Bunga ros adalah sejenis bunga yang amat popular kerana bentuknya amat cantik dan baunya pula amat harum. Bunga ini semestinya menjadi pilihan utama sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan, hari graduasi, dan macam-macam lagi, betul tak?
Juga dipanggil bunga mawar, ia juga sering menjadi simbolik dalam sesuatu perkara, seperti jumlah kuntum bunga menjadi simbolik jumlah tahun perkahwinan, atau pun warna bunga ros berlainan mempunyai maknanya tersendiri jika diberi sebagai hadiah.
Highlighted
Kalau Mommy jenis suka berkebun atau mengumpul tumbuh-tumbuhan, pernah tak terfikir untuk menanam bunga ros?
Dengan keindahannya, bunga mawar datang dengan harga yang tinggi! Bukan sahaja dari nilai wang ringgit, tetapi ia tidak senang untuk dijaga, ye!
Bunga mawar memerlukan keadaan yang sangat khusus untuk nampak dan kekal cantik pada tahap yang terbaik. Perubahan dalam satu faktor sahaja sudah cukup untuk menjadikan tumbuhan ini layu.
Jadi ia tidak disyorkan untuk yang baru-baru berjinak dalam dunia berkebun.
Petua Menanam Dan Menjaga Bunga Ros
Selalunya pokok bunga mawar yang dibeli dari kedai bunga atau ‘nursery‘ tentu nampak cantik dan bunganya pun mekar.
Ini adalah kerana kebanyakan pokok bunga mawar yang dijual di nursery terdekat itu sebenarnya datang dari Cameron Highlands, di mana suhunya lebih rendah.
Pokok bunga itu tentu selalunya akan mati kerana penjaganya tidak menyesuaikan pokok bunga ros tersebut dengan iklim tanah rendah.
Jika Mommy ingin menanam bunga ros di taman rumah, Mommy boleh ikuti tips dan petua berikut:
Tips Menjaga Pokok Bunga Ros Sesuai Dengan Iklim di Malaysia
1. Letak Bunga Ros Dibawah Teduhan
Bunga mawar memerlukan cahaya matahari yang penuh, tetapi pada awalnya jangan terus letak dibawah panas terik matahari tau Mommy!
Seeloknya, bersama dengan polybag pokok tersebut, letakkan bunga tersebut di tempat yang teduh dan redup selama seminggu.
Ini adalah supaya pokok bunga ros Mommy tidak ‘terkejut’ dengan cahaya matahari yang terik dan suhu yang tinggi, berbanding dengan cuaca di Cameron Highland.
Kalau pokok bunga mawar yang dibeli tidak datang dari Cameron Highland pun, masih dinasihatkan untuk menempatkannya di tempat yang teduh dahulu sebelum memberinya cahaya matahari penuh secara perlahan-lahan.
2. Tukar Medium Tanah Yang Sesuai
Selepas pokok bunga ros Mommy telah disesuaikan dengan keadaan cuaca baru, Mommy boleh mengeluarkannya dari bungkusan polybag dan memasukkannya ke dalam pasu.
Buangkan hampir semua tanah lama yang digunakan, dan sediakan pasu baru dengan medium tanah yang lebih sesuai.
Mommy perlu menggunakan medium tanah yang gembur, dan ia selalunya dinamakan ‘well-draining‘ jika Mommy membeli medium tanah yang siap sedia.
Selain itu, gunakan pasu yang lebih besar daripada pasu atau polybag asal pokok bunga mawar yang dibeli.
3. Siram Pokok Bunga Ros Dengan Kerap
Untuk membantu pokok bunga mawar tetap dalam keadaan baik, sebaik sahaja ia dipindahkan ke dalam pasu baru, siram pokok bunga itu secara menyeluruh.
Pokok bunga ros perlu disiram setiap hari, dan waktu terbaik adalah pada awal pagi atau lewat petang.
Ketika musim panas terik tanpa hujan, Mommy boleh merendam pasu pokok bunga ros itu dalam besen yang diisi dengan air secara penuh, sekurang-kurangnya sekali seminggu.
Semasa menyiram, Mommy boleh juga semburkan bahagian bawah daun dengan air sahaja ataupun penyembur kawalan seranggan untuk menghalang serangga dan pepijat.
4. Gunakan Baja Organik Selepas Beberapa Minggu
Baja organik amat penting untuk pertumbuhan pokok bunga mawar yang sihat dan mekar. Walau bagaimanapun, sejurus sahaja Mommy mendapat bunga ros, jangan letakkan baja dahulu!
Meletakkan baja terlalu cepat boleh menyebabkan daun baru dan pucuk terbakar. Tambahan pula, penjual bunga selalu akan meletakkan baja dahulu sebelum pokok bunga dijual, jadi baja tersebut boleh bertahan beberapa minggu.
Seeloknya, gunakan baja organik dalam tiga minggu selepas Mommy mendapat pokok bunga itu.
Terdapat banyak baja bunga mawar yang boleh didapati tetapi baja organik akan memberikan nutrien bukan sahaja untuk tumbuhan tetapi juga akan memperkayakan tanahnya.
Mommy boleh memilih baja yang jenamanya berkualiti tinggi dengan ratio NPK (Nitrogen-Phosphorus-Potassium) yang seimbang.
Baja cecair adalah lebih baik daripada jenis bijian atau berbutir kerana kebanyakan pokok ros sukar untuk memprosesnya, terutamanya semasa peringkat awal pertumbuhan.
5. Pemangkasan Bunga Ros (Pruning)
Bunga mawar memerlukan pemangkasan ringan selepas ia mula mekar supaya ia dapat menghasilkan beberapa bunga bertangkai pendek.
Lebih banyak pokok bunga ros dipangkas, ia boleh menjadi lebih lebat. Tetapi kalau tidak dipangkas dengan banyak, pokok itu akan memberikan bunga yang lebih sedikit tetapi bunganya akan lebih besar.
Pemangkasan amat diperlukan ketika menjaga bunga mawar kerana ia akan membuang batang yang berpenyakit dan yang sudah mati. Ia juga boleh mengurangkan saiz keseluruhan tumbuhan.
6. Gunakan Sungkup (Mulch)
Penggunaan sungkup, atau lebih biasa dipanggil ‘mulch‘, amat berfaedah dalam penjagaan bunga mawar. Mulch ialah bahan-bahan seperti daun, kulit kayu, atau kompos yang mereput yang disebarkan di sekeliling atau di atas tumbuhan.
Tujuannya adalah untuk memperkayakan medium atau mengawal medium tanah, dan juga membantu mengurangkan penyakit pada daun dan tumbuhan dengan mengurangkan jumlah air yang terpercik ke daun.
Hal itu boleh menyebabkan penyebaran penyakit kulat pada dedaun bunga ros.
7. Awasi dan Berikan Perhatian Kepada Pokok Bunga Ros Mommy
Pokok bunga ros memang manja, ye! Jadi Mommy perlu berikan perhatian yang kebih kepadanya. Dalam menjaga pokok bunga ros harian, Mommy juga perlulah membelek-belek pokok tersebut dan perhatikan jika ia sedang diserang kulat.
Apa yang perlu dicari ialah tompok hitam dan cendawan kecil yang jika tidak dibuang, boleh merebak dan daun-daun berguguran.
Serangan kulat seperti ini juga akan melemahkan pokok, dan akhirnya menyebabkan ia tidak cukup kuat untuk menghasilkan bunga mawar yang lebat dan mekar.
Jenis-jenis Pokok Bunga Mawar Yang Popular dan Senang Untuk Dijaga
Walaupun tiada pokok bunga ros yang betul-betul senang untuk dijaga di Malaysia, terdapat beberapa jenis yang popular untuk ditanam di kebun rumah Mommy.
Antaranya termasuklah jenis hybrid tea, floribunda, grandiflora, climber, ground cover, polyantha, English rose, dan juga miniature.
Bagi setiap jenis itu pula, terdapat pelbagai cabang jenis-jenis lain yang telah dihasilkan. Antara yang menjadi pilihan ramai adalah seperti:
- cabaret (hybrid tea)
- Our lady of Guadalupe (floribunda)
- Purple passion (grandiflora)
Jika Mommy ingin cuba menjaga pokok bunga mawar, lebih elok jika Mommy pergi ke kedai pokok bunga fizikal dan minta nasihat penjual, kerana mereka lebih tahu tentang asal-usul pokok bunga yang dijual.
Semoga artikel ini bermanfaat dan dapat membantu Mommy dalam mendapatkan pokok bunga ros yang meriah dan mekar di halaman rumah Mommy!
Dapatkan e-baucar istimewa apabila Mommy mengundi jenama barangan bayi dan keperluan ibu hamil kegemaran Mommy di Motherhood Choice Awards 2022 hari ini!