Ibu, Bayi & Kanak Kanak

CAP Sahkan! Mainan Plastik Kanak-Kanak Mengandungi Racun, Gesa Ibu Bapa Untuk Elakkan Beri Pada Anak

Permainan merupakan antara alatan yang penting untuk tumbesaran kanak-kanak khususnya untuk merangsang otak mereka.

Ibu bapa lebih cenderung memilih alat mainan plastik untuk diberikan kepada golongan kanak-kanak, terutama bayi yang sedang dalam proses pertumbuhan gigi.

Menerusi perkongsian di Facebook, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengesahkan alatan mainan plastik sebenarnya mengandungi bahan kimia beracun iaitu parafin berklorin.

Bahan kimia tersebut adalah toksik yang digunakan dalam pembuatan pelbagai jenis plastik, termasuk dalam alatan mainan kanak-kanak yang boleh menyebabkan berlaku pelbagai masalah kesihatan.

CAP Sahkan Mainan Plastik di Pasaran Mengandungi Racun 

Highlighted

Kredit Gambar: Facebook@Bahagian Pendidikan CAP

Pegawai Penyelidik CAP, Hatijah Hashim berkata, menerusi kajian yang dijalankan dengan kerjasama International Pollutants Elimination Network (IPEN) mendapati alat permainan yang dibeli dari beberapa premis di Pulau Pinang juga mengandungi parafin berklorin rantai tinggi.

Menurutnya, terdapat 31 jenis alat mainan plastik yang dijadikan sampel bahan seperti kuda tiup, ayam menjerit, itik getah, anak patung dan beruang plastik.

“Hasil ujian kesemua mainan yang dikumpul itu mengandungi parafin berklorin rantai pendek (SCCP) dan tinggi (MCPP). SCCP diharamkan secara global manakala MCCP sedang dinilai bagi pengharaman global.

“Oleh itu, alatan mainan plastik yang digunakan oleh kanak-kanak, kebiasaannya dimasukkan ke dalam mulut atau sebagai bahan gigitan (teether) untuk bayi ketika proses tumbuh gigi adalah sangat toksik sehingga boleh diklasifikasikan sebagai sisa bahaya,” katanya.

Bahan kimia yang terdapat dalam alat mainan plastik itu berada pada tahap yang membimbangkan

Tambahan pula, kajian yang dijalankan oleh IPEN turut mendapati kepekatan parafin berklorin dalam alat permainan sangat tinggi dan amat membimbangkan.

Hasil uji kaji yang diterbitkan oleh IPEN pada Oktober lalu menyerlahkan keperluan mendesak untuk mengawal selia bahan kimia ini secara global dan merentasi kerja kawal selia.

“Tiada alat mainan yang diuji oleh IPEN dilabelkan bagi kehadiran bahan kimia toksik yang diperlukan bagi kepentingan pelabelan dan kebolehkesanan sepanjang kitaran hayat plastik,” katanya lagi

Oleh itu, CAP menuntut larangan bahan kimia terbabit dan pada masa yang sama mendesak kerajaan negara ini untuk meratifikasi Konvensyen Stockholm.

Bahaya Racun Parafin Berklorin

Parafin berklorin, dikelaskan berdasarkan panjang rantai karbon, merupakan bahan kimia yang sangat toksik yang digunakan di dalam pelbagai jenis plastik termasuk dalam alat mainan plastik kanak-kanak.
Bukti menunjukkan ia boleh menyebabkan kerosakan pada:
  • kerosakan hati
  • kerosakan buah pinggang
  • menganggu sistem endokrin
  • menyebabkan kanser
  • merosakkan otak yang sedang berkembang
  • menimbulkan ancaman kepada kesihatan reproduktif

Demi keselamatan dan kesihatan anak-anak, Mommy perlu lebih peka terhadap perkara ini dan elakkan pemberian alat mainan plastik pada kanak-kanak.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat dan pengetahuan baru untuk ibu bapa tentang bahaya alat mainan plastik beracun yang sering dimain oleh kanak-kanak tanpa disedari.


Dapatkan lebih banyak artikel yang menarik dengan isu semasa terkini di SINI.


Penafian: Maklumat yang dikongsikan dalam artikel ini adalah untuk tujuan perkongsian informasi dan pendidikan sahaja, dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Motherhood. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, adalah dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan yang berkelayakan.