Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Cacar Air Bayi Atau Chicken Pox – Ketahui Punca, Simptom, Rawatan Serta Cara Pencegahannya

cacar air bayi

Kredit gambar: draxe.com

Kadang-kadang, Mommy mesti selalu keliru dan menganggap bintik-bintik merah yang tumbuh di tubuh bayi itu hanyalah ruam biasa dan langsung tidak menyangka yang ia adalah cacar air bayi!

Kesannya, ruam tersebut mula menjadi semakin serius disebabkan tidak dicegah penularannya!

Jadi, untuk memastikan Mommy semua lebih peka mengenai kesihatan si manja tersayang, melalui perkongsian kali ini Motherhood ingin kongsikan kepada Mommy semua mengenai cacar air atau chicken pox ini dengan lebih terperinci.

Hal ini adalah supaya, Mommy dapat lakukan pencegahan dari awal dan tidak akan tersalah lagi dalam mengenalpasti apakah jenis ruam yang tumbuh di tubuh si manja Mommy.

Jom ketahui dengan lebih lanjut kupasan mengenainya melalui perkongsian di bawah ini.

Apa Itu Cacar Air Bayi?

Highlighted

Kredit gambar: health.insuresavvy.com.my

Cacar air atau dalam dunia perubatan ia dikenali sebagai Chicken pox atau Varicella merupakan penyakit virus yang ringan. Ia sering kali terjadi pada kanak-kanak dan bayi di mana menyebabkan tubuh mereka mengalami ruam gatal, kemerahan dan melepuh.

Ia juga berkait rapat dengan masalah penyakit lain iaitu kayap di mana kedua-duanya adalah disebabkan oleh virus yang dikenali sebagai Varicella Zoster.

Walaupun ia sering terjadi pada kanak-kanak, tetapi mereka akan pulih dengan cepat dari penyakit virus ringan ini.

Cacar air ini dapat merebak melalui ruang udara iaitu apabila seseorang yang telah menghidapnya batuk dan bersin.

Selain batuk dan bersin, penyakit ini juga dapat merebak dengan pantas melalui sentuhan serta saluran pernafasan yang telah dimasuki oleh “Partikel virus” daripada cecair yang keluar daripada ruam lepuh (Blister).

Luluh hati seorang mak bila melihat anak-anak dijangkiti penyakit ini seperti yang dikongsikan seorang ibuencer, Putri Ereka tahun lalu.

Gejala Atau Simptom Cacar Air Bayi

Macam mana Mommy nak tahu si manja tersayang sedang menghidap cacar air atau penyakit kulit yang lain?

Caranya adalah dengan mengenalpasti gejala-gejala seperti di bawah iaitu:

  • Demam, rasa tidak sihat 5 hari sebelum ruam merah mulai tumbuh di badan
  • Pening kepala
  • Keletihan atau kelesuan
  • Nafsu makan berkurang
  • Ruam iaitu bintik-bintik merah yang kecil dan gatal pada tubuh termasuk mulut
  • Bintik-bintik merah yang berair atau lepuh air, pecah serta berkeruping
  • Ketidakselesaan pada tekak
  • Sakit perut sebelum ruam timbul
  • Ruam akan mula timbul pada bahagian perut, belakang badan serta muka sebelum merebak ke bahagian tubuh lain seperti kepala, mulut, kaki serta bahagian sulit
  • Ruam akan mula kelihatan seperti melepuh atau berair dalam tempoh 24 jam. Selepas itu ia akan pecah, kering dan terus menjadi keruping lebih kurang 4 hingga 5 hari
  • Bayi atau kanak-kanak yang mempunyai sistem imun tubuh yang rendah atau penyakit kulit seperti penyakit ekzema akan menyebabkan ruam merebak dengan banyak serta bertambah teruk

Kebiasaannya, bayi anda akan mula mengalami gejala-gejala di atas selepas 10 hingga 21 hari terdedah kepada penyakit cacar air ini.

Sebelum ruam mulai tumbuh, risiko ia untuk berjangkit kepada orang lain pula adalah selama 1 hingga 2 hari.

Punca Cacar Air Bayi

Kredit gambar: www.farmaku.com

Terdapat beberapa punca yang menjadi penyebab kepada keadaan kesihatan ini berlaku kepada bayi dan di antara punca-puncanya adalah seperti berikut:

#1. Jangkitan Melalui Kontak Rapat

Kebiasaannya, cacar air ini boleh berjangkit disebabkan oleh kontak rapat dengan orang yang telah pun dijangkiti dengan virus Varicella-zoster iaitu dengan melalui air liur dan sentuhan dengan cecair cacar air.

Apabila bayi mempunyai kontak secara langsung dengan individu terbabit, virus tersebut akan mula merebak dan menjangkiti bayi apabila imun tubuh mereka mulai lemah. Ia adalah kerana bayi baharu pertama kali terdedah dengannya serta masih lagi belum mendapat vaksin cacar air.

#2. Jangkitan Semasa Hamil

Selain itu, cacar air juga boleh berjangkit di saat anda sedang berada dalam fasa kehamilan lagi. Sekiranya semasa hamil, anda mendapat cacar air ketika usia kehamilan 36 minggu, bayi anda yang baharu lahir turut terdedah kepada jangkitan tersebut.

#3. Jangkitan Melalui Udara

Malah, jangkitan juga boleh berlaku melalui ruang udara apabila individu yang dijangkiti virus ini bersin atau batuk berhampiran dengan si manja anda,

Rawatan Dan Cara Pencegahan Cacar Air Bayi

Kredit gambar: www.klikdokter.com

Bagi memulihkan kembali keadaan kesihatan bayi disebabkan cacar air ini, Mommy perlu pastikan bayi mendapat banyak rehat dan kekal terhidrat. Apa yang pastinya, cacar air ini akan mula hilang dengan sendirinya dalam tempoh seminggu atau dua minggu.

Antara cara untuk membantu bayi daripada mengalami kegatalan, Mommy boleh lakukan beberapa perkara di bawah:

  • Tekan kain lap yang sejuk dan lembap pada ruam.
  • Pastikan bayi duduk di tempat yang keadaannya adalah sejuk dan tidak panas.
  • Mommy perlu elakkan bayi daripada menggaru ruam-ruam yang tumbuh di badan. Sekiranya kuku bayi panjang, Mommy perlu potong kuku sehingga pendek untuk elakkannya dari menggaru.
  • Selepas mandi, Mommy sapu losyen yang mempunyai kandungan antihistamin pada ruam tersebut dan losyen ini boleh didapati di farmasi. Sekiranya, Mommy tidak pasti produk yang hendak digunakan, tanya pembekal penjagaan kesihatan atau ahli farmasi.
  • Bagi mengelakkan bayi dehidrasi, berikan bayi cecair secukupnya. Cecair sejuk dan diet lembut amat membantu terutama jika bayi anda mengalami luka di mulut.
  • Mommy perlu sentiasa pastikan kulit bayi dijaga dengan bersih iaitu memandikannya dengan air suam serta menggunakan sabun yang tidak menyebabkan kulit menjadi kering.
  • Pastikan juga bayi dipakaikan dengan pakaian yang nipis serta longgar.
  • Setelah selesai mandi, doktor menyarankan anda untuk menyapu bedak yang mengandungi calamine di kawasan ruam yang masih lagi belum pecah untuk meredakan rasa kegatalan. Tetapi sekiranya Mommy mendapati bahawa ruam tersebut telah pecah, elakkan menyapu bedak.

Komplikasi Cacar Air Pada Bayi

Komplikasi yang serius boleh terjadi kepada bayi yang dijangkiti dengan virus cacar air ini terutama kepada bayi baru lahir yang mempunyai sistem imun tubuh yang sangat lemah.

Namun demikian, penyakit cacar air ini sangat jarang berlaku kepada bayi kerana mereka mempunyai imuniti sementara yang diperoleh melalui ibu.

Dalam kes yang jarang berlaku, terdapat beberapa komplikasi kesihatan yang serius pada bayi seperti:

  • Berlaku masalah dehidrasi
  • Terdapat jangkitan bakteria pada kulit atau tisu lembut
  • Mempunyai parut kekal pada kulit seperti bintik-bintik calar
  • Masalah Pneumonia
  • Berlaku masalah keradangan otak atau ensefalitis
  • Berlaku masalah keradangan tisu di sekeliling otak dan tulang belakang atau meningitis
  • Keradangan di bahagian tubuh yang lain termasuk buah pinggang, pankreas, sendi, cerebellum (bahagian otak yang mengawal koordinasi/keseimbangan), testis, mata, apendiks
  • Sindrom Reye – Merupakan keadaan yang jarang berlaku di mana ia boleh membawa kepada kesan selepas yang serius seperti bengkak dan kerosakan otak. Walaupun punca sebenar sindrom Reye tidak dapat dipastikan, pakar percaya bahawa penggunaan aspirin untuk merawat jangkitan virus (seperti cacar air) telah dikaitkan dengan keadaan tersebut. Oleh itu, jika Mommy mendapati bayi sedang menghidap cacar air atau mana-mana jangkitan virus lain, elakkan dari memberi mereka aspirin.

Semoga dengan perkongsian ini, Mommy lebih faham dan jelas mengenai cacar air bayi ini dan semoga dengan maklumat yang kami sertakan ini juga ia dapat memberi manfaat yang berpanjangan kepada Mommy semua!


Dapatkan juga pelbagai lagi tips kesihatan menarik yang lain dengan klik di SINI.