Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Anak Mudah Bosan? Luangkan Masa Bermain Dengan Anak Melalui 10 Tips Mudah Ini!

mak bermain dengan anak

Bermain dan kanak-kanak memang tak dapat dipisahkan. Bukan sahaja mengundang rasa seronok tetapi ia juga penting supaya mereka dapat berkembang dengan sihat dari segi fizikal dan juga emosi.

Ia juga menjadi alat bagi kanak-kanak untuk merapatkan hubungan kasih sayang antara mereka dan juga ibu bapa. Malangnya, sesetengah ibu bapa tidak melayan ajakan untuk bermain dengan anak mereka.

Sebagai ibu bapa prihatin, walau sesibuk mana sekalipun, Mommy dan Daddy perlu cuba meluangkan masa untuk bermain dan melayan anak-anak, untuk membantu mereka berkembang dengan lebih sihat dan cergas.

Mulai saat ini, apa kata kalau Mommy dan Daddy luangkan masa bermain dengan anak melalui tips yang kami kongsikan di bawah!

Mana tahu, melalui tips ini, Mommy dan Daddy dapat mengambil sedikit waktu untuk bermain dengan mereka dan sekaligus membantu perkembangan yang lebih baik untuk anak-anak.

Tips Bermain Dengan Anak-Anak

Highlighted

Kredit gambar: www.peacefulparent.com

Berikut adalah beberapa tips untuk bermain dengan anak-anak iaitu:

#1. Reka Cerita untuk Permainan Mereka

Anak-anak ada tak ajak Mommy dan Daddy bermain dengan anak patung ataupun figura mereka? Anda boleh juga reka cerita berdasarkan permainan mereka.

Contohnya, untuk figura robot mereka, Mommy dan Daddy gerakkan figura itu untuk melawan raksasa, yang pada mulanya kalah, kemudian menang. Anak-anak pasti akan teruja.

#2. Bermain dengan Anak melalui Permainan Fizikal

Mommy dan Daddy juga boleh mengajak anak-anak bermain guling-guling atau pun menggeletek anak-anak. Bermain gusti-gusti lembut juga sesuai untuk anak-anak.

Biarkan mereka menang semasa bergusti. Ini dapat melatih fizikal mereka. Tapi sebelum bermain, Mommy dan Daddy perlu melihat tempat itu sesuai atau tidak untuk bermain.

#3. Minta Mereka Mengajar Permainan

Malah, Mommy dan Daddy juga boleh meminta anak-anak untuk mengajar tentang sesuatu permainan. Contohnya semasa anak-anak sedang bermain susunan Lego, anda boleh bertanya tentang bentuk yang mereka susun dan minta mengajarkan bagaimana untuk menyusunnya.

Anda perlu tunjukkan rasa minat untuk belajar tentang permainan mereka dan membuatnya bersama-sama. Anak-anak akan rasa lebih dihargai.

#4. Aktiviti Seni bersama Anak-anak

Kredit gambar: www.explico.sg

Mommy dan Daddy boleh ajak anak-anak untuk melukis atau mewarna gambar bersama-sama. Letakkan kertas lukisan atas meja dan ajak anak-anak untuk melukis gambar-gambar haiwan, bunga-bungaan atau pun bentuk-bentuk biasa dilihat.

Kemudian ajak mereka warnakan lukisan tadi. Mommy dan Daddy tak perlulah lukis cantik-cantik sangat, ikut tahap anak-anak anda saja.

Selain itu, Mommy dan Daddy boleh juga sediakan alat-alat kraf tangan seperti tanah liat dan juga kertas untuk membuat Origami.

#5. Ajak Buat Aktiviti yang Kita Suka

Selain itu, Mommy dan Daddy boleh juga mengajak anak-anak untuk membuat aktiviti yang anda berdua suka.

Contohnya kalau Mommy dan Daddy suka berkebun, ajak sekali anak-anak untuk menyiram tanaman, menggali tanah dan memetik buah-buahan.

Anak-anak sangat suka bila melihat anda buat perkara yang menggembirakan, dan juga dapat mengajar anak-anak sedikit kemahiran.

#6. Mendorong Anak-anak Ketika Menghadapi Cabaran

Mommy dan Daddy boleh juga mendorong anak-anak semasa bermain. Kadang-kadang semasa bermain sesuatu yang susah, anak-anak tidak mahu bermain. Dorong anak untuk teruskan dan berikan mereka kata-kata semangat.

#7. Bermain dengan Anak Melalui Permainan Mudah

Permainan yang mudah juga dapat menggembirakan anak-anak. Contohnya permainan tolak bola.

Mommy dan Daddy boleh habiskan masa yang lama dengan anak-anak hanya dengan menolak bola ke depan dan belakang, dan anak-anak masih terhibur.

#8. Berinteraksi dengan Imaginasi Mereka

Kadang-kadang anak-anak berkelakuan seperti imaginasi mereka, contohnya berjalan dan bergesel seperti kucing.

Mommy dan Daddy boleh melayan imaginasi mereka, dengan mengiau kepada mereka, dan juga mengusap-usap kepala mereka

#9. Bermain dengan Anak melalui Sesi Bercerita secara Spontan

Kredit gambar: www.kidsacademy.mobi

Mommy dan Daddy juga boleh bercerita secara spontan dengan anak-anak. Ajak anak-anak untuk berkumpul, dan minta mereka untuk mereka-reka watak dongeng dan jenis cerita yang mereka suka.

Contohnya anak-anak memberikan watak kartun yang mereka minat, dan anda pula reka satu cerita berkaitan watak itu.

#10. Bawa Anak-anak Berjalan

Akhir sekali, Mommy dan Daddy boleh saja bawa anak-anak bersiar-siar di luar, contohnya di kawasan taman. Di situ, banyak aktiviti yang boleh anda buat bersama anak-anak.

Anda boleh bermain di taman permainan dengan anak-anak, ataupun sekadar berjalan-jalan bersama mereka.

Kesimpulannya, bermain dengan anak-anak tidak perlu perancangan yang teliti untuk menjayakannya. Anak-anak hanya mahu melakukan aktiviti bersama ibu bapa mereka, supaya mereka dapat berasa kasih sayang ibu bapa terhadap mereka.


Penafian: Maklumat yang dikongsikan dalam artikel ini adalah untuk tujuan perkongsian informasi dan pendidikan sahaja, dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Motherhood. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, adalah dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan yang berkelayakan.


Dapatkan pelbagai lagi info dan panduan keibubapaan menarik yang lain di SINI!