“Aduhhh, sakitnya. Ingatkan sakit bersalin je. Menyusu pun banyak cabaran yang harus ditempuhi.”
“Haih, memang besar sungguh pengorbanan seorang ibu. Kuatnya siapa yang jadi ibu ni.”
Mommy yang baru pertama kali menyusu si manja pasti pernah terfikirkan atau mengeluarkan kata-kata di atas bukan? Mesti sekarang Mommy sudah memahami betapa peritnya melalui proses penyusuan badan dan juga bengkak susu, bukan?
Bengkak susu adalah situasi di mana payudara ibu yang menyusu menjadi bengkak, keras, dan menyakitkan apabila susu ibu terlalu banyak terkumpul di saluran susu. Ia selalu terjadi waktu susu ibu mula-mula masuk di awal kelahiran bayi, tetapi boleh juga berlaku pada masa-masa lain. Ia boleh menjadi sangat tidak selesa, tetapi Mommy boleh melegakan bengkak dengan beberapa cara.
Sebelum itu, mari kita lihat terlebih dahulu, tanda-tanda bengkak susu.
Tanda-Tanda Bengkak Susu
Terdapat beberapa tanda yang menunjukkan seseorang itu sedang mengalami masalah ini. Antaranya:
- Payudara sakit ketika dipegang
- Puting tenggelam ke dalam
- Payudara keras dan ada rasa ada ketulan
- Kulit payudara tegang dan berkilat
- Bengkak yang panas
Payudara bengkak boleh berlaku pada satu bahagian sahaja ataupun pada kedua-dua bahagian. Bengkak itu juga boleh merebak hingga ke bahagian ketiak Mommy.
Saluran darah dibawah kulit mungkin akan kelihatan lebih jelas pada buah dada disebabkan aliran darah yang meningkat ke bahagian tersebut. Ada juga sesetengah Mommy mengalami demam disebabkan masalah ini. Tetapi jangan risau, anda masih lagi boleh meneruskan penyusuan walaupun demam.
Jika bengkak terlalu besar, kemerah-merahan dan Mommy mempunyai demam yang tinggi, anda haruslah berjumpa dengan doktor terlebih dahulu. Ini dapat memastikan sama ada bengkak tersebut disebabkan jangkitan kuman ataupun tidak. Jika Mommy mengalami jangkitan kuman, ia perlu segera dirawat untuk mengelakkan daripada ia menjadi lebih serius dan memudaratkan kesihatan Mommy dan si manja yang menyusu.
Tambahan pula, jangkitan kuman yang tidak dirawat boleh menyebabkan penghasilan nanah di dalam payudara dan ia boleh menyumbatkan saluran pengaluran susu. Ini boleh menyebabkan keadaan pesakit menjadi bertambah teruk.
Nak tahu bagaimana Mommy boleh mengatasi masalah bengkak susu? Jom baca punca-punca bengkak susu di bawah:
Punca-Punca Bengkak Susu
Selepas bayi dilahirkan, dalam satu ke dua minggu, sebenarnya normal payudara ibu menyusu menjadi lebih besar kerana peningkatan aliran darah ke payudara untuk menaikkan bekalan dan menghasilkan susu.
Tapi lain pula jadinya jika bekalan susu tersebut “tersumbat” atau susu tidak keluar, membuatkan payudara ibu bengkak. Antara punca-punca bengkak susu termasuklah:
1. Mulut bayi tidak melekap pada puting payudara ibu dengan baik.
Keadaan ini dikenali sebagai ‘latching’, dimana bayi masih belum pandai untuk melekapkan bibirnya pada payudara si ibu.
Ia akan menyebabkan susu tidak keluar dari payudara sepenuhnya. Jika ini berterusan, ia akan menyebabkan susu tersumbat di saluran susu ibu dan mengakibatkan pembengkakan.
2. Bayi tidak disusukan sekerap mungkin.
Kadang-kadang ada sesetengah bayi yang tidur terlalu lama atau banyak, dan tidak meminum susu dengan secukupnya.
Ada pula yang suka main-main sahaja dan tidak minum dengan betul.
Apabila bayi tidak disusukan dengan kerap, tentulah susu tak akan keluar dengan sepenuhnya dan menyebabkan bengkak susu kerana terlalu banyak susu berada dalam payudara dan tersumbat.
3. Menggunakan susu formula sejak bayi dilahirkan.
Walaupun ini bukan menjadi satu masalah jika Mommy memang merancang untuk memberi susu formula sejak bayi dilahirkan, badan Mommy akan tetap menghasilkan susu.
Iye lah, badan mana yang ‘tahu’ rancangan penyusuan kita kan?
Jadi, Mommy akan terasa penuh di payudara dalam hari ketiga atau keempat selepas kelahiran, dan seterusnya akan menjadi bengkak jika susu tersebut tidak dikeluarkan.
4. Tidak mempunyai jadual penyusuan yang konsisten.
Walaupun Mommy cuba dengan sedaya upaya untuk memberi susu kepada bayi dengan konsisten, kadang-kadang apa sahaja perubahan dalam rutin harian boleh mengganggu jadual penyusuan tersebut.
Contohnya seperti pulang ke kerja, bayi memasuki tempat asuhan, atau penukaran waktu tidur bayi, lalu menyebabkan kelewatan dalam penyusuan, justeru mengakibatkan bengkak susu.
5. Mengambil ubat-ubatan atau biskut yang meningkatkan pengeluaran susu.
Ada sesetengah ibu yang mempunyai preskripsi untuk merawat keadaan lain atau pun memang mengambil ubat untuk meningkatkan pengeluaran susu, dan ada juga yang mengambil lactation cookies untuk perbanyakkan susu.
Kadang-kala ini boleh mengakibatkan bekalan susu yang berlebihan, lalu terjadilah bengkak susu.
Risiko Bengkak Susu
Bengkak susu bukanlah satu perkara yang boleh dianggap sebagai satu perkara remeh. Walaupun ia bukan satu masalah kesihatan yang memerlukan rawatan di hospital. Tetapi jika keadaan ini berterusan, ia boleh mendatangkan risiko bahaya kepada Mommy.
Jadi kepada Mommy yang menyusukan si manja, pastikan kerap melakukan sesi penyusuan badan kepada bayi. Menyusu tidak ada sebarang jadual untuk bayi.
Kemudian, mari kita lihat pula cara-cara melegakan bengkak susu.
Cara-Cara Melegakan Bengkak Susu
Walau apa sahaja penyebab bengkak susu yang terjadi pada Mommy, ia merupakan satu keadaan yang menyakitkan dan akan menyusahkan ibu untuk menyusu dan juga bayi yang menyusu.
Mommy boleh cuba cara berikut untuk melegakan bengkak tersebut dan juga mengelakkannya daripada berlaku lagi.
- Jika kesuluruhan payudara berasa keras dan bengkak, tuam payudara tersebut dengan merendam tuala dalam air panas. Kalau Mommy ada alat khas tuam, boleh gunakan itu juga.
- Kemudian tekap perlahan-lahan pada seluruh payudara untuk melancarkan pengaliran susu. Jika Mommy tak boleh tahan panas, tuam payudara dengan menggunakan tuala yang direndam di dalam air yang berisi ais untuk menjadikan payudara menjadi sedikit kebas supaya Mommy tak terasa sakit sangat semasa menuam.
- Setelah dituam dengan tuala panas, Mommy boleh urut-urut payudara, sama-ada seluruh payudara atau di kawasan di mana saluran susu tersebut tersumbat. Urut saluran susu kearah puting susu ibu supaya mudah dikeluarkan.
- Perah susu keluar menggunakan teknik perahan tangan. Untuk mengeluarkan susu selepas urutan payudara, genggam payudara dengan telapak tangan untuk menolak lagi, dan gunakan jari telunjuk dan ibu jari untuk memicit sedikit puting dan mengeluarkan susu.
Mommy tidak disarankan untuk menyusukan bayi atau menggunakan pam untuk keluarkan susu yang tersumbat tadi.
Ini kerana apabila Ibu mengalami bengkak susu, kawasan areola menjadi tegang dan keras, dan ia akan menyukarkan bayi untuk melekap atau latching dengan betul, dan juga susah untuk memastikan corong pam melekap betul pada puting dan payudara ibu.
Tambahan pula, kalau Mommy menyusukan anak atau menggunakan pam susu untuk mengeluarkan susu, kedua-dua teknik ini akan merangsang lagi penghasilan susu.
Tujuan mengeluarkan susu dengan perahan tangan adalah untuk melegakan bengkak dan melancarkan pengaliran supaya bayi boleh mendapat susu yang sudah ada di dalam payudara.
Jadi, penghasilan susu bertambahan perlu dielakkan buat sementara waktu. Jika teknik di atas tidak berkesan, Mommy boleh cuba cara-cara yang lain seperti yang disenaraikan di sini.
Bagaimana Untuk Mengelakkan Bengkak Susu?
Untuk mengelakkan bengkak susu daripada berlaku lagi, pastikan Mommy mengikuti saranan-saranan di bawah ini:
- Susukan bayi (atau pam) dengan kerap, tapi pastikan bayi dah pandai latching dengan betul. Pastikan sesi penyusuan adalah paling kurang dalam 20 minit. Kalau bayi terlelap, kejutkan bayi.
- Sebelum memulakan sesi penyusuan, Mommy boleh cuba mandi dengan air suam ataupun tuam sedikit payudara dengan tuala panas untuk melancarkan pengaliran dan pengeluaran susu. Jadi bayi senang nak minum dan dapat mengelakkan aliran susu tersumbat.
- Gunakan teknik perahan tangan untuk membuang sedikit susu ibu sebelum setiap penyusuan. Ini dapat membantu mengurangkan sedikit ketegangan untuk melembutkan payudara, mengurangkan kelajuan aliran susu, dan memudahkan bayi untuk melekap pada puting.
- Sebelum menukar payudara sewaktu penyusuan, pastikan payudara pertama telah dikosongkan sepenuhnya. Macam mana nak tau? Haa Mommy kena lah pastikan bayi menyusu lama-lama juga sebelum beralih ke payudara lagi satu. Mungkin Mommy boleh check dengan memicit puting untuk tengok jika masih banyak susu.
Masalah bengkak susu, walaupun bukan masalah kesihatan yang memerlukan rawatan di hospital, tetapi ia bukan perkara yang boleh diambil remeh kerana ia masih boleh memudaratkan kesihatan Mommy.
Jadi pastikan Mommy dapat elakkan perkara ini daripada berlaku sekiranya anda sedang menantikan kelahiran cahaya mata dalam masa terdekat dan akan mula menyusu.
Kepada para ibu yang sedang menyusukan bayi, pastikan kaedah penyusuan adalah betul, kerap menyusu dan ajarkan si manja sehingga dia pandai latching.
Yang penting, jangan give up! Lagipun, proses penyusuanlah waktu terbaik untuk mengeratkan hubungan dan memperkukuhkan ikatan kasih sayang antara ibu dan anak.