Permainan merupakan antara alatan yang penting untuk tumbesaran kanak-kanak khususnya untuk merangsang otak mereka.
Ibu bapa lebih cenderung memilih alat mainan plastik untuk diberikan kepada golongan kanak-kanak, terutama bayi yang sedang dalam proses pertumbuhan gigi.
Menerusi perkongsian di Facebook, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengesahkan alatan mainan plastik sebenarnya mengandungi bahan kimia beracun iaitu parafin berklorin.
Bahan kimia tersebut adalah toksik yang digunakan dalam pembuatan pelbagai jenis plastik, termasuk dalam alatan mainan kanak-kanak yang boleh menyebabkan berlaku pelbagai masalah kesihatan.
CAP Sahkan Mainan Plastik di Pasaran Mengandungi Racun
Pegawai Penyelidik CAP, Hatijah Hashim berkata, menerusi kajian yang dijalankan dengan kerjasama International Pollutants Elimination Network (IPEN) mendapati alat permainan yang dibeli dari beberapa premis di Pulau Pinang juga mengandungi parafin berklorin rantai tinggi.
Menurutnya, terdapat 31 jenis alat mainan plastik yang dijadikan sampel bahan seperti kuda tiup, ayam menjerit, itik getah, anak patung dan beruang plastik.
“Hasil ujian kesemua mainan yang dikumpul itu mengandungi parafin berklorin rantai pendek (SCCP) dan tinggi (MCPP). SCCP diharamkan secara global manakala MCCP sedang dinilai bagi pengharaman global.
“Oleh itu, alatan mainan plastik yang digunakan oleh kanak-kanak, kebiasaannya dimasukkan ke dalam mulut atau sebagai bahan gigitan (teether) untuk bayi ketika proses tumbuh gigi adalah sangat toksik sehingga boleh diklasifikasikan sebagai sisa bahaya,” katanya.
Bahan kimia yang terdapat dalam alat mainan plastik itu berada pada tahap yang membimbangkan
Tambahan pula, kajian yang dijalankan oleh IPEN turut mendapati kepekatan parafin berklorin dalam alat permainan sangat tinggi dan amat membimbangkan.
Hasil uji kaji yang diterbitkan oleh IPEN pada Oktober lalu menyerlahkan keperluan mendesak untuk mengawal selia bahan kimia ini secara global dan merentasi kerja kawal selia.
“Tiada alat mainan yang diuji oleh IPEN dilabelkan bagi kehadiran bahan kimia toksik yang diperlukan bagi kepentingan pelabelan dan kebolehkesanan sepanjang kitaran hayat plastik,” katanya lagi
Oleh itu, CAP menuntut larangan bahan kimia terbabit dan pada masa yang sama mendesak kerajaan negara ini untuk meratifikasi Konvensyen Stockholm.
Bahaya Racun Parafin Berklorin
- kerosakan hati
- kerosakan buah pinggang
- menganggu sistem endokrin
- menyebabkan kanser
- merosakkan otak yang sedang berkembang
- menimbulkan ancaman kepada kesihatan reproduktif
Demi keselamatan dan kesihatan anak-anak, Mommy perlu lebih peka terhadap perkara ini dan elakkan pemberian alat mainan plastik pada kanak-kanak.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat dan pengetahuan baru untuk ibu bapa tentang bahaya alat mainan plastik beracun yang sering dimain oleh kanak-kanak tanpa disedari.
Dapatkan lebih banyak artikel yang menarik dengan isu semasa terkini di SINI.