Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Bayi Perempuan: Permata Hati Amanah Ibu dan Bapa

bayi perempuan comel

Barangsiapa mendidik serta membimbing dua orang anak puteri hingga dewasa, maka pada hari kiamat nanti dia akan berada di dalam syurga berdampingan denganku.

Petikan di atas adalah sabda Rasulullah S.A.W. berdasarkan hadis riwayat Muslim, Tirmidzi. Rasulullah menganjurkan umatnya untuk berbuat baik kepada anak perempuan dalam usaha meraih redha dan syurga Allah.

Para ibu dan bapa diwajibkan untuk memberikan didikan agama dan membantu anak perempuan dalam perjuangan mereka di jalan Allah. Malah, golongan ibu dan bapa yang berjaya melaksanakan saranan Rasulullah ini, akan berada bersamanya di syurga kelak.

Terlalu banyak keistimewaan yang dijanjikan untuk mereka yang menyantuni anak dan saudara perempuan. Allah meletakkan darjat kaum hawa setinggi-tingginya di dalam Islam. Walaupun begitu, nasib bayi perempuan pada zaman jahiliah sebagai contoh, sungguh malang. Bayi perempuan dianggap membawa sial dan beban kepada masyarakat.

Apabila dewasa, mereka tidak dapat bekerja untuk membantu menyara keluarga seperti bayi lelaki. Mereka ditanam hidup-hidup sejurus dilahirkan. Kejahilan masyarakat pada zaman itu telah mencipta tamadun manusia yang membinasakan.

Namun, seiring dengan peredaran zaman dan pendedahan agama yang meluas, status wanita semakin mendapat pengiktirafan di dalam masyarakat. Kini, terdapat ramai ibu dan bapa yang menyukai dan menginginkan anak perempuan. Pelbagai cara diusahakan sama ada medikal ataupun semulajadi untuk menghamilkan bayi perempuan.

Kaedah Semula jadi untuk Hamil Anak Perempuan

1. Untuk hamil bayi perempuan, para ibu disarankan untuk memakan makanan yang bersifat asid dan para bapa, beralkali.

2. Sebelum bersenggama, basuhlah faraj anda dengan semangkuk air campuran sesudu cuka.

3. Posisi yang dikatakan cenderung untuk mendapatkan bayi perempuan ialah, kedudukan suami di bawah manakala isteri di atas.

4. Tempoh untuk bersama juga memainkan peranan. Kerapkanlah persetubuhan pada tempoh sebelum kedatangan haid.

5. Ketika bersama, kedalaman alat sulit suami hendaklah tidak terlalu dalam. Hanya sedang-sedang sahaja.

6. Detik klimaks ketika bersenggama turut dikatakan mempengaruhi jantina bayi. Untuk mendapatkan bayi perempuan, suami hendaklah klimaks terlebih dahulu.

Jika kaedah-kaedah semula jadi di atas kurang berkesan, para ibu dan bapa boleh lah mendapatkan khidmat pakar perubatan. Teknologi yang semakin canggih menyediakan beberapa rawatan pilihan seperti kaedah Ericsson. Melalui kaedah ini, sperma terpilih untuk menghasilkan jantina bayi tertentu dimasukkan ke dalam uterus melalui cara permanian berhadas. Kadar keberkesanannya ialah 70% ke atas. Namun, kos untuk menjalani rawatan ini adalah agak tinggi.

Tanda-tanda Anda Hamil Bayi Perempuan

Highlighted

Sumber: Shutterstock

Setelah hamil, mengikut ilmu perbidanan orang terdahulu, terdapat perbezaan tanda-tanda sekiranya ibu menghamilkan anak perempuan atau lelaki. Berdasarkan buku Manual Kehamilan, jika terdapat tanda-tanda di bawah ini ketika hamil, besar kemungkinan bayi anda adalah bayi perempuan.

  1. Perilaku anda lebih cerewet
  2. Fizikal perut condong ke atas dan kelihatan lonjong
  3. Anda gemar minuman masam
  4. Makanan pilihan pula, manis-manis
  5. Payudara tampak mengembang dan bahagian kiri cenderung untuk besar lebih dari yang kanan
  6. Keadaan mental dan emosi mudah terganggu
  7. Kandungan dirasakan berat pada bahagian punggung dan pinggang
  8. Kulit wajah cenderung bermasalah
  9. Anda gemar tidur menghadap ke arah selatan

Aqiqah untuk Bayi Perempuan

Para ibu yang dikurniakan bayi perempuan disunatkan untuk melakukan aqiqah bersesuaian dengan sabda Rasulullah:

“Untuk seorang putera dua ekor dan untuk seorang puteri seekor kambing.” Riwayat Ibnu Abi Syaiban

Dalam hadis lain, aqiqah yang dilakukan ini disunatkan pada hari ketujuh kelahiran bayi. Pada waktu itu juga, berikanlah nama-nama yang indah pada bayi anda dan cukurkan lah rambutnya.

Sumber: Shutterstock

Khitan Bayi Perempuan

Untuk mengkhitankan bayi, tidak ada masa tertentu yang ditetapkan. Namun, di dalam sains, ada dinyatakan bahawa ia seeloknya dilakukan ketika bayi masih kecil. Khitan adalah sebahagian dari fitrah yang membawa banyak manfaat.

Bayi yang telah dikhitankan dikatakan berisiko rendah untuk mendapat penyakit seperti kanser kemaluan. Antara hikmah lain ialah kesan positif di dalam hubungan intim anak setelah dewasa.

Untuk bayi perempuan, khitan dilakukan dengan memotong sedikit kulit di bahagian atas faraj. Berbanding dengan bayi lelaki, ia adalah proses yang lebih mudah dan cepat. Kulit yang dipotong hanyalah sedikit dan agama Islam menjelaskan penegahan dalam berlebih-lebihan kerana ia tidak elok untuk wanita dan suaminya berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud.

Rasulullah bersabda di dalam hadis riwayat Muslim:

Khitan itu sunat untuk lelaki dan suatu penghormatan untuk wanita

Nama-nama Indah untuk Si Manja

Lahirnya puteri kecil ke dunia membawa seribu rahmat untuk ibu dan bapa. Wajah yang comel dan gaya manjanya pasti mencuit hati sesiapa pun. Kebiasaannya, ramai para ibu dan bapa memberi gelaran umum dan nama timang-timangan pada bayi mereka seperti adik, kakak dan abang. Namun, disunatkan pada hari ketujuh kelahirannya, nama yang indah yang mempunyai pengertian elok diberikan kepadanya. Dijelaskan dalam sabda Rasulullah S.A.W. dalam hadis riwayat Abu Dawud:

Sesungguhnya kamu pada hari kiamat akan dipanggil dengan nama-namamu dan nama ayah-ayahmu, maka perindahlah namamu

Nama bayi anda merupakan cerminan keperibadiannya. Para ibu dan bapa hendaklah mencari nama yang dirasakan sesuai untuk bayi perempuan anda, berdasarkan erti dan panggilannya. Disarankan juga untuk mendapatkan pandangan para agamawan dan orang-orang soleh dalam menentukan nama yang sesuai dan terbaik untuk bayi anda. Berikut merupakan antara nama-nama indah untuk bayi anda:

  1. Aafiyah – perlindungan Allah, kesejahteraan
  2. Diyanah – agama
  3. Fadhilah – kemuliaan/kelebihan
  4. Farah – kegembiraan
  5. Hafizah – yang memelihara
  6. Hasanah – yang baik
  7. Hidayah – petunjuk Allah
  8. Jamilah – yang cantik
  9. Khairunnisa – sebaik-baik wanita
  10. Latifah – yang lemah lembut
  11. Mufidah – yang berguna
  12. Nur – cahaya
  13. Rahimah – penyayang
  14. Saadah – kebahagiaan
  15. Sakinah – ketenangan
Sumber: Shutterstock

Kaum hawa mempunyai kelebihan yang tersendiri tanpa perlu dibandingkan dengan apa pun. Para ibu dan bapa yang diberkati dengan bayi perempuan telah dikurniakan Allah permata hati yang harus dipikul sebagai amanah sebaik yang mungkin.

Perbezaan di dalam membesarkan bayi perempuan bukanlah untuk dinilai tetapi diraikan. Sungguh, mereka adalah mutiara perhiasan dunia yang harus dilindungi dan dibekalkan ilmu secukupnya. Bertuahlah para ibu dan bapa yang mendapatkan bayi perempuan!

Dapatkan pelbagai kelengkapan bayi hanya di Motherhood.com.my hari ini.