Ibu, Bayi & Kanak Kanak

10 Idea Dekorasi Dan Tema Bilik Tidur Yang Comel Dan Cantik Bagi Anak Perempuan

Kalau sebelum ini Motherhood sudah kongsikan dekorasi untuk bilik tidur anak lelaki, entri kali ini, Motherhood kongsikan pula idea dekorasi bilik tidur anak perempuan yang cantik dan menjadi idaman anak-anak perempuan (dan mak mereka!).

Jom lihat inspirasi untuk idea bilik tidur anak perempuan seperti berikut.

10 Idea Dekorasi Dan Tema Bilik Tidur Anak Perempuan

1. Bilik Tidur Anak Perempuan Dengan Dekorasi Pelangi

Highlighted

Sumber: Etsy FunlifeKids

Corak pelangi amat popular sekarang untuk kanak-kanak perempuan kecil dan juga gadis remaja. Mommy boleh pilih untuk mengecat sendiri menggunakan cat warna pastel ataupun beli dekorasi jenis pelekat yang dipanggil ‘wall decal‘. Mudah untuk dipasang dan senang untuk dicabut!

2. Dekorasi Dwi-Tona

Dengan mengecat bilik tidur anak perempuan dalam dua warna, ia mungkin dapat berkembang dengan usia anak Mommy dari kecil hingga kemungkinan besar remaja.

Dua kombinasi warna yang sesuai selalunya merah jambu dan putih, merah jambu dan hijau pastel, dan juga hijau dan putih.

Anak Mommy juga boleh memilih dua warna kegemarannya untuk rekabentuk ini. Dengan cara ini, ia masih boleh nampak comel dan ceria, tetapi juga matang.

3. Corak Polka Dot (Bintik-bintik)

Sumber: housebeautiful.com

Selain daripada mengecat dinding sepenuhnya, menggunakan cat sebagai elemen hiasan adalah cara yang sangat menyeronokkan untuk menjadikan dinding kelihatan unik.

Untuk idea bilik tidur anak perempuan ini, gunakan templat bulatan untuk membuat titik berwarna kuning atau keemasan di atas dinding yang sudah dicat dengan warna pastel merah jambu.

4. Tema Warna Putih Bersih

Sumber: digsdigs.com

Untuk idea atau tema putih ini, seluruh dinding dicat dengan warna putih dan pilihan perabot juga kebanyakannya putih seperti katil, meja tepi katil, meja tulis, kerusi, dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, pilih beberapa perkara atau perabot kecil dengan pilihan warna lain untuk membuat kontra yang menarik, contohnya warna langsir merah jambu.

5. Tema Warna-Warni

Tema warna-warni mungkin agak mencabar dan berani, tetapi jika dilakukan dengan betul dan sebaik mungkin, ia dapat memberi impak yang sungguh dramatik.

Pilih satu kumpulan warna yang saling melengkapi serta perabot dan tekstil yang berwarna-warni. Mommy juga boleh pilih satu perkara, perabot, atau tekstil berwarna hitam atau putih untuk menaikkan kewarna-warnian tema ini.

6. Menggunakan Pelekat Berbentuk Hati Kecil

Sumber: housebeautiful.com

Kanak-kanak perempuan kecil tentu suka dengan corak berbentuk hati. Terdapat pelbagai jenis pelekat yang senang untuk dilekat dan dicabut dari dinding dan tidak meninggalkan apa-apa kesan.

Jadi hiasan ini amat berguna jika ingin membuat hiasan sementara sahaja. Tambahan pula, kanak-kanak kecil pun boleh memilih tempat untuk dilekat dan melekatkan pelekat-pelekat tersebut sendiri kerana amat mudah untuk dibuat.

7. Menggunakan Kertas Dinding

Sumber: wallpapertip.com

Hiasan bilik dengan kertas dinding adalah salah satu cara untuk dekorasi bilik yang amat mudah dan efektif.

Kebanyakkannya datang dalam ilustrasi yang klasik dan menawan, sesuai untuk kanak-kanak perempuan kecil dan gadis remaja. Anak Mommy tentu akan berasa mewah seperti puteri dalam biliknya sendiri.

8. Corak Jalur

Sumber: pinterest.com

Dekorasi corak jalur di dinding boleh membuatkan bilik tidur anak perempuan nampak tinggi atau besar bergantung kepada rekabentuk jalur tersebut.

Jalur merah jambu pastel dan putih adalah corak yang klasik dan dapat menyejukkan pandangan sesiapa yang memasuki bilik itu.

9. Bilik Tidur Anak Perempuan Moden

Sumber: ml_interiores

Bilik tidur untuk anak perempuan tak semestinya perlu nampak feminin. Malah, reka bentuknya boleh nampak moden dan masih menerapkan elemen feminin didalamnya.

Sebagai contoh tema warna bilik tidur boleh dijadikan moden dengan warna kelabu dan biru laut, tetapi hiasannya masih feminin seperti perabot atau seni yang lembut.

10. Hiasan Monokrom (Hitam Dan Putih)

Sumber: digsdigs.com

Salah satu cara atau reka bentuk yang klasik ialah dengan tema monokrom menggunakan kebanyakan warna hitam dan putih sahaja.

Beberapa bahan juga boleh menggunakan warna lain untuk menaikkan lagi kesan dekorasi hitam dan putih tersebut. Hiasan minimalis ini amat simple tapi memberi impak yang hebat.

Bagaimana Untuk Memilih Perabot Yang Sesuai Untuk Bilik Tidur Anak Perempuan?

Pembelian perabot memerlukan pemikiran dan pertimbangan yang serius dalam menghiasi bilik tidur anak Mommy. Melainkan Mommy suka dan mampu menukar perabot dengan kerap, Mommy perlu melabur dalam perabot yang berkualiti, tahan lama, dan bersesuaian dengan tema bilik tidur anak.

Untuk membeli perabot, Mommy boleh ikut beberapa tips seperti dibawah dalam memilih perabot yang sesuai.

1. Memilih perabot dengan rupa bentuk dan bahan yang boleh tahan lama seperti kayu kerana ia bersesuaian untuk digunakan oleh kanak-kanak kecil dan juga orang dewasa.

2. Jika membeli perabot secara online, pastikan Mommy mendapat gambaran yang penuh tentang perabot tersebut. Minta lebih banyak gambar dari setiap sudut daripada penjual perabot sekiranya tidak mencukupi.

3. Pilih perabot yang ergonomik supaya kanak-kanak kecil dapat menggunakannya dengan senang, seperti kerusi yang selesa, atau tombol kabinet yang senang untuk dipegang.

4. Elakkan perabot yang mempunyai bucu-bucu yang tajam, terutamanya jika perabot tersebut adalah untuk anak-anak kecil yang senang terjatuh.

5. Untuk kanak-kanak kecil, perabot yang dipilih mestilah yang jenis kecil. Kalau boleh dapatkan perabot yang boleh diubahsuai mengikut usia atau ketinggian anak, lebih elok. Selalunya perabot dari IKEA mempunyai ciri-ciri sebegitu rupa.

6. Pastikan perabot yang ingin dibeli adalah selamat untuk digunakan oleh kanak-kanak dari segi pengendaliannya hinggalah jenis cat yang digunakan kerana ada yang jenis toksik.

Kami harap artikel ini sedikit sebanyak dapat membantu Mommy memilih perabot dan dekorasi yang bersesuaian dengan bilik anak. Semoga bermanfaat.