Bulan Ramadhan yang mulia akhirnya menjelma lagi. Bulan ini merupakan bulan yang penuh barakah dan dinantikan oleh umat Islam seluruh dunia. Bagi ibu mengandung dan menyusu, tentu anda mempunyai sedikit keraguan dan dilema samada untuk berpuasa ataupun tidak dibulan Ramadhan ini. Sebenarnya, bolehkah ibu mengandung dan yang sedang menyusu berpuasa?
Wajib ke untuk ibu mengandung & menyusu berpuasa di bulan Ramadhan?
Untuk pengetahuan anda, sebenarnya TIDAK wajib untuk wanita mengandung dan menyusu berpuasa di bulan Ramadhan. Islam itu mudah. Dalam Islam, ada dinyatakan bahawa mereka yang mengandung dan menyusu dikecualikan daripada berpuasa di bulan Ramadhan.
Hal ini dikukuhkan oleh hadis Nabi SAW, sebagaimana disampaikan oleh Anas bin Malik al-Ka’bi. Rasulullah SAW pernah bersabda:
«اَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: اِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ وَضَعَ عَنِ الْمُسَافِرِ الصَوْمَ وَشَطْرَ الصَّلاَةِ وَعَنِ الْحاَمِلِ وَالْمُرْضِعِ الصَّوْمَ»
“Sesungguhnya Allah SWT telah memberikan keringanan bagi musafir dalam berpuasa dan sebahagian daripada solatnya (jamak dan qasar), dan keringanan bagi wanita hamil dan yang menyusu dalam berpuasa.” [HR al-Bukhari dan Muslim]
Kebanyakan sarjana Islam menasihatkan wanita yang mengandung dan menyusu untuk berbuka puasa (jika mereka berpuasa) apabila keadaan tidak mengizinkan. Para ibu boleh menggantikan puasa atau qadha puasa mereka diluar bulan Ramadhan, apabila tubuh mereka sudah bersedia.
Highlighted
Bagaimana jika anda masih ingin berpuasa?
Wanita mengandung yang ingin berpuasa digalakkan untuk mendapatkan nasihat dan berbincang dengan doktor peribadi anda dahulu. Banyak kajian mendapati bahawa berpuasa tidak akan membahayakan kandungan mahupun menjejaskan penghasilan susu ibu. Apa yang penting adalah ibu mengandung dan menyusu harus mengamalkan pemakanan yang seimbang dan sihat serta pengambilan air yang mengcukupi walaupun anda berpuasa.
Untuk ibu mengandung, pakar perbidanan biasanya tidak mengalakkan anda untuk berpuasa jika kandungan anda masih di trimester pertama dan juga pada trimester ketiga. Selain pemakanan yang seimbang, anda dinasihatkan juga untuk sering memantau kandungan anda dari semasa ke semasa.
Adalah lebih baik untuk para ibu mengetahui keadaan janin, sejarah kandungan dan kesihatan sebelum anda mengambil keputusan untuk berpuasa. Anda boleh mendapatkan nasihat daripada doktor antenatal, pakar perbidanan, ibu-ibu lain dalam keluarga anda mahupun rakan-rakan yang terdekat. Hal ini untuk mengelakkan daripada berlakunya perkara yang tidak diingini ke atas kandungan, mahupun kondisi badan anda.