Ibu, Bayi & Kanak Kanak

10 Perkara Yang Wajib Diketahui Sebelum Memilih Bumbung Rumah

bumbung rumah

Kredit gambar: www.homestratosphere.com

Bumbung rumah biasanya akan dipasang oleh kontraktor atau tukang rumah ketika dalam proses terakhir pembinaan rumah anda sedang dijalankan.

Sebelum melakukannya, kontraktor akan membuat semakan terakhir dengan tuan rumah mengenai jenis bumbung yang akan dipasang adakah tetap dengan pilihan tersebut atau ingin menukarnya dengan bahan dan reka bentuk yang lain.

Selalunya, pemasangan bumbung akan mengambil kira pelbagai faktor seperti ukuran saiz panjang dan lebar, jenis bahan serta pelbagai lagi faktor-faktor yang lain.

Bagi Mommy dan Daddy yang sedang membina rumah sendiri atau ingin menukar bumbung rumah yang lama, anda perlu mengetahui beberapa perkara penting sebelum membuat keputusan untuk membelinya.

Jadi, untuk memastikan Mommy dan Daddy dapat membuat pilihan yang lebih bijak, kami kongsikan beberapa panduan sebelum membeli bumbung yang boleh anda ikuti. Jom lihat!

Bumbung Rumah: Faktor Yang Perlu Diambil Kira Sebelum Membeli Dan Memasang

Highlighted

Kredit gambar: www.build-review.com

Berikut merupakan beberapa faktor yang memerlukan penelitian khusus sebelum pembelian atap atau bumbung kediaman dilakukan iaitu:

#1. Gaya Dan Reka Bentuk Rumah

Tetapkan terlebih dahulu reka bentuk dan gaya yang ingin anda sampaikan dalam kediaman anda samada ia gaya kontemporari, scandanivian, moden, minimalis atau lebih kedesaan.

Oleh itu, Mommy dan Daddy perlu tahu apa yang diinginkan agar gaya dan reka bentuk kediaman adalah seiring.

#2. Jangka Hayat

Seterusnya adalah jangka hayat bahan buatan bumbung atau atap tersebut. Kebiasaannya, untuk bahan seperti tanah liat atau konkrit ia mampu bertahan selama 50 hingga 100 tahun.

Manakala, untuk bumbung jenis logam pula, ia mempunyai daya ketahanan selama 50 tahun.

Jadi, kalau Mommy dan Daddy mahu rumah bertahan untuk tempoh yang lama perlulah bertanya dan ambil tahu jenis bahan yang digunakan dalam pembuatannya.

#3. Kos Bahan Dan Pemasangan

Selain itu, Mommy dan Daddy juga perlu mengira kos bahan dan pemasangan yang perlu dikeluarkan. Penting supaya anda tidak terlebih bajet atau tidak mempunyai kewangan yang mencukupi. Kebiasaannya, tuan rumah akan membeli barang tanpa membuat kaji selidik atau runding harga terlebih dahulu.

Berbeza dengan kontraktor yang berpengalaman di mana mereka lebih arif mengenai kos dan tempat manakah yang dapat memberi harga yang lebih baik. Jadi penyelesaian mudah, Mommy dan Daddy perlu bertanya kepada tukang atau kontraktor terlantik untuk mengetahui mengenai perkara tersebut.

#4. Jenis Bahan Bumbung Rumah

Kredit gambar: www.washingtonmetalroofing.com

Selain kos, Mommy dan Daddy juga perlu tahu mengenai jenis bahan yang digunakan untuk membuat atap. Antara bahan-bahannya adalah seperti asbestos, metal, zink, tanah liat dan lain-lain lagi.

Jika pilihan Mommy dan Daddy adalah atap jenis metal, anda perlu tahu bahawa ia adalah mahal setanding dengan kualitinya yang tahan lama dan kalis panas.

#5. Faktor Persekitaran

Faktor persekitaran juga turut memainkan peranan penting. Jika rumah anda berdekatan dengan pokok-pokok besar, anda boleh menggunakan bumbung biasa kerana ruang kediaman anda sudah pun sejuk dan kurang panas disebabkan kehadiran pokok-pokok ini.

Namun begitu, jika kawasan anda adalah di kawasan lapang tanpa ada sebarang pokok untuk meredupkan persekitaran, atap biasa atau jenis zink adalah sangat tidak digalakkan kerana ia akan menyebabkan rumah anda menjadi lebih panas.

#6. Kecekapan Tenaga

Setiap jenis bumbung mempunyai kualiti dan keistimewaan yang tersendiri. Pemilihan bumbung yang mempunyai ciri cekap tenaga memberi lebih keselesaan kepada anda.

Oleh itu, Mommy dan Daddy perlu pilih jenis bumbung di mana ia mempunyai penyerapan haba yang sangat efisien dalam membantu menjadikan kediaman lebih sejuk dan selesa.

#7. Faktor Keselamatan

Faktor keselamatan juga harus dititikberatkan. Terdapat sesetengah atap atau bumbung yang dibina dengan ciri-ciri khas seperti kalis api dan juga kebolehan dalam menghadapi rintangan angin.

Mommy dan Daddy boleh cuba memasang bumbung jenis ini jika faktor keselamatan adalah yang utama.

#8. Nilai Estetika Bumbung Rumah

Setiap barang mempunyai nilai estetika yang tersendiri dan begitu juga dengan bumbung atau atap rumah di mana ia didatangkan dengan pelbagai gaya, reka bentuk, jenis, tekstur dan warna.

#9. Kos Penyelenggaraan Bumbung Rumah

Kredit gambar: www.myroofrepairmalaysia.com

Setiap benda memerlukan penyelenggaraan yang rapi dan teliti agar ia kekal bertahan dan boleh digunakan untuk tempoh yang lama. Begitu juga dengan atap rumah ini, anda perlu mengeluarkan kos penyelenggaraan untuk membaik pulih bumbung yang rosak atau memastikan ia sentiasa dijaga dengan baik untuk menghindarkannya dari rosak dengan cepat.

Jumlah kos penyelenggaraan pula bergantung kepada jenis bumbung yang Mommy dan Daddy guna, lagi mahal dan berkualiti lagi tinggi kos yang diperlukan.

#10. Kontraktor

Sekiranya Mommy dan Daddy memerlukan tukang atau kontraktor untuk memasang bumbung, sangat penting untuk memilih kontraktor yang berdaftar dan boleh dipercayai.

Awas! Jangan mudah tertipu jika mereka menawarkan harga upah yang murah dan tidak logik!

Semoga dengan perkongsian ini, Mommy dan Daddy lebih peka mengenai cara pemilihan bumbung untuk kediaman idaman anda. Semoga membantu!


Jom lihat juga panduan atau idea dekorasi menarik yang lain di SINI!