Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Buaian Baby | Kebaikan, Risiko, Dan Tips Dalam Memilih Serta Cara Penggunaan Yang Betul

buaian bayi

Sumber: istockphoto

Penggunaan buaian baby masih menjadi perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat kita. Ada yang bersetuju dengan kebaikannya dan ada yang tidak kerana risaukan risiko penggunaannya.

Sebenarnya, jika kita faham konsep sebenar buaian baby, kita boleh manfaatkan kebaikannya dengan mengenali dan mengatasi risiko penggunaannya.

Kenapa Anda Perlu Menggunakan Buaian Baby?

Secara saintifik, rasa dibuai mirip dengan rasa sewaktu bayi masih berada di dalam rahim ibu.

Ketika si comel masih di dalam kandungan, mereka membesar dalam badan anda yang sentiasa bergerak.

Mereka melakukan semua aktiviti dalam keadaan yang tidak statik dan antaranya adalah tidur.

Oleh kerana sudah terbiasa dengan suasana sebegitu, kebanyakan bayi lebih suka didodoikan dengan buaian jika bukan di pangkuan anda selepas dia dilahirkan.

Namun usahlah risau ya. Seiring dengan usianya, si comel akan mula terbiasa dengan graviti dunia dan perlahan-lahan mampu untuk lena seperti orang dewasa.

Apakah Kebaikan Penggunaan Buaian Baby?

Highlighted

Sumber: istockphoto

Terdapat banyak kebaikan apabila mendodoikan si comel menggunakan buaian ya.

Bukan sahaja untuk si comel, tetapi ia juga bermanfaat untuk ibu bapa. Antaranya adalah:

1. Menenangkan bayi

Menurut Annabeth Leow, pergerakan yang dihasilkan oleh buaian mampu menenangkan si manja.

Terutama pada beberapa bulan selepas kelahirannya, si manja akan mengalami kesukaran kerana masih dalam fasa untuk membiasakan dirinya dengan dunia baru.

Sepanjang tempoh itu, penggunaan buaian dapat membantu menenangkan dan memberikan waktu tidur yang lebih berkualiti untuk mereka.

Mereka akan lebih senang untuk terlena dan waktu tidurnya juga lebih lama.

2. Melegakan kolik

Biasalah kan kalau bayi mengalami ketidakselesaan pada perut. Tetapi apabila mereka tidak boleh tidur, mula meragam dan menangis tanpa henti, anda mesti risau kan?

Haa…apa kata anda cuba dodoikan si comel menggunakan baby glider?

Menurut Ashley Wehrli, penggunaannya dapat membantu melegakan simptom kolik kerana kedudukan badan bayi yang separa tegak dapat menahan asid refluks daripada naik ke atas.

3. Memudahkan urusan penjagaan bayi

Bayi memang suka didodoi dan dimanjakan semasa berada dalam pangkuan bukan?

Pada awalnya, memanglah kita teruja apabila mereka lena di dalam pangkuan kita.

Tetapi apabila bertambahnya kerja dan kesuntukan masa, kita akan mula berasa penat dan tak larat untuk mendukung mereka.

Dengan menggunakan buaian, masa dan tenaga anda akan lebih jimat.

Contohnya jika anda menggunakan buaian elektronik, ia dapat mendodoi si comel tanpa anda harus mengendalikannya secara terus.

Pada masa yang sama, anda dapat rehat dan melakukan kerja lain sambil mengawasi bayi anda. Mudah dan menyenangkan bukan?

Apakah Risiko Penggunaan Buaian Baby?

Sumber: istockphoto

Walaupun terdapat banyak kebaikan dalam penggunaan buaian, ramai ibu dan bapa yang masih memilih untuk tidak menggunakannya kerana risau akan bahaya dan risiko penggunaannya. Antaranya adalah:

1. Bayi tergelongsor keluar dan kain koyak

Jika anda menggunakan hammock swing, ada kemungkinan bayi anda akan tergelongsor atau terkeluar dari kain buaian itu.

Selain daripada itu, kain itu boleh terkoyak dan bayi mungkin tersepit atau terjatuh melalui celahan yang terkoyak tersebut.

2. Alat penyambung/besi penyokong buaian patah atau tercabut

Antara mimpi ngeri bagi ibu bapa adalah alat penyambung buaian tercabut atau patah. Seperti buaian besi, terdapat alat penyambung yang menyambung bahagian-bahagian buaian.

Pada bahagian-bahagian yang bersambung inilah sering timbul pelbagai masalah seperti spring putus dan besi penyokongnya patah.

3. “Shaken baby syndrome”

Menurut Manjit Kaur, ibu bapa tidak digalakkan untuk menggunakan buaian terutamanya buaian elektronik kerana ia boleh menyebabkan Shaken Baby Syndrome.

Dalam artikel yang ditulisnya, Dr Cheang Chee Keong iaitu Ketua dan Penasihat Bahagian Neurosurgery di Hospital Raja Permaisuri Bainun tegas dalam melarang penggunaan buaian untuk bayi.

Menurut beliau, kelajuan dan pergerakan buaian boleh menyebabkan kerosakan pada otak bayi dan penggunaan yang berterusan boleh merosakkan neuron. Agak berisiko bukan?

Cara Menggunakan Buaian Baby Dengan Selamat

Sumber: istockphoto

Walau bagaimanapun, tak salah untuk ibu bapa menggunakan buaian baby.

Jom kita cuba praktiskan beberapa cara dibawah untuk menggunakannya dengan lebih selamat:

1. Sentiasa pantau

Bagi buaian baby elektronik, anda hendaklah sentiasa memantau penggunaannya.

Badan bayi terutamanya di bahagian lehernya masih lembut dan kedudukan yang salah di dalam buaian boleh membahayakan nyawa mereka.

Jadi sentiasalah memantau penggunaan buaian walaupun si comel anda sudahpun lena ya?

2. Gunakan pada kelajuan yang sesuai

Anda tidak digalakkan untuk mengguna buaian pada kelajuan yang tinggi ya.

Si comel boleh terjatuh, tersalah kedudukan badan dan untuk jangka masa yang panjang, ia boleh menyebabkan kecederaan pada otaknya.

Dodoilah bayi pada kelajuan yang biasa dan selamat.

3. Gunakan untuk tempoh yang singkat

Penggunaan buaian secara berterusan boleh mengakibatkan kebergantungan kepadanya selain daripada boleh menyebabkan kerosakan pada neuron.

Sebaiknya, anda dodoilah si manja sehingga mereka selesa dan lena. Kemudian, perlahan-lahan berhenti.

Sebelum anda menggunakan buaian, cuba tidurkan si manja di atas tilam dan sekiranya ia tidak berjaya, bolehlah beralih kepada penggunaan buaian.

Namun jangan lupa untuk singkatkan tempoh penggunaannya.

4. Elakkan mengisi ruang buaian dengan permainan

Buaian yang diisi dengan permainan ataupun selimut tebal boleh melemaskan bayi tau.

Kadang-kadang, mereka berpusing atau kepala mereka bergerak akibat pergerakan buaian.

Apabila ruang di kiri dan kanan mereka sarat, mereka akan mengalami kesukaran untuk bernafas.

Jadi elakkan mengisi pelbagai jenis permainan atau bantal, terutamanya di atas bahagian badan mereka.

Tips Memilih Buaian Baby Yang Sesuai Dan Selamat

Sumber: istockphoto

Terdapat pelbagai jenis buaian baby di pasaran seperti baby hammock swing, baby glider, baby swing dan baby rocking cradle.

Sekiranya anda membuat keputusan untuk menggunakan buaian baby, anda boleh cuba tips ini semasa memilih buaian buat si manja.

1. Terjamin keselamatannya

Dalam memilih buaian, ia mestilah daripada pengeluar yang dipercayai. Buatlah kajian dan dapatkan nasihat dari mereka yang pakar tentang jenama dan teliti dalam aspek keselamatan pembuatan produknya.

Antara salah satu ciri yang harus dititikberatkan adalah material buaian yang kuat dan kukuh untuk menampung si manja anda.

2. Kesesuaian dengan bayi

Sebagai contoh, berat dan saiz badan bayi boleh mempengaruhi keselesaannya semasa berada di dalam buaian.

Bayi yang lebih berat mungkin sesuai dengan buaian besi yang mempunyai penyokong di kiri dan kanan berbanding dengan satu penyokong besi sahaja.

Kesemua bayi mempunyai keperluan yang berbeza tau. Sebaiknya, dapatkanlah nasihat daripada doktor bayi anda untuk mengetahui ciri-ciri buaian yang sesuai untuk si comel anda ya?

Sumber: istockphoto

Sememangnya mendodoikan bayi di atas katil atau baby cot adalah lebih selamat berbanding dengan menggunakan buaian.

Namun penggunaan buaian boleh memberikan banyak manfaat lain kepada anda dan si comel.

Gunakanlah buaian baby dengan berjaga-jaga supaya anda dan bayi mendapat kebaikan daripada penggunaannya bersama.