Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Fresh Cream vs. Whipping Cream: Apa Perbezaan Dan Kegunaannya?

fresh cream

Sumber: Adobe Stock

Kalau Ibu jenis yang suka mencuba resepi-resepi baru terutamanya resepi dari negara Barat, Ibu tentu pernah terjumpa bahan ‘fresh cream‘ atau ‘whipping cream‘ dalam resepi tersebut, kan? Kadang-kala merunsingkan juga kerana ada resepi yang hanya menyebut cream, dan ada juga yang menggunakan istilah heavy cream.

Selain itu, terdapat banyak istilah lain berkaitan krim yang sangat mengelirukan bagi sesiapa sahaja. Jadi kalau Ibu nak tahu apa beza istilah-istilah tersebut, jangan risau kerana ada penjelasannya yang ringkas.

Selalunya, terdapat tiga jenis krim yang digunakan dalam memasak dan juga membakar (baking). Ketiga-tiga jenis krim ini berbeza dari segi peratusan lemak susu dan juga tekstur dan konsistensinya. Peratusan lemak juga yang membuat jenis-jenis krim ini berbeza apabila diputar atau whipped.

Highlighted

Sumber: Adobe Stock

Jenis-Jenis ‘Cream

Apa Itu Fresh Cream?

Fresh cream adalah produk tenusu yang diekstrak daripada susu. Ia dibuat dengan memproses dan mensterilkan susu pada suhu yang tinggi dan kemudiannya dibungkus untuk jualan di pasaran. Ia mempunyai 18% hingga 25% lemak tenusu, berbanding dengan whipping cream yang mempunyai dalam 35% lemak tenusu.

Cooking cream‘ juga termasuk dalam kategori fresh cream kerana kebiasaannya mempunyai peraturan lemak sebanyak 20%.

Credit: Emborg

Fresh cream mempunyai tekstur yang sedikit tebal, berkilat, dan seperti sutera, dan ia sesuai digunakan dalam pelbagai jenis hidangan makanan, termasuklah yang dimasak diatas dapur dan juga yang dibakar di dalam ketuhar. Ia sering digunakan untuk memekatkan kuah dan sup.

Walau bagaimanapun, disebabkan fresh cream mempunyai kandungan lemak yang lebih rendah daripada 30%, ia tidak boleh diputar (whipped) seperti whipping cream untuk menjadikan bentuk, sama ada sebagai topping minuman seperti iced chocolate atau hiasan atas cupcake.

Credit: Amazon India

Bagaimana Pula Dengan Whipping Cream?

Whipping cream atau whip cream juga adalah produk tenusu yang diesktrak daripada tenusu, melainkan mempunyai istilah ‘non-dairy‘.

Berbanding dengan fresh cream, ia adalah jenis krim yang padat dan licin yang boleh diputar dan digunakan untuk hiasan pada kek dan minuman. Samalah macam jenis minuman Frappucino dari Starbucks yang digemari ramai!

Whipping cream boleh diputar atau whipped dengan baik dan dapat mengekalkan bentuknya buat sementara waktu. Ia sering digunakan juga sebagai hiasan di atas kek atau cupcake. Selain itu, ia juga boleh digunakan untuk memekatkan kuah sedikit dan memberi rasa penuh berkrim.

Sumber: Anchor

Jenis Krim Lain

Ada juga jenis produk krim yang dipanggil ‘heavy cream‘ ataupun ‘heavy whipping cream‘, dan ia mempunyai kandungan lemak tenusu lebih tinggi dari whipping cream iaitu lebih daripada 36%, manakala whipping cream biasa adalah dalam lingkungan 30% hingga 35%.

Heavy cream boleh diputar dengan sangat baik, lebih hebat berbanding whipping cream dan dapat mengekalkan bentuknya dengan lebih lama. Jenis krim ini sesuai untuk dibuat sebagai ‘ganache‘ untuk kek. Berbanding dengan heavy cream, mesikupun lebih ringan, whipping cream yang diputar juga boleh menjadi cair dengan lebih cepat.

Sumber: Horizon Organic

Selain daripada krim susu seperti fresh cream, whipping cream, dan heavy cream, ada juga krim jenis bukan dari tenusu. Selalunya ia dipanggil ‘Whip Topping‘ atau ‘Topping Cream‘ dan akan ada istilah ‘non-dairy‘ di atas pembungkusannya. Ia senang didapati di pasaran dalam pelbagai jenama dan dapat memberikan rupa dan rasa yang sama seperti whipping cream berasakan tenusu, cuma tanpa kehadiran lemak tenusu di dalamnya.

Jenis krim non-dairy ini adalah lebih stabil, justeru corak-corak atau bentuk yang dipaip menggunakan krim ini boleh tahan seminggu tanpa kehilangan bentuknya.

Walaupun ia bukan produk berasaskan susu, ini masih digunakan dengan agak kerap untuk menggantikan whipping cream kerana lebih murah selain daripada bertahan lama. Ia terdiri daripada minyak sayuran yang murah daripada krim berasaskan susu, dan lebih kerap digunakan di kedai-kedai komersial.

Sumber: alaf21.com.my

Apakah Kegunaan Fresh Cream?

Fresh cream diperolehi dengan membuang lapisan atas susu. Ia mempunyai rasa yang sangat berlemak dan meningkatkan rasa lemak pelbagai juadah. Beberapa perkara ia boleh digunakan adalah seperti:

  • digunakan dalam membuat kopi susu, sama ada panas atau sejuk untuk membuat kopi susu berlemak
  • digunakan dalam pelbagai jenis kuah seperti kari untuk memekatkannya dan menambah rasa lemak seperti santan
  • ditambah dalam sup seperti sup tomato atau sup cendawan untuk memekatkan dan membuatnya rasa berlemak
  • boleh digunakan untuk membuat aiskrim disebabkan oleh rasanya yang berlemak dan sesuai untuk aiskrim yang menyelerakan
  • sering digunakan untuk sos pasta yang jenis berlemak seperti fettucini alfredo atau carbonara
  • sesuai untuk digunakan dalam salad buah-buahan untuk melengkapi rasa masam manis buah
  • disapu atas roti atau pastri lain seperti bagel, atau scone
Sumber: Adobe Stock

Apa Pula Kegunaan Whipping Cream

Seperti yang disebutkan tadi, whipping cream sering digunakan untuk diputar dan dibentuk kerana ia mampu mengekalkan bentuk untuk jangka masa yang panjang. Beberapa cara whipping cream digunakan adalah seperti:

  • membuat topping untuk minuman seperti hot chocolate dan kopi, sama ada panas atau sejuk
  • digunakan sebagai hiasan di atas kek, cupcake, donut, dan pelbagai jenis pastri lain
  • boleh juga digunakan dalam masakan seperti fresh cream

Kegunaan-kegunaan ini adalah termasuk untuk jenis whipping cream yang bukan dari tenusu.

Jadi Ibu nampak tak, perbezaan utama antara fresh cream dan whipping cream adalah dari segi kebolehannya untuk diputar, di mana whipping cream boleh diputar manakala fresh cream adalah sebaliknya. Selain itu, kedua-duanya boleh digunakan dalam masakan, baking, dan juga minuman.

Jadi petuanya ialah semak peratusan lemak semasa Ibu ingin membeli krim dan tentukan kegunaannya. Lebih tinggi peratusan lemak krim tersebut, lebih banyak tujuannya yang boleh digunakan. Ini kerana whipping cream atau heavy whipping cream mempunyai kelebihan boleh diputar, dan pada masa yang sama masih boleh digunakan dalam masakan dan minuman.
Dan jika Ibu ingin menggunakan krim yang lebih murah dan dapat mengekalkan bentuk krim yang diputar dengan lebih lama, boleh gunakan whipping cream jenis non-dairy yang senang didapati dipasaran.
Semoga bermanfaat.