Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Jom Ceduk Idea Dekorasi Bilik Pengantin Daripada Motherhood, Khas Buat Raja Sehari

Dekorasi Bilik Pengantin

Kredit gambar: istockphoto

Apabila membina layar bahtera bersama, antara aspek terpenting buat bakal pengantin adalah, bilik tidur mereka. Bilik pengantin inilah yang akan menjadi ruang penting buat pasangan suami dan isteri.

Jadi memang ia harus dititikberatkan. Dari segi hiasannya, tema dekorasi bilik, suasana bilik, barang dan kelengkapan yang digunakan; ini semua penting ya.

6 Idea Dekorasi Bilik Pengantin

Selalunya, dekorasi bilik pengantin ni, termasuk dalam pakej perkahwinan. Tetapi, ada je yang tidak menyediakan khidmat gubahan bilik pengantin dan tak kurang juga, ramai pengantin dan keluarga mereka sendiri yang lebih memilih untuk menghiasnya sendiri.

Orang kata, lebih istimewa dan ada sentuhan kasih sayang gitu. Apa salahnya kan?

Jom, kita tengok beberapa idea yang Mommy boleh dapatkan inspirasi untuk gubah bilik pengantin nanti:

#1. Deko bilik pengantin dengan bunga segar

Highlighted

Kredit gambar: istockphoto

Kita selalu tengok kan, dalam filem Melayu atau Hollywood. Bilik pengantin digubah dan dipenuhi dengan bunga-bunga segar seperti bunga mawar merah dan putih.

Di lantai bilik, ditaburkan kelopak-kelopak bunga. Di langsir tingkap pula, telah disulami dengan kuntuman bunga mawar.

Katil pengantin juga dipenuhi dengan taburan kelopak bunga dan renjisan air mawar. Memang cukup mempesonakan bilik pengantin yang digubah dengan bunga segar ni.

Selain daripada keindahannya, baunya juga turut memperelokkan suasana. Cumanya, kalau nak gubah dengan bunga segar ni, kena buat pada malam berinailah supaya kesegarannya tahan lebih lama.

#2. Deko bilik pengantin dengan kain baldu

Kalau ada bajet lebih sikit, bolehlah gubah bilik pengantin dengan serba serbinya, daripada kain baldu.

Kalau pada zaman dahulu, kain baldu biasanya digunakan oleh kerabat-kerabat diraja je kan? Ini kerana kain baldu itu sendiri memang nampak eksklusif dan anggun.

Terkena pula biasan dan cahaya lampu, memang cantik bilik pengantin nanti. Dari cadar, langsir, karpet; semuanya baldu.

Lembut pada sentuhan pula tu!

#3. Deko bilik pengantin serba putih

Orang tua-tua kata, bilik pengantin ni penting kerana di sinilah tempat di mana suami dan isteri mula mengenali satu sama lain dengan lebih mendalam.

Warna putih sering dikaitkan dengan erti kesucian, permulaan baru dan kepolosan. Memang sesuailah jika bilik pengantin digubah serba putih.

Ia boleh membawa erti yang lebih mendalam kepada bakal mempelai raja sehari. Percayalah, suasana sesuatu ruang itu akan lebih baik apabila rona di sekelilingnya serba putih.

#4. Deko bilik pengantin tema tradisional

Tak kurang menariknya, bilik pengantin yang digubah bertemakan tema klasik Melayu sebagai contohnya, memang menarik.

Bayangkan, cadar katil dan langsir bilik bercorak batik dan songket. Dihias pula dengan permaidani buluh dan hiasan kraftangan yang dilekatkan di dinding bilik.

Ia memberikan vibe Melayu dahulu kala dan jika busana pengantin bertemakan klasik Melayu, memang ngam sangat lah!

#5. Deko bilik pengantin dengan kain ropol

Dari dahulu lagi, orang tua-tua kita dan mak andam suka sangat gubah bilik pengantin dengan kain ropol kan? Diletaknya di sekeliling katil, di atas kepala katil, di langsir, di muka pintu dan macam-macam lagi.

Bergantung kepada cara gubahan dan kombinasi warna kain yang dipilih, deko menggunakan kain ropol ni, boleh kelihatan anggun dan mewah tau. Macam ala-ala British style gitu.

#6. Deko bilik pengantin dengan kain satin

Kredit gambar: istockphoto

Kelihatan seakan-akan kain sutera, kain satin tanpa syaknya, memang nampak mewah. Kalau nak guna kain sutera, ia agak mahal lah.

Jadi, kita boleh cari alternatif yang lebih baik iaitu dengan menggunakan kain satin. Dah terbayang-bayang dah, cadar dan selimut katil pengantin daripada kain satin. Mesti cantik!

Kalau dengan pencahayaan yang betul, sinar yang terpantul di kain satin tu akan membuatkan suasana seluruh bilik indah tau.

Tips Hias Bilik Pengantin

Motherhood dah kongsi beberapa idea dekorasi bilik pengantin. Sekarang ni, Motherhood nak bagi pula beberapa tips dalam menghias dan menggubah bilik pengantin:

#1. Pastikan bau dalam bilik pengantin wangi

Mommy boleh gunakan pelbagai cara untuk mewangikan bilik pengantin seperti:

  1. Merenjis air mawar di sekitar bilik
  2. Meletakkan potpourri
  3. Menggunakan bunga segar seperti bunga mawar dan melur
  4. Memasang diffuser yang mengeluarkan bau wangi semula jadi
  5. Meletakkan daun pandan yang dipotong-potong

#2. Pasang kelambu untuk menaikkan suasana

Kalau ada kelambu, suasana bilik akan terasa lebih romantis. Percayalah, pemasangan kelambu boleh membawa impak positif untuk hubungan suami isteri.

#3. Gunakan pencahayaan bilik yang betul

Kita tak nak lah kalau guna lampu LED yang terang sebagai contohnya. Kedudukannya pula, betul-betul di siling bahagian katil.

Kalau boleh, guna lampu yang sederhana terang. Tak begitu cerah dan tak begitu malap. Lebih baik juga, kalau ada lampu dinding kuning.

Jika nak tambah lilin beraroma pun boleh. Tapi pastikan Mommy letak di kawasan yang selamat ya?

#4. Elakkan meletak gubahan yang berat di kepala katil

Faktor keselamatan pun penting ya. Motherhood nak pesan awal-awal, elakkan untuk meletakkan sebarang gubahan yang berat di kawasan kepala katil.

Risau nanti terjatuh ke apa, bahaya pula.

#5. Gubah katil pengantin daripada material yang selesa

Penting macam mana pun untuk kelihatan cantik dan indah bilik pengantinnya, lagi penting keselesaan raja sehari tau.

Pastikan dalam nak menggubah tu, pilih material yang selesa dan tidak panas ya. Terutamanya, kalau bilik tiada penghawa dingin dan suasana bilik yang agak panas.

Hiasan Bilik Pengantin Untuk Raja Sehari

Banyak je idea yang kita boleh ceduk dan sesuaikan. Kena kreatif dan inovatif lah Mommy. Tapi yang paling penting, dapatkan pandangan dan persetujuan daripada bakal mempelai dahulu ya?

Selamat mencuba!


Nak inspirasi deko yang lain? Klik SINI.