Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Apa Yang Bakal Ibu Perlu Tahu Tentang Bayi Pramatang

Sumber: Adobe Stock

Pada kebiasaannya, usia kehamilan yang normal akan mencecah 40 minggu.

Jika Ibu bersalin sebelum mencapai minggu ke-37, atau sekitar tiga minggu sebelum tarikh jangkaan bersalin EDD (estimated due date) atau lebih, ia akan dikategorikan sebagai kelahiran pramatang. Justeru bayi yang dilahirkan akan dikenalpasti sebagai bayi pramatang atau tak cukup bulan.

Maksud Bayi Pramatang

Mungkin Ibu tertanya-tanya, kenapa bayi yang lahir awal sedikit dikatakan bayi pramatang? Macam normal sahaja sebab semua anggota badan nampak lengkap, kan?

Sebenarnya, minggu-minggu terakhir bayi di dalam rahim sangat penting untuk peningkatan berat badan yang sihat dan untuk perkembangan lengkap pelbagai organ penting yang Ibu tak boleh nampak dengan mata kasar, termasuklah otak dan paru-paru.

Highlighted

Sumber: Adobe Stock

Disebabkan bayi pramatang kurang mendapat waktu pertumbuhan dalam rahim yang mencukupi, mereka akan memerlukan pertolongan untuk pertumbuhan penting tersebut diluar rahim.

Kebanyakan bayi pramatang perlu diletakkan di unit rawatan intensif neonatal atau NICU (neonatal intensive care unit).

Pada masa dahulu, kelahiran bayi yang pramatang adalah penyebab utama kebanyakan kematian bayi.

Sekarang, kualiti penjagaan bayi telah meningkat dan peluang untuk bayi pramatang hidup dengan sihat pun telah meningkat juga.

Tanda-tanda bayi yang pramatang adalah seperti:

  • badan bersaiz kecil dengan kepala yang besar
  • banyak rambut halus meliputi sebahagian besar badan
  • suhu badan yang rendah kerana kekurangan lemak
  • kesukaran untuk bernafas atau penafasan sesak
  • kekurangan refleks untuk menghisap dan menelan susu
Sumber: Adobe Stock

Risiko Untuk Mendapat Kelahiran Bayi Pramatang

Sering kali, punca kelahiran pramatang tidak dapat dikenal pasti.

Walau bagaimanapun, beberapa faktor telah dikenalpasti yang dapat meningkatkan risiko ibu hamil untuk bersalin lebih awal jika ibu hamil mengalami mana-mana keadaan seperti berikut:

  • diabetes
  • penyakit jantung
  • penyakit buah pinggang
  • tekanan darah tinggi
  • kehamilan anak kembar
  • pernah mengalami keguguran
Sumber: Getty Images

Selain itu, beberapa perkara yang boleh berlaku ketika ibu sedang mengandung boleh menyebabkan kelahiran pramatang juga seperti:

  • pemakanan yang tidak berkhasiat sebelum dan semasa mengandung
  • merokok, meminum alkohol, atau memakan ubat-ubatan yang haram sebelum dan ketika mengandung
  • jangkitan seperti jangkitan air ketuban atau jangkitan saluran kencing
  • kelahiran pramatang untuk kehamilan sebelumnya
  • rahim yang tidak normal
  • serviks yang lemah dan cenderung untuk dibuka awal
  • perbezaan masa yang kurang dari enam bulan daripada kehamilan sebelumnya
  • kehamilan melalui persenyawaan in vitro

Usia juga selalunya boleh memainkan peranan dalam kelahiran pramatang, terutamanya jika ibu hamil berusia lebih daripada 35 tahun atau kurang daripada 17 tahun.

Kesan Jangka Panjang Bagi Bayi Pramatang

Lebih awal seseorang bayi dilahirkan dari tarikh jangkaan bersalin, lebih tinggi risiko untuk mereka mengalami masalah kesihatan pada masa hadapan.

Selain daripada ciri-ciri yang disebutkan di atas tadi, bayi pramatang juga boleh menunjukkan masalah-masalah seperti berikut:

  • pendarahan otak atau pendarahan di kawasan otak
  • pendarahan paru-paru, atau pendarahan di kawasan paru-paru
  • gula darah rendah yang dipanggil hipoglikemia
  • sepsis neonatal iaitu jangkitan darah bakteria
  • radang paru-paru atau jangkitan dan keradangan paru-paru
  • lubang yang tidak tertutup di saluran darah utama jantung atau jantung berlubang (patent ductus arteriosus)
  • anemia, iaitu kekurangan sel darah merah untuk membawa oksigen ke seluruh badan
  • sindrom gangguan pernafasan neonatal iaitu gangguan pernafasan yang disebabkan oleh paru-paru yang belum berkembang sepenuhnya

Sesetengah masalah ini selalunya dapat dirawat dengan penjagaan kritikal di NICU oleh doktor pakar pediatrik neonatal.

Sumber: Adobe Stock

Masalah yang tidak dapat dirawat ketika itu selalunya akan mendatangkan masalah besar atau penyakit yang lebih kronik semakin bayi tersebut meningkat usia seperti:

  • lumpuh otak atau Cerebral Palsy
  • terjejas pembelajaran
  • masalah penglihatan
  • masalah pendengaran
  • masalah gigi
  • masalah tingkahlaku dan psikologi

Doktor pakar pediatrik selalunya akan melakukan pelbagai ujian dan pemeriksaan sejurus sahaja bayi pramatang dilahirkan. Ini adalah supaya risiko komplikasi dapat dikurangkan.

Ujian yang selalu dilakukan adalah seperti imbasan x-ray dan ujian darah. Dengan pemantauan doktor secara kerap dan berterusan di hospital, kebanyakan bayi pramatang dapat pulih dan membesar seperti biasa.

Cara Penjagaan Bayi Pramatang

Bayi pramatang sering memerlukan penjagaan khas. Jadi, bayi pramatang selalunya akan terus ditempatkan di NICU.

Sumber: Adobe Stock

NICU dapat menyediakan persekitaran yang mengurangkan tekanan kepada bayi yang lahir pramatang. Ia juga dapat memberikan kehangatan, pemakanan, dan perlindungan yang diperlukan untuk pertumbuhan dan perkembangan yang bersesuaian.

Untuk beberapa hari dan minggu pertama kehidupan bayi pramatang, hospital akan memberi tumpuan dan penjagaan intensif untuk menyokong perkembangan organ penting.

Bayi yang baru lahir boleh ditempatkan dalam inkubator yang boleh mengawal suhu untuk bayi memandangkan bayi pramatang mempunyai suhu yang rendah kerana kekurangan lemak.

Bayi pramatang juga akan dipasangkan ke peralatan pemantauan untuk mengesan kadar denyutan jantung, pernafasan, dan kadar oksigen darah bayi.

Bergantung kepada keadaan dan usia bayi, mereka mungkin perlu hidup dengan sokongan peralatan perubatan untuk beberapa minggu atau bulan sebelum bayi dapat discaj dari hospital.

Sementara itu, apa yang Ibu boleh buat ialah untuk cuba memberikan bayi susu badan. Susu badan ibu penting untuk pertumbuhan dan perkembangan bayi yang lahir secara terma penuh, apatah lagi untuk bayi pramatang.

Sumber: Getty Images

Faktor-faktor penting seperti DHA, iaitu asid lemak yang penting untuk perkembangan otak dan mata yang sihat, dan juga imunoglobulin G, iaitu sejenis antibodi, dibawa dari ibu ke bayi dalam kandungan melalui plasenta sepanjang kehamilan.

Disebabkan kelahiran awal atau pramatang, bayi pramatang tidak dapat menerima sepenuhnya faktor-faktor penting ini dalam rahim.

Walau bagaimanapun, susu badan ibu yang melahirkan bayi pramatang sebenarnya mengandungi lebih banyak lemak dan pengeluaran imunoglobulin daripada susu ibu yang melahirkan anak terma penuh!

Susu badan ibu mempunyai agen pelindung yang dapat membantu mencegah keadaan serius yang mudah dijangkiti oleh bayi pramatang seperti jangkitan virus teruk, retinopati pramatang yang boleh menyebabkan kehilangan penglihatan, dan penyakit paru-paru kronik.

Semakin banyak bayi Ibu menerima susu badan, semakin rendah risiko penyakitnya. Jadi pastikan Ibu cuba sedaya upaya untuk memberikan susu badan jika bayi lahir secara pramatang.

Doktor akan mengizinkan bayi untuk pulang ke rumah apabila mereka yakin bayi Ibu sudah bersedia untuk pulang.

Selalunya doktor dan jururawat akan memastikan Ibu memahami cara untuk menjaga bayi Ibu di rumah. Mereka juga akan menunjukkan cara menggunakan peralatan jika bayi masih memerlukannya di rumah.

Sumber: Getty Images

Bayi Ibu masih perlu berjumpa dengan pakar neonatologi atau pakar pediatrik dengan kerap untuk memastikan bayi sedang berkembang secara normal.

Kalau Ibu rasa risau untuk menjaga bayi pramatang di rumah, ini adalah perkara normal. Kami percaya naluri ibu akan memastikan Ibu dapat menjaga bayi dengan baik mengikut kemampuan Ibu.

Semoga artikel ini bermanfaat bagi bakal ibu yang mempunyai risiko untuk melahirkan bayi awal.