Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Batuk Kokol: Bayi Paling Berisiko Untuk Dijangkiti. Ini Pesanan Pakar Kesihatan

Orang ramai tidak boleh mencium bayi bagi mengelakkan wabak batuk kokol menjangkiti si kecil.

Batuk kokol adalah penyakit disebabkan oleh bakteria Bordetella Pertussis melalui udara daripada pernafasan orang yang dijangkiti.

Pertussis boleh menjangkiti semua orang tanpa mengira usia. Namun, bayi merupakan golongan yang paling berisiko tinggi untuk dijangkiti.

Jangkitan Batuk Kokol 

Highlighted


“Setiap individu berpotensi menjadi pembawa bakteria pertussis walaupun tidak menunjukkan sebarang simptom” ujar Dr. Farhan Rusli, Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Ahli Majlis Penasihat Kesihatan Awam Negeri Selangor.

Banyak individu yang bawa penyakit pertussis ini dalam badan mereka, tetapi tidak menunjukkan tanda jangkitan kerana telah dilindungi. Mereka tidak semestinya tidak boleh menularkan atau menjangkiti orang yang mereka jumpa, terutamanya bayi-bayi.

“Semasa majlis keramaian, berapa kerap  kita nampak dalam keluarga kita sendiri, apabila ada bayi baru lahir, umur enam bulan dan sebagainya, semua sibuk datang untuk cium bayi tersebut” katanya dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.

Tambahnya lagi, jangkitan batuk kokol terhadap bayi tidak boleh diambil ringan, memandangkan terdapat kes bayi yang dijangkiti batuk kokol tidak menunjukkan sebarang gejala.

Lebih parah apabila ada kes yang merekodkan bayi yang mengalami kesukaran bernafas dan patah tulang rusuk kerana tekanan dalam dada yang terlalu kuat akibat jangkitan berkenaan.

Penyakit ini sangat mudah menular dan bisa mengancam nyawa, terutama bila menyerang bayi dan anak-anak.

Gejala Batuk Kokol 

Bermula dengan batuk gatal dan lama kelamaan menjadi batuk berulang (paroxysmal), biasanya dalam tempoh 1 hingga 2 minggu dan berlarutan sehingga 1 hingga 2 bulan atau lebih.

Tanda paroxysms adalah batuk berulang yang berterusan dan teruk. Setiap siri paroxysms boleh menyebabkan  pesakit menjadi kebiruan (cyanosis) kerana tidak sempat bernafas.

Kahak batuk selalunya berwarna jernih. Batuk juga boleh disusuli oleh muntah.

Seseorang yang dijangkiti bakteria Pertussis boleh menularkan jangkitan kepada orang lain dalam tempoh dua minggu pertama gejala batuk bermula.

Tindakan Pencegahan 

1. Individu bergejala perlu mengamalkan etika batuk dan bersin dengan menutup mulut dan mencuci tangan bagi mencegah penularan penyakit kepada individu lain.

2. Pastikan bayi dan kanak-kanak lengkap suntikan vaksin Pertussis.  

3. Dapatkan rawatan segera jika mengalami gejala Pertussis.

Pastikan Mommy Daddy lebih alert dan berhati-hati dengan keadaan sekeliling serta anak-anak mendapat imunisasi yang lengkap mengikut jadual.

Mencegah lebih baik daripada merawat tau!


Dapatkan lebih banyak berita dan isu semasa yang menarik di SINI.