Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Biodata Ebit Lew: Kisah Hidup & Fakta Menarik Tentang Ustaz Kegemaran Ramai Ini

biodata ebit lew

Sumber: Facebook Ebit Lew

Rakyat Malaysia sangat beruntung kerana mempunyai ramai pemimpin berwibawa, sama ada dalam bidang sosial, agama, atau politik.

Seorang tokoh atau pemimpin baik yang mempunyai ramai pengikut dapat membentuk masyarakat berperibadi tinggi, berakhlak mulia, dan berfikiran matang, justeru membantu membangunkan nama negara.

Biodata Ebit Lew

Tidak terkecuali, salah seorang pendakwah terkenal di Malaysia pada masa sekarang ialah Ebit Lew.

Lahir pada 21 Disember 1984 dengan nama Lew Yun Pau, Ebit Lew memeluk agama Islam ketika beliau berumur 12 tahun dan memilih nama Ebit Irawan sebagai nama Islamnya.

Anak Malaysia berbangsa Cina ini berasal dari Muadzam Shah, Pahang dan adalah anak ketiga daripada 12 orang adik beradik.

Beliau merupakan alumni Universiti Putra Malaysia dan mendapat pendidikan awal dari Sekolah Kebangsaan Bukit Ridan, Sekolah Menengah Kebangsaan Muadzam Shah, Pahang, Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru dan Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib, Pahang.

Highlighted


Kisah Hidup Ebit Lew

Pendakwah bebas yang terkenal dengan kebaikan membantu golongan kurang berkemampuan tak kira bangsa dan agama, serta masyarakat yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan Covid-19 ini sebenarnya pernah mengenali kesusahan dalam kehidupan sendiri.

Sumber: Facebook Ebit Lew

Sebelum rezekinya melimpah ruah, beliau pernah berkongsikan kisah hidupnya yang berbeza sekali sewaktu mula berdakwah dahulu di laman media sosial—dimana beliau pernah tidur di atas guni, di dalam masjid, dan tidak diterima bekerja kerana penampilannya yang selekeh.

Ramai yang mengecam dakwahnya sejak kecil untuk menyebarkan kasih sayang, mengatakan ia adalah kerja sia-sia dan tak akan ke mana atau tak membawa kekayaan, namun begitu beliau tidak pernah berputus asa dan bertungkus lumus bekerja untuk apa yang dipercayainya.

Menurut beliau, waktu-waktu tersebut pada zaman dahulu baginya memang susah betul dengan gajinya yang sedikit yang diberikan kepada orang tua dan berkongsi sepinggan nasi dengan rakan.

Sumber: Facebook Ebit Lew

Kemudian beliau mula bekerja dengan Dato’ Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah dan Profesor Hanim Mohd Tahir sebagai penceramah motivasi di bawah program teambuilding korporat selama empat tahun.

Selepas meraih ilmu dan pengalaman di situ, Ebit Lew memulakan perjalanan dan perniagaan sendiri sebagai pakar motivasi teambuilding seperti yang dilatih dibawah dua pemimpin tadi.

Dengan usaha dan berkat doa kedua ibu bapanya, perniagaan beliau berjaya mendapat perhatian syarikat minyak dan kapal, syarikat kerajaan dan kementerian, dan banyak lagi yang dapat membuat beliau memberi ‘tour‘ motivasi di seluruh Malaysia.

Syarikat latihan dan motivasi beliau dipanggil ‘Transform Training & Consultancy’ dengan produk atau program yang terkenal iaitu seminar motivasi kekeluargaan ‘Keluarga Sunnah’.

Sumber: Facebook Ebit Lew

Tambahan pula, kejayaan beliau dalam bidang tersebut membuka peluang baginya untuk menceburi dalam bidang perniagaan lain termasuklah perniagaan rangkaian restoran-kafe ‘Paramount Coffee House’, jaringan pasar raya ‘Elewsmart’, produk pakaian jenama “Elew’s Design”, dan beberapa penerbitan buku-buku yang bertajuk “11 Amalan Memiliki Kekayaan”, Isteriku Bidadari”, “Perjalanan Hidayah Umat”, dan banyak lagi.

Tidak lupa juga beliau mempunyai program television di Astro Oasis dan juga TV Al-Hijrah.

Ternyata kegigihan beliau, usaha berserta tawakal telah membuahkan hasil yang sangat lumayan dan manis bagi insan yang pemurah dan lembut bahasa ini.

Fakta Menarik Ebit Lew

1. Telah mengendalikan lebih 1,000 kursus di seluruh Malaysia meliputi modul dalam bidang kemanusiaan, kekeluargaan, kepimpinan, dan juga kerja ibadah.

2. Pernah memberi ceramah di negara lain di luar Malaysia termasuk Singapura, Indonesia, Thailand, dan Pakistan.

3. Rangkaian pasar raya Ebit Lew,  ‘Elewsmart’ yang diasaskan pada tahun 2020 di Bandar Baru Bangi, Selangor kini sudah mempunyai beberapa cawangan dan setiap cawangan mempunyai mesin yang dikenali sebagai ‘Food Bank‘ yang bertujuan untuk memberikan dan membekalkan barangan keperluan makanan secara percuma kepada mereka yang memerlukan. Jadi sesiapa boleh ambil tanpa membayar jika perlu dan sesiapa juga boleh menderma jika mampu.

Sumber: Facebook Ebit Lew

4. Dikuarniakan empat orang cahaya mata, dua perempuan dan dua lelaki.

5. Ketika wabak pandemik COVID-19 mula-mula melanda, Ebit Lew banyak memberi sumbangan bukan sahaja kepada individu yang kurang berkemampuan tapi juga telah menyumbang peralatan perubatan penting bagi kegunaan para pegawai perubatan di Sabah yang terjejas dan juga menghantar sumbangan kira-kira 200 kilogram daging lembu dan 500 kilogram buah-buahan serta sayuran terhadap pihak Zoo Negara yang terjejas dengan masalah kewangan.

6. Pernah menerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1437H/2015M dan baru-baru ni menerima Anugerah Duta Muhibbah Palestine (Palestine Goodwill Ambassador).

Misi Kemanusiaan Terkini Di Gaza

Baru-baru ini pada bulan Mei tahun 2021, dengan kerjasama Palestine Red Crescent Society (Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin), Egyptian Red Crescent Society (Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir), dan juga Wisma Putra, Ebit Lew telah berangkat ke Gaza, Palestin dengan pasukannya dalam satu usaha bantuan kemanusiaan untuk mangsa keadaan akibat penjajahan dan penindihan oleh Israel dengan serangan udara Zionis ke atas muka bumi Gaza.

Sumber: Facebook Ebit Lew

Sebelum mendapat kebenaran memasuki Gaza untuk menyampaikan sumbangan, Ebit Lew bersama pasukannya tersadai di Kaherah untuk beberapa minggu.

Di situ, rombongan Ebit Lew membeli barangan keperluan asas serta ubat-ubatan yang dibawa menggunakan dua treler dan beberapa lori untuk dihantar terus ke hospital di Gaza pada hari terbabit.

Kebanyakan ubat-ubatan tersebut tidak boleh didapati di Gaza, jadi pasukan Ebit Lew mendapatkannya dari Kaherah.

Ubat-ubatan tersebut di hantar ke tiga hospital di Gaza, iaitu Hospital AsSyifa, Hospital Al-Quds, dan Hospital A’mal yang dikendalikan oleh Palestine Red Crescent Society.

Sumber: Facebook Ebit Lew

Ketika berada di sana, dikatakan beliau menegas rombongannya untuk tidak memuat naikkan apa-apa gambar dan video atau membuat siaran ‘live‘ dari laman media sosial seperti Facebook dan Instagram ketika membuat misi bantuan.

Hal ini kerana beliau khuatir jika ada apa-apa perkara buruk yang terjadi ketika membuat siaran yang boleh diputarbelitkan oleh media atau mana-mana pihak.

Tambahan pula menurutnya, itu adalah kawasan perang dan bukan tempat bersiar-siar, jadi beliau mahu cepat-cepat selesaikan misi bantuannya.

Walau bagaimanapun, banyak pihak kemudian tertanya-tanya mengenai status keadaannya dan juga perkembangan misi bantuan kemanusiaan itu, jadi akhirnya Ebit Lew memuat naikkan gambarnya untuk meredakan kebimbangan ramai.

Semasa di sana, Ebit Lew berjaya memulakan ‘Soup Kitchen‘ di mana mereka masak dan memberi makanan percuma kepada 200 orang sehari.

Soup Kitchen‘ ini masih diteruskan walaupun Ebit Lew dan pasukan telah pulang dan mereka akan terus menyalurkan sumbangan atau bayaran secara bulanan kepada tukang masak di situ.

Sumber: Facebook Ebit Lew

Beliau dan rombongan selamat kembali ke tanah air Malaysia pada awal Julai 2021.

Meskipun ada sesetengah pihak dan individu yang meragui atau kurang senang dengan cara Ebit Lew, insan yang terkenal dengan penampilan berjanggut, berkopiah, dan berkurta ini bagaimanapun tidak pernah kenal erti berputus asa.

Malah, beliau terus giat menjalankan aktiviti kebajikannya dengan menyantuni masyarakat fakir miskin, golongan terpinggir, remaja, dan golongan LGBTQ+ bagi memastikan nasib golongan yang kurang bernasib baik ini terbela dan terjaga.