Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Bengkung Bersalin: Manfaat, Jenis, Dan Cara-Cara Memakainya Dengan Betul

Bakal ibu tentu sudah membuat persiapan yang lengkap untuk menyambut ketibaan bayi kan?

Persediaan Mama tu termasuk bengkung bersalin tak? Kalau tak pernah dengar, pastikan anda membaca artikel ini untuk mengetahui selanjutnya tentang bengkung bersalin dan jika anda memerlukannya lepas bersalin.

Bengkung bersalin telah wujud sejak zaman dulu lagi, sewaktu nenek moyang kita menggunakan kain biasa yang panjang untuk membalut atau membengkung perut, sama ada untuk sebab kecantikan atau selepas bersalin.

Bengkung bersalin di katakan dapat membantu memberi sokongan pada bahagian abdomen Mama dan mengembalikan bentuk selepas bersalin.

Highlighted

Sumber: Getty Images

Ada juga doktor yang menyarankan untuk menggunakan bengkung selepas membuat pembedahan abdomen, dan ini termasuklah pembedahan Caesarean.

Kajian menunjukkan bahawa bengkung bersalin mungkin dapat mengurangkan kesakitan dan membantu penyembuhan Caesarean.

Faedah-Faedah Memakai Bengkung Bersalin

  1. Menyokong pelvic floor

    Organ ibu mengandung bergerak dan berubah semasa mengandung untuk memberi ruang kepada bayi yang sedang membesar.

    Semasa mengandung, hormon-hormon yang terlibat juga membuatkan otot pelvic floor lebih lemah, menyebabkan Mama lebih mudah terkencing selepas bersalin. Bengkung bersalin dapat memberikan sedikit tekanan kepada otot tersebut dalam proses penyembuhan selepas bersalin.

  2. Membantu pemulihan otot perut

    Semasa mengandung, dua otot besar di kawasan perut akan berpecah ketika rahim ibu mengembang.

    Ini dipanggil diastasis recti. Walapun otot ini akan kembali ke rupa asal dalam dua bulan selepas bersalin, bengkung bersalin dapat membantu menyokong dan memampatkan otot tersebut.

  3. Memberi sokongan kepada abdomen

    Bengkung bersalin dapat memberi sokongan kepada abdomen ibu yang sudah bersalin serta menyelaraskan perut sehingga organ-organ dan otot-otot perut dapat kembali berfungsi seperti sebelum ibu mengandung.

    Sumber: Getty Images

  4. Membantu tekstur dan bentuk kulit

    Semasa mengandung, kulit di bahagian perut akan mengalami regangan untuk menampung perkembangan perut, dan selepas bersalin, kulit tersebut akan menjadi longgar atau ‘floppy’.

    Bengkung bersalin dapat membantu memberi tekanan ringan supaya kulit dapat melantun kembali ke bentuk asal.

  5. Mengurangkan sakit pembedahan C-section

    Bengkung bersalin mampu mengurangkan sakit pembedahan C-section dengan membantu mengelakkan tekanan dibahagian luka bersalin. Justeru ini membantu memudahkan pergerakan ibu lepas bersalin juga.

  6. Membantu perbaiki postur badan

    Menggunakan bengkung bersalin akan membuatkan postur badan ibu untuk menjadi tegap dan baik kerana bengkung bersalin biasanya akan di bungkus dari bawah payudara hinggalah ke bahagian pinggul.

    Jadi bila memakainya, Mama mesti berasa postur sangat baik kerana sukar untuk membongkok.

    Sumber: Getty Images

  7. Kebaikan untuk rahim

    Bengkung bersalin dikatakan dapat membantu mengecutkan semula rahim, mengembalikan kedudukan peranakan, dan mengelakkan rahim daripada “jatuh” atau lari dari kedudukan asal.

  8. Faedah-faedah lain

    Bengkung bersalin memang banyak manfaatnya, antara yang lain termasuklah mengurangkan bengkak akibat pembedahan, membantu meningkatkan pengaliran darah, dan juga membantu menghilangkan sakit belakang.

    Ibu-ibu yang pernah pakai bengkung bersalin juga mengatakan bahawa ia dapat membantu mendapatkan pinggang yang kembali ramping seperti sebelum mengandung.

Jenis-Jenis Bengkung Bersalin Dan Cara Pemakaian

  1. Bengkung Bersalin Lilit Jawa

    Sumber: theasianparent.com

    Bengkung jenis lilit Jawa merupakan jenis bengkung yang tradisional. Ia menggunakan kain yang sangat panjang lebih kurang dalam 15 meter.

    Bengkung ini boleh diikat dengan kemas dan rapi dengan melilit dan mengikat setiap ikatan secara manual. Ia dikatakan paling berkesan dalam mengembalikan bentuk badan. Akan tetapi bengkung ni agak susah untuk dibuka untuk mandi atau ke tandas.

  2. Bengkung Zig-zag

    Sumber: Mango Tree Bengkung

    Bengkung jenis ini dicipta berdasarkan bengkung tradisional lilit jawa, tetapi lebih mudah untuk dipakai dan dibuka.

    Mama cuma perlu ikat ikatan di hadapan secara zig-zag dan longgarkannya bila nak buka.

  3. Bengkung Bertali Barut

    Sumber: Myra Biz Empire

    Bengkung jenis bertali barut mungkin nampak sama seperti bengkung zig-zag, tetapi ia lebih mudah kerana tali-tali ditepi hanya perlu ditarik dan diikat, tak perlu buat bentuk zig-zag.

    Bengkung ini sama konsep dengan barut bayi yang digunakan untuk bayi baru lahir.

  4. Bengkung Moden Velcro

    Sumber: Mamaway

    Bengkung moden velcro sangat mudah untuk dipakai dan berkesan. Mama cuma perlu lilit bengkung sekali sahaja sekitar perut dan ketatkan dengan menggunakan velcro.

  5. Bengkung Moden Corset

    Sumber: Boss Mama

    Bengkung moden jenis ini juga sesuai untuk dipakai selepas bersalin kerana penghasilannya memang bertujuan untuk digunakan selepas bersalin, bukan yang pakai untuk kecantikan saja ya.

    Ia memberikan tekanan yang sesuai untuk dipakai selepas bersalin. Bengkung jenis ini selalunya menggunakan cangkuk atau zip, atau kedua-duanya sekali.

 

Kehamilan akan mengubah badan Mama secara zahir dan batin, dan ia akan memakan masa untuk memulihkan kembali keadaan badan kita.

Terdapat banyak cara untuk mendapatkan balik bentuk badan Mama pra-hamil, dan juga untuk organ-organ dalaman kembali berfungsi seperti dulu dengan mengamalkan beberapa cara lain seperti diet atau pemakanan dan senaman ringan yang boleh dilakukan lepas bersalin.

Bengkung bersalin juga adalah salah satu daripadanya, tapi pastikan pemakaian bengkung tersebut adalah betul dan selamat dan tidak memudaratkan.

Yang penting, badan Mama perlu sentiasa sihat supaya dapat menghayati keindahan menjaga si comel.