Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Teknik Mengajar Anak Membaca: 7 Langkah Mudah Yang Boleh Di Cuba Di Rumah

Mama dan Papa tentu mahu anak-anak yang cerdik, bijak, dan lancar membaca bukan? Tetapi, tak semua tahu cara ajar anak membaca kerana karenah anak-anak yang pelbagai.

Kadang-kadang rasa macam susah betul nak mengajar anak-anak yang lebih gemar bermain sahaja, sampai Mama dan Papa akan hanya tunggu anak-anak masuk tadika untuk biarkan cikgu sahaja yang mengajar mereka.

Highlighted

Sumber: keluarga.my

Sebenarnya, terdapat banyak manfaat apabila Mama dan Papa mengajar anak-anak membaca dari sebelum menghantar mereka ke sekolah.

Mungkin ada banyak cabarannya mengajar anak-anak membaca di rumah, tapi semua cabaran itu boleh diatasi demi memberi peluang kepada anak-anak untuk meraih ilmu sejak kecil lagi.

Mengajar anak-anak kecil membaca boleh menjadi mudah jika kita tahu teknik yang sesuai dan sentiasa istiqamah.

Langkah pertama untuk belajar membaca bagi kanak-kanak sebenarnya ialah dengan belajar mendengar.

Jadi, dari rutin harian dan hasil berborak dengan anak-anak kecil saja, Mama dan Papa sebenarnya sudah melahirkan rasa minat untuk kanak-kanak kecil belajar membaca.

Dari situ lah anak-anak akan dapat membuat perhubungan antara pendengaran dan pembelajaran huruf-huruf abjad.

Walaupun begitu, belajar membaca bukanlah proses ‘semula jadi’ yang akan berlaku dengan sendiri.

Ia adalah perkara kompleks yang memerlukan pengajaran yang betul untuk membuat hubungan antara huruf dan bunyi tersebut.

Walaupun belajar membaca itu adalah proses yang kompleks, berita baiknya ialah langkah-langkah yang boleh diambil untuk mendidik anak dan membina kemahiran membaca tersebut adalah senang dan tidak begitu rumit.

Sumber: Photo by cottonbro from Pexels

Berikut merupakan cara ajar anak membaca yang Mama dan Papa boleh cuba di rumah.

Cara Ajar Anak Membaca Yang Boleh Dicuba Ibu Bapa

1. Membaca Buku Cerita Sebelum Tidur

Sumber: bambonature.co.id

Mama dan Papa sebenarnya boleh mula membaca buku kepada kanak-kanak sejak bayi lagi untuk memupuk minat membaca di masa hadapan.

Walaupun mereka tidak memahami aktiviti tersebut atau pun perkataan-perkataan yang disebut, bayi mampu membuat perhubungan membaca dan bercakap, dan kebanyakan bayi akan terpesona dengan mulut Mama dan Papa yang bergerak-gerak untuk mengeluarkan bunyi.

Dari situ lah mereka dapat mencetus kesedaran fonemik juga.

Jika Mama dan Papa tiada masa untuk membaca pada waktu siang, amalkan untuk membaca buku kepada bayi atau kanak-kanak sebelum tidur. Ia juga mungkin mampu menidurkan anak dengan segera!

2. Gunakan Lagu-Lagu dan Nursery Rhymes Untuk Membina Kesedaran Fonemik

Sumber: Adobe Stock

Kesedaran Fonemik (Phonemic Awareness) yang makin popular sekarang ialah salah satu kemahiran terpenting dalam belajar membaca.

Ini kerana kesedaran fonemik dapat membantu kanak-kanak memahami bahawa kata-kata atau huruf-huruf yang dilihat oleh mereja mengandungi grafik (unit tulisan terkecil) yang mewakili fonem (unit bunyi terkecil).

Lagu-lagu kanak-kanak atau pun nursery rhymes bukan sahaja menyeronokkan, tetapi irama lagu-lagu tersebut dapat membantu kanak-kanak untuk mendengar suku-kata lagu-lagu yang dinyanyikan dan dapat meningkatkan kesedaran fonemik.

Tambahan pula video-video nursery rhymes yang mempunyai lirik di bawahnya, memang tentu dapat menarik perhatian si kecil dan membantu mereka membuat perhubungan tersebut.

3. Gunakan ‘Flash Cards’ Ringkas

Flash cards ialah kad-kad yang mempunyai perkataan-perkataan atau huruf-huruf ringkas yang Mama dan Papa boleh tunjukkan kepada anak.

Sumber: blogspot.com

Ia boleh merangkumi suku-kata atau huruf abjad sahaja bagi kanak-kanak yang belum mengenali huruf ABC supaya mereka dapat mengenal huruf.

Mama dan Papa boleh menunjukkan kad-kad tersebut kepada anak-anak untuk mereka pilih, kemudian bacakan huruf, suku-kata, atau perkataan penuh tersebut bersama-sama sambil mengangkat jari bagi kad yang mempunyai beberapa suku-kata atau huruf.

Fokuskan pada bunyi huruf atau suku-kata tersebut. Mama dan Papa boleh buat flash card sendiri atau boleh dapatkannya di mana-mana kedai yang menjual barangan mainan dan pembelajaran kanak-kanak.

Sumber: int3tree.my

4. Menggunakan Magnet Huruf Abjad

Kebiasaannya, Mama dan Papa boleh dapatkan permainan magnet huruf abjad dari kedai pembelajaran kanak-kanak atau secara online.

Ada yang datang dengan papan magnet, dan ada juga yang dijual secara berasingan daripada papan magnet.

Biasanya, kanak-kanak suka bermain dengan magnet huruf di peti ais! Mama pun senanglah untuk buat kerja di dapur sementara anak belajar berdekatan.

Sumber: natgeofe.com

Walaupun begitu, belajar membaca masih perlukan active participation dari ibu bapa.

Mama boleh cuba melekatkan beberapa huruf di atas peti ais dan mengosongkan bahagian tengah untuk anak-anak mencuba mengisi dan mengeja perkataan tersebut.

5. Wujudkan Persekitaran Yang Kaya Dengan Perkataan

Memberi peluang kepada anak-anak untuk discover perkataan-perkataan yang mereka sudah mula kenal boleh membuak-buakkan minat mereka untuk mengetahui lebih banyak perkataan.

Contohnya, Mama dan Papa boleh labelkan bekas gula dan garam, atau bijirin sarapan kegemaran anak-anak, dan juga meletakkan bahan bacaan di atas coffee table yang mempunyai cetakan besar.

Melihat perkataan yang dicetak setiap hari membolehkan kanak-kanak melihat perkataan tersebut dan membuat hubungan antara bunyi dan simbol huruf.

Apabila berada di luar juga, Mama dan Papa boleh tunjukkan papan tanda semasa dalam kereta, dan bertanya pada anak, “Bunyi apakah huruf itu?” atau “Apa perkataan lain yang bermula dengan huruf itu?”.

Sumber: Google Image

6. Cipta Permainan Perkataan di Rumah dan atau di Dalam Kereta

Serupa seperti langkah di atas, Mama dan Papa boleh cipta permainan yang berunsurkan pembelajaran membaca atau mengenal huruf abjad.

Fokus pada permainan yang mendorong anak anda untuk mendengar, mengenal pasti, dan mencuba suara atau bunyi tersebut dalam perkataan.

Contohnya, jika perkataan ‘BAS’, Mama dan Papa boleh tanya, “Bunyi apakah yang dimulakan oleh perkataan itu?”, atau jika anak-anak belum mengenal pasti bunyinya, Mama dan Papa boleh memberitahu dahulu bunyi perkataan itu, atau pun objek itu (jika berada dalam kereta), bermula dengan “b-b-b”.

7. Manfaatkan Kegunaan Teknologi untuk Anak Belajar Membaca

Memang sudah menjadi perkara biasa bagi anak-anak untuk menggunakan teknologi seperti telefon bimbit, tablet, dan komputer kerana siapa yang boleh lari dari kegunaan teknologi tersebut, betul tak?

Walau bagaimanapun, untuk mengelakkan kealpaan ketika menggunakannya, Mama dan Papa boleh memuat turun macam-macam aplikasi yang percuma atau boleh dibeli untuk anak-anak menggunakannya untuk belajar mengenal huruf atau membaca.

Pasti anak-anak seronok belajar dengan cara itu dan akan lebih bermotivasi untuk meningkatkan pengetahuan mereka!

Sumber: Adobe Stock

Setiap kanak-kanak akan belajar mengikut kelajuan dan kemampuan mereka sendiri, jadi perkara yang paling penting buat ibu bapa ialah untuk menyenangkan pembelajaran anak-anak.

Kadang-kala pada mulanya anak-anak mungkin akan berasa teruja dan semangat untuk belajar, tapi ada kemungkinan mereka akan rasa terbeban dan mahu menyerah.

Sebagai ibu bapa, ini mungkin akan membuatkan anda rasa frust juga, tetapi ia adalah tugas ibu bapa juga untuk tidak menyerah kalah dan istiqamah dalam mendidik anak-anak.

Pastikan ibu bapa rajin untuk track progress anak-anak dalam pengetahuan membaca mereka.

Dengan mengajar dan membaca secara perlahan-lahan dan dengan disiplin, menggunakan aktiviti-aktiviti yang menarik, serta memberi peluang untuk anak-anak memilih buku cerita mereka sendiri sekali-sekala, inshaAllah Mama dan Papa akan berjaya menanam minat membaca sejak kecil lagi dan memberi peluang yang terbaik untuk anak-anak berjaya di masa hadapan.