Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Budak 9 Tahun Maut Kemalangan Jet Ski di Batu Ferringhi, Pulau Pinang

kemalangan jet ski

Sedih rasa hati membaca kisah malang sebuah keluarga yang sedang bercuti di Batu Ferringhi, Pulau Pinang. Sedang ada yang bergembira menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri pada minggu lalu, sebuah keluarga terpaksa menerima berita kemalangan maut yang melibatkan anak mereka.

Jordan Phang Wen Jie, 9 maut ketika bermain jet ski bersama ahli keluarganya pada petang 12 Jun yang lalu.

Kemalangan Jet Ski: Bertembung dengan Jet Ski dipandu Ibu sendiri

Menurut laporan media Utusan, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, kemalangan maut yang melibatkan dua buah jet ski itu berlaku di pantai belakang sebuah hotel lima bintang.

“Maklumat awal mendapati, keluarga mangsa menyewa dua buah jet ski yang mana, satu dipandu ibu mangsa berseorangan manakala satu lagi, dinaiki mangsa yang dipandu oleh budak pantai. Kesemua mereka memakai jaket keselamatan ketika kejadian.”

Jet Ski Mangsa Hilang Kawalan akibat Angin Kencang

Highlighted


“Bagaimanapun, jet ski yang dibonceng mangsa hilang kawalan selepas ditiup angin kencang lalu meluncur laju melanggar dan bergesel dengan jet ski yang dipandu oleh ibu mangsa. Ia menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam laut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mangsa kemudiannya terus dibawa ke kawasan tepi hotel tersebut untuk diberi rawatan kecemasan.

Bagaimanapun, pasukan paramedik yang tiba di tempat kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

Kecederaan teruk di kepala dan Tulang Belakang

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat. Kematian mangsa dipercayai akibat daripada kecederaan teruk pada otak dan saraf tunjang pada tulang belakang, disebabkan kesan hentakan benda tumpul.

Kemalangan maut pertama membabitkan Syarikat Jet Ski Berkenaan

Wakil syarikat jet ski berkenaan berkata, kejadian tersebut merupakan tragedi pertama berakhir dengan kematian yang membabitkan syarikat mereka. Syarikat tersebut telah ditubuhkan sejak 10 tahun lalu dan beroperasi secara sah serta berdaftar dengan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Operasi syarikat jet ski digantung serta-merta

Sumber: Google

Syarikat jet ski yang dinaiki mangsa digantung operasi serta-merta. Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Yew Tung Seang berkata, sebuah jawatankuasa siasatan khas telah ditubuhkan dan mereka mencapai kata sepakat untuk menggantung operasi syarikat berkenaan sehingga siasatan selesai.

Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa. Semoga kejadian seperti ini tidak berulang lagi dan dijadikan peringatan untuk kita semua agar sentiasa berhati-hati.

Untuk dapatkan barangan bayi murah, KLIK SINI!