akan ‘memegang’ perut bayi.

Merapikan tali pusat bayi

Tali pusat bayi kebiasaanya akan tanggal selepas seminggu dua kelahiran. Bayi yang baru tanggal tali pusat mungkin agak sensitif pada sentuhan pakaian dan lain-lain.

Dengan memakaikan barut dapat menjaga dan melindungi tali pusat bayi dan mengelakkan daripada kecederaan fizikal.

Mengelakkan pusat bayi daripada digigit serangga

Foto Kredit: Adobe Stock

Pemakaian barut juga melindungi pusat dan tali pusat yang belum tanggal daripada digigit serangga seperti semut.

Pasti bayi akan meraung kesakitan jika digigit serangga yang merayap di atas badannya dan anda akan keliru kerana tidak tahu akan puncanya.

Mengelakkan pusat bayi daripada tersembul keluar

Pemakaian barut dapat membantu dan mengawal pusat bayi dari tersembul keluar kerana pusat bayi cenderung untuk terkeluar disebabkan banyak menyusu.

Tips Memilih Barut Bayi

Foto Kredit: MayangSari Kids
  • Pilih jenis kain yang nipis, lembut dan kurang panas. Penggunaan kain barut dari jenis flannel kapas (cotton flannel) adalah dari jenis material yang lembut dan sejuk. Material jenis ini sesuai untuk digunakan pada kulit bayi yang lembut dan sensitif secara semulajadi itu.
  • Pilih saiz yang bersesuaian dengan bayi anda supaya keselesaannya terjamin. Ini adalah kerana bukaan bidang kain barut ini berbeza mengikut saiz supaya tidak terlalu besar atau kecil untuk menutup bahagian dada dan perut bayi.
  • Bagi barut yang didatangi dengan pelekat ‘velcro’, pastikan ia tidak dilekatkan di tengah pusat bayi. Elakkan juga dari menyapu sebarang krim herba yang menyebabkan kulit bayi yang sensitif itu kerengsaan atau alahan.
  • Pastikan barut yang dipakaikan itu bersih bagi mengelakkan sebarang jangkitan dan kuman.
  • Pilih barut yang tidak lagi menggunakan tali. Ia hanya menggunakan pelekat ‘velcro’ yang semestinya memudahkan anda untuk memakaikan barut pada bayi.

Diingatkan bahawa perut bayi adalah antara bahagian yang paling sensitif pada bayi.

Walaupun belum ada kajian saintifik yang mengesahkan penggunaan barut akan menyebabkan kembung perut hilang, sekurang-kurangnya ia dapat membantu melegakan bayi dan menambahkan keselesaannya jika betul cara pemakaiannya.

Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk ibu-ibu di luar sana!