Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Bedung Bayi: Kebaikan, Cara-Cara, Dan Tips-Tips Untuk Membedung Bayi Dengan Selamat

bedung bayi

Sumber: Laura Garcier of Pexels

Selepas Ibu melahirkan bayi dan bayi telah dibersihkan, jururawat pasti memberi bayi Ibu dalam bedungan, kan? Kalau Ibu tertanya-tanya kenapa bayi perlu dibedung, sebenarnya banyak kebaikan bedung bayi.

Artikel ini akan membincangkan tentang kebaikan bedung bayi, bila perlu bedung bayi, cara-cara membedung bayi, dan juga tips-tips untuk membedung bayi dengan selamat.

Kebaikan Bedung Bayi

Bedung bayi ialah kaedah tradisional membungkus seluruh tubuh badan bayi dengan kain atau selimut nipis. Ia bertujuan untuk menenangkan bayi dan membuatkan mereka tidur dengan lebih lena.

Selain itu, membedung bayi dapat membuatkan bayi rasa selamat kerana mereka perlu menyesuaikan diri dengan kehidupan diluar rahim, jadi pembedungan itu memimik keselesaan dalam rahim Ibu.

Highlighted

Sumber: Getty Images

Membedung bayi juga bertujuan untuk menghalang bayi dari mengalami refleks terkejut semasa tidur, justeru boleh membuatkan mereka terjaga. Bedung juga dapat membuat bayi rasa selesa dan hangat sementara bayi menyesuaikan suhu badan dengan persekitarannya.

Bila Perlu Bedung Bayi?

Bayi perlu dibedung seawal kelahiran sehingga mereka menunjukkan tanda-tanda boleh meniarap atau berguling, selalunya dalam usia empat hingga enam bulan.

Ini adalah kerana apabila bayi sudah boleh meniarap atau berguling, takut kain bedung tersebut boleh terbelit di sekitar kepala bayi dan membuatkan bayi tidak boleh bernafas. Ini dipanggil Sudden Infant Death Syndrome (SIDS) yang amat merbahayakan.

Memandangkan Ibu memang perlu mengawasi dan memerhatikan bayi pada setiap masa, Ibu akan tahu bila untuk berhenti membedung bayi demi keselamatannya.

Sumber: Getty Images

Untuk meraih faedah-faedah yang disebutkan diatas dan mengelakkan risiko SIDS, Ibu perlulah tahu teknik membedung dengan betul.

Cara Bedung Bayi Dengan Betul

Sewaktu Ibu berada di wad bersalin, jururawat pasti sudah menunjukkan cara-cara untuk membedung dengan betul. Ada juga para ibu yang membuat lawatan ke hospital sebelum bersalin lagi dan dapat belajar cara membedung bayi sewaktu lawatan tersebut.

Terdapat beberapa variasi untuk membedung bayi tetapi secara umumnya ini adalah cara paling asas.

1. Cari Permukaan Rata

Permukaan rata tersebut perlulah selesa kerana Ibu akan meletakkan bayi di atasnya juga memandangkan kain bedung hanyalah nipis. Bentangkan kain dalam bentuk berlian dengan satu sudut menunjuk ke atas permukaan yang rata. Lipat sudut atas ke bawah sekitar enam inci.

Sumber: Pampers UK

2. Letakkan Bayi Di Atas Kain Bedung

Kepala bayi harus diposisikan tinggi sedikit dari bahagian sudut yang dilipatkan tadi. Badan bayi harus memanjang lurus ke arah sudut bawah.

Sumber: Pampers UK

3. Luruskan Lengan Kiri Bayi

Kemudian ambil bahagian kiri kain dan balut di atas lengan dan dada kirinya. Letakkan kain di bawah lengan kanan dan punggungnya. Pada ketika ini lengan kiri bayi anda akan ditutup tetapi lengan kanannya masih bebas.

Sumber: Pampers UK

4. Angkat Punggung Bayi

Lipat sudut bawah kain ke atas badan bayi dan letakkan di bawah lipatan pertama, di bawah dagunya.

Sumber: Pampers UK

5. Lipat Bahagian Lengan Kanan Bayi

Luruskan lengan kanan bayi anda dan tarik bahagian kain sebelah kanan ke atas badan bayi dan letakkan atau ‘tuck in‘ ke bawah sebelah kiri.

Sumber: Pampers UK

6. Pastikan Bedungan Sempurna

Selitkan lipatan dibukaan berdekatan leher dan pastikan bedung adalah sendat sedikit atau ‘snug‘, tetapi tidak terlalu ketat.

Sumber: Pampers UK

 

Tips-Tips Penting Yang Perlu Diingati Ketika Bedung Bayi

Bayi yang tidur dengan selimut tidak digalakkan kerana risiko SIDS seperti yang disebutkan tadi. Bagaimana pula dengan bedung? Apa bezanya?

Memang benar bahawa membedung bayi tidak bebas dari risiko 100%. Tetapi American Academy of Pediatrics (AAP) mengatakan bahawa membedung bayi dapat menolong bayi untuk tidur dengan lena sekiranya ia dilakukan dengan betul sesuai mengikut panduan tidur bayi yang selamat.

Ikuti tips-tips dibawah untuk memastikan bayi dibedung dengan betul.

1. Pastikan bedung bayi adalah sendat, tetapi tidak terlalu ketat. Bedung juga tidak boleh terlalu longgar kerana ia boleh menutupi wajah bayi atau terbelit di bahagian muka atau leher.

2. Ibu seharusnya boleh meletakkan dua hingga tiga jari di antara dada bayi dan kain bedung, dan kain tersebut harus longgar di sekitar punggung bayi supaya bayi dapat menggerakkan kakinya dengan bebas.

3. Untuk bayi pramatang, Ibu boleh letakkan kedua-dua tangan bayi di atas dadanya dan bukan di sisi supaya mereka berasa lebih selesa.

4. Apabila bayi dibedung, pastikan Ibu meletak bayi secara baring menelentang dan bukan meniarap atau disisi kerana itu posisi paling selamat.

Sumber: Getty Images

5. Pastikan bayi tidak berasa terlalu panas. Sudah memadai jika bayi memakai baju kapas biasa kalau dibedung dan pastikan bilik berada pada suhu yang selesa untuk bayi.

6. Pilih jenis kain bedung yang sesuai untuk bayi yang mempunyai ciri-ciri yang selesa dan lembut. Kain bedung yang bersesuaian dengan cuaca kita patut diperbuat daripada kapas, buluh, atau muslin.

7. Selain itu, Ibu juga boleh mencuba jenis bedung moden seperti menggunakan Velcro atau yang jenis seperti barut bayi.

8. Elakkan membedung bayi dalam tempoh yang terlalu lama. Maksudnya, setelah bayi memasuki usia tiga atau empat bulan, Ibu boleh periksa jika bayi boleh tidur dengan lena dan sudah kurang refleks terkejut, jadi bayi tak perlu lagi dibedung.

Sumber: Getty Images

Seperti yang dibincangkan tadi, bedung bayi ada banyak faedahnya dari segi saintifik walaupun tradisi ini sudah dilakukan sejak zaman dulu lagi, baik di kalangan orang Asia dan juga di negara Barat. Kalau Ibu rasa kurang yakin untuk membedung bayi, pastikan Ibu minta pertolongan daripada kawan-kawan, saudara mara, atau jururawat untuk mengajar sehingga Ibu expert dalam bedung bayi! Memandangkan salah satu kebaikannya adalah supaya bayi dapat tidur dengan lena, mungkin ini dapat membantu Ibu untuk tidur dengan lena juga! Semoga bermanfaat.