Adakah bayi kesayangan Mama susah tidur? Tidur bayi berbeza dengan tidur orang dewasa.
Pada peringkat baru lahir, si manja anda sebenarnya masih menyesuaikan diri dengan pola tidur biasa.
Bayi yang baru lahir biasanya tidur sekitar 14 hingga 17 jam dalam tempoh 24 jam dan sering bangun hanya untuk makan siang dan malam.
Seorang bayi yang berusia 1 dan 2 bulan harus mendapatkan tidur yang sama selama 14 hingga 17 jam sehari—iaitu setelah dibahagikan kepada: 8-9 jam tidur malam dan 7-9 jam tidur siang.
Kanak-kanak berusia 3 bulan dan ke atas memerlukan 14 hingga 16 jam tidur dalam jangka masa 24 jam.
Normal untuk si manja kita tidur dalam waktu yang singkat, seperti “catnap”, kerana mereka akan terjaga untuk makan atau kerana ketidakselesaan.
Dan normal juga untuk si manja susah tidur siang dan ini sebenarnya dapat membantu mereka untuk lebih cepat tidur pada waktu malam.
Jadi, Mama harus tingkatkan kesabaran sepanjang proses ini ya.
Punca Bayi Susah Tidur
1) Tidak selesa
Antara sebab paling utama bayi susah tidur adalah kurang selesa.
Selain pakaian yang selesa, si manja juga idamkan tidur dalam keadaan bilik dengan suhu yang dingin, tempat tidur yang selesa, keadaan sekeliling yang tidak bising dan sebagainya agar tidur mereka lebih nyenyak dan lama.
2) Gajet sebelum tidur
Sama seperti dewasa, bayi juga perlu tidur dalam keadaan bilik yang gelap. Dalam keadaan yang gelap, otak akan memberi signal pada badan untuk tidur lebih nyenyak dengan cara mengawal suhu badan dan merembeskan hormon yang optimum.
Sebab itu tidak disarankan untuk Mama atau Papa memberi gajet, smartphone, atau biarkan anak-anak menonton televisyen sebelum masuk tidur.
Hal ini kerana rancangan tersebut akan menstimulasikan otak dan menyebabkan bayi sukar untuk tidur.
Malah, pencahayaan daripada alatan tersebut sebelum tidur juga boleh mengurangkan kualiti tidur bayi.
3) Rutin yang tidak konsisten
Pada awalnya, anda akan mendapati bayi mudah untuk tertidur. Namun, setelah beberapa minggu atau bulan, ada sesetengah bayi akan kerap terjaga dan senang meragam.
Seeloknya lakukan rutin yang sama setiap hari agar bayi lebih mudah mengetahui isyarat untuk tidur.
Contohnya, mandikan mereka, beri urutan yang menenangkan, dan membaca buku cerita pada waktu malam, sebelum waktu tidur mereka.
Jangan lakukan aktiviti yang terlampau aktif seperti bermain dan bergurau-senda. Ini kerana, si manja mungkin akan berasa ‘excited’ dan sukar untuk tidur selepas itu.
4) Sedang belajar perkara baharu
Tanpa kita sedari, si kecil makin membesar dan sekarang sudah cuba untuk menyiarap.
Kadang-kadang, si anak mahu berlatih meniarap pada waktu tidurnya. Ambil langkah untuk melatihnya menyiarap dengan selesa pada siang hari.
Selain itu, beri kebebasan kepada anak untuk tidur pada posisi yang dia paling selesa. Pastikan tempat tidurnya selamat dan selesa tanpa terlalu banyak bantal atau mainan untuk mengelakkan Sudden Infant Death Syndrome (SIDS).
5) Lapar
Agak mustahil untuk si kecil tidur dalam keadaan lapar. Terutamanya untuk bayi baru lahir, saiz perutnya masih kecil dan perlu kerap diisi. Oleh itu, menyusu ketika waktu malam amat penting untuk tumbesarannya.
Tetapi apabila sudah sedikit besar, perutnya sudah boleh menampung lebih makanan. Maka, cuba latih si manja untuk tidur dalam keadaan kenyang.
Namun begitu, menyusu bukanlah satu-satunya cara untuk menenangkan bayi susah tidur.
Mungkin Mama boleh berikannya susu pada peringkat awal sahaja dan kemudian, Mama boleh mendodoinya sahaja.
Cara-cara Mengatasi Bayi Susah Tidur
-
Ikuti rutin waktu tidur yang konsisten.
Stimulasi berlebihan pada waktu malam boleh menyukarkan bayi untuk tidur lena.
Cuba mandi, peluk dan lakukan sedikit urutan, menyanyi, dan bermain muzik yang tenang atau membaca, sebelum anda keluar dari bilik.
Mama boleh lakukan aktiviti ini sebelum si manja menjadi terlalu letih dan akan beransur bertenang untuk tidur apabila berada di dalam bilik.
-
Biarkan bayi anda mengantuk, tetapi masih terjaga.
Kaedah ini akan membantu bayi susah tidur lebih mudah untuk didodoikan dan kemudian lebih tidur nyenyak.
Apabila bayi sudah mula ‘melentok’ untuk tidur, Mama boleh baringkan si manja di tempat tidurnya.
Tetapi, teruskan mendodoi atau menepuk lembut badannya untuk memastikan bayi Mama sudah tidur dengan lena.
-
Pertimbangkan untuk berikan pacifier.
Sekiranya bayi anda mengalami kesukaran untuk menenangkan diri, alat menenangkan seperti puting mungkin boleh melakukan “magic”.
Malah, kajian juga menunjukkan bahawa penggunaan pacifier semasa tidur si manja dapat mengurangkan risiko SIDS.
-
Penjagaan waktu malam yang menenangkan.
Semasa bayi anda memerlukan penjagaan atau makan pada waktu malam, gunakan lampu yang malap, suara yang lembut dan gerakan yang tenang.
Untuk ibu-ibu yang beragama Islam, boleh mengalunkan zikir-zikir dengan suara yang perlahan sambil anda mendodoi si manja.
Keadaan yang tenang dan malap ini seperti satu ‘hint’ pada bayi bahawa sudah waktunya untuk dia tidur dan berehat.
Ya, rutin waktu tidur bayi mungking sukar untuk dilakukan, terutamanya pada peringkat awal. Tetapi, Mama jangan terus berputus asa.
Teruskan rutin tersebut dan lihat bagaimana satu hari nanti, anak Mama sendiri yang mengajak Mama untuk masuk tidur.