Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Bacaan BSP (Blood Sugar Profile): Kepentingan, Prosedur, Dan Cara Untuk Menurunkan Bacaan BSP

Sumber: Freepik

Sewaktu mengandung, macam-macam perkara yang perlu bakal ibu pelajari dan ketahui.

Ini adalah untuk memastikan pengalaman mengandung berjalan dengan lancar dan tidak mengalami komplikasi yang sangat rumit.

Salah satu perkara yang ibu mengandung perlu ketahui ialah bacaan BSP, singkatan dalam bahasa Inggeris bagi blood sugar profile, iaitu profil gula dalam darah.

Kenapa Perlu Lakukan BSP Test?

BSP Test hanya perlu dilakukan bagi ibu mengandung yang telah menerima diagnosis diabetes gestasi atau ibu mengandung yang memang sudah mempunyai penyakit diabetes sebelum hamil—sama ada diabetes jenis satu atau dua.

BSP Test boleh dilakukan di hospital, klinik kesihatan, atau pun di rumah sendiri dengan menggunakan kit ujian bersesuaian.

Ujian ini bertujuan untuk memantau tahap gula di dalam darah ibu mengandung agar ia berada pada paras yang optimum sepanjang hari.

Highlighted

Sumber: Hello Doktor

Ujian ini perlu dilakukan setiap dua minggu sekali selepas membuat ujian minum air gula dalam minggu ke-28, sehingga tiba waktu bersalin.

BSP Test sangat penting kerana tahap gula yang tidak terkawal boleh menyebabkan komplikasi kelahiran kepada si manja dan meningkatkan risiko ibu mengandung untuk menjalani pembedahan kecemasan Caesarean.

Bacaan BSP Normal Untuk Ibu Mengandung

Bacaan BSP yang normal untuk ibu mengandung bergantung kepada sama ada si ibu berpuasa atau selepas makan.

Menurut Garis Panduan Klinikal yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia:

  • Sebelum makan, bacaan BSP normal < 5.3 mmol/L
  • 1 jam selepas makan, bacaan BSP yang normal< 7.8 mmol/L
  • 2 jam selepas makan, bacaan BSP yang normal < 6.4 mmol/L
    * < = kurang daripada

Garis panduan di atas adalah saranan atau median purata sahaja, dan masih bergantung kepada keadaan unik setiap individu yang mengandung.

Pengawalan tahap gula dalam darah yang terlalu ketat pula boleh meningkatkan risiko ibu mengandung untuk mendapat hipoglisemia.

Ibu mengandung yang mempunyai bacaan BSP yang lebih tinggi dari normal perlu diberi khidmat nasihat pemakanan atau penukaran kaedah rawatan.

Sumber: Freepik

Prosedur Untuk Melakukan BSP Test

Apabila anda perlu membuat ujian BSP, ia perlu dilakukan sebanyak empat kali sehari, dalam jangka masa dua minggu sekali, sehinggalah anda bersalin.

Ujian darah ini hanya memerlukan setitik darah sahaja. Biasanya ia dilakukan pada pukul 8 pagi, 11 pagi, 3 petang, dan 8 malam.

Contohnya:

  1. Ibu mengandung perlu mula berpuasa dari malam sebelum membuat ujian darah pertama.
  2. Pagi keesokannya, dalam pukul 8 pagi, ujian BSP pertama dilakukan. Kemudian ibu mengandung bolehlah makan sedikit, tapi berhenti makan secepat mungkin.
  3. Ujian kedua akan dilakukan pula dalam pukul 11 pagi. Sama juga, ibu mengandung boleh sambung makan tetapi kena berjaga-jaga dengan pengambilan gula.
  4. Ujian ketiga dilakukan dalam pukul 3 petang, dan yang akhir sekali pukul 8 malam.
  5. Bacaan dari ujian darah tersebut akan dicatatkan dalam satu dokumen khas yang diberikan oleh Klinik Kesihatan.
Sumber: singgahdulula.bogspot.com

Kemudian anda bolehlah bawa keputusan ujian darah tersebut dan berjumpa dengan doktor.

Doktor akan menyarankan tindakan seterusnya bergantung kepada keputusan ujian BSP anda.

Walau bagaimanapun, ujian BSP tetap perlu dilakukan sehingga anda bersalin untuk tujuan pemantauan.

Cara Untuk Menurunkan Bacaan BSP

Seperti yang kita ketahui sekarang, jika ibu mengandung mempunyai diabetes gestasi atau ibu mengandung yang memang sudah mempunyai penyakit diabetes sebelum hamil, pemantauan perlu diteruskan walaupun bacaan BSP anda normal.

Bagi ibu mengandung yang mendapat bacaan tidak normal atau tinggi, beberapa perkara perlu dititikberatkan:

  • Mengurangkan pengambilan gula

Cara paling ketara untuk menurunkan bacaan BSP sudah tentu dengan mengurangkan pengambilan gula dalam pemakanan atau diet ibu mengandung seperti mengurangkan makan nasi, roti putih, dan buah-buahan yang tinggi kadar gulanya.

Sumber: Freepik
  • Rawatan farmakologikal

Cara lain untuk mengawal atau menurunkan kadar gula adalah dengan rawatan farmakologikal. Salah satunya ialah ‘metformin’ yang merupakan ubat yang berkesan untuk merawat diabetes gestasi.

Berbanding dengan ubat diabetes biasa, kajian menunjukkan metformin dapat mengurangkan risiko ibu mengandung untuk mendapat masalah bayi besar, pembedahan kecemasan Cesarean, kelahiran pramatang, hipoglisemia pada bayi, dan memudahkan pengawalan berat badan.

  • Rawatan insulin

Insulin juga sesuai untuk dijadikan rawatan utama, terutamanya jika bacaan BSP yang normal untuk ibu mengandung masih tidak tercapai walaupun telah dipreskripsikan kawalan pemakanan, senaman, dan rawatan metformin.

Insulin juga boleh diberikan kepada ibu mengandung yang tidak boleh mengambil metformin disebabkan oleh alahan, kontraindikasi, atau jika anda sendiri tidak mahu mengambilnya.

Sumber: Getty Images

Oleh itu, sepanjang tempoh kehamilan, pastikan ibu mengandung mengambil ujian saringan yang sepatutnya seperti BSP Test ini untuk mengetahui tahap kesihatan secara menyeluruh.

Kesihatan bayi dalam kandungan sama pentingnya dengan kesihatan ibu yang mengandung kerana kedua-duanya mempengaruhi satu sama lain.

Pastikan bakal ibu juga mengamalkan diet yang penuh khasiat dan nutrien penting dan amalkan senaman ringan secara konsisten.