Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Cara Azan Bayi Baru Lahir Mengikut Sunnah Nabi Yang Betul

cara azan bayi

Kredit gambar: www.momsindonesia.com

Sebagai orang Islam, kita percaya dan yakin bahawa untuk melindungi dan menyelamatkan bayi dari bisikan syaitan adalah dengan cara azan bayi sejurus mereka dilahirkan dan ia juga merupakan sunnah Nabi Muhammad S.A.W.

Terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dalam sunannya. ʻAsim bin Ubaidillah meriwayatkan daripada Ubaidillah bin Abu Rafiʻ, Ubaidillah bin Abu Rafi’ meriwayatkan daripada ayahnya (Abu Rafiʻ RA) bahawa beliau berkata:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ «أَذَّنَ فِي أُذُنِ الْحَسَنِ بْنِ عَلِيٍّ حِينَ وَلَدَتْهُ فَاطِمَةُ بِالصَّلَاةِ»

Maksudnya:

“Aku melihat Rasulullah S.A.W azan di telinga al-Hasan bin ‘Ali apabila beliau dilahirkan oleh Fatimah dengan azan solat.”

(Hadis Riwayat Abu Daud 5105)

Malah terdapat juga hadis yang menceritakan berkenaan gangguan syaitan pada saat bayi baru dilahirkan. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda:

كُلُّ بَنِي آدَمَ يَطْعُنُ الشَّيْطَانُ فِي جَنْبَيْهِ بِإِصْبَعِهِ حِينَ يُولَدُ، غَيْرَ عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ، ذَهَبَ يَطْعُنُ فَطَعَنَ فِي الحِجَابِ

Maksudnya:

“Setiap anak adam akan ditusuk dua rusuknya oleh jari syaitan saat dia dilahirkan kecuali Isa anak Maryam AS. Syaitan hendak menusuknya, namun dia menusuk di sebalik hijab.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari 3286)

Oleh itu, adalah sunnah dipercepatkan azan ke atas bayi yang baharu sahaja dilahirkan. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut bagaimanakah cara untuk azan bayi, ikuti perkongsian ini!

Cara Azan Bayi Yang Lengkap

Highlighted

Kredit gambar: zaujifijannah.blogspot.com

Langkah 1 Cara Azan Bayi: Menghadap Ke Arah Kiblat

  • Kiblat merupakan salah satu syarat penting untuk melaksanakan ibadah Islam ini. Oleh itu, semasa mengazankan bayi yang baharu lahir adalah menjadi sunnah Nabi Muhammad S.A.W untuk menukar arah kepala bayi ke arah kiblat untuk azan.
  • Mula-mula ambil bayi dan letak di pangkuan tangan anda.
  • Gunakan tangan anda memegang lehernya dengan sopan.
  • Jangan memegang terlalu kuat pada leher dikhuatiri boleh menyakiti bayi.
  • Mula menggerakkan lehernya ke arah kiblat .
  • Jangan tergesa-gesa untuk memusingkan lehernya.
  • Pastikan apabila dia menghadap kiblat, bayi anda mendapat keselesaan yang sewajarnya.

Langkah 2 Cara Azan Bayi: Memberi Azan Pada Telinga Kanan Terlebih Dahulu

Mulakan membaca azan untuk bayi baru lahir di telinga kanan, dan mengiqamahkannya di telinga kiri. Ucapan ‘hayya alas salaah’ perlu diucapkan di telinga kanan sama ada pada saat azan ataupun iqamah. Sementara ucapan ‘hayya alal falaah’ pula perlu diucapkan di telinga kiri ketika azan dan iqamah. Lazazkan dengan suara yang lembut.

Bacaan azan:

(٢x) اَللهُ اَكْبَرُ،اَللهُ اَكْبَرُ

Allahuakbar, Allahuakbar (dua kali).

Maksudnya: Allah Maha Besar, Allah Maha Besar.

(٢x) أَشْهَدُ اَنْ لاَ إِلٰهَ إِلَّااللهُ

Asyhadu allaa illaaha illallaah (dua kali).

Maksudnya: Aku menyaksikan bahawa tiada Tuhan selain Allah.

(٢x) اَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ

Asyhadu anna Muhammadar rasulullah (dua kali).

Maksudnya: Aku menyaksikan bahwa Nabi Muhammad itu adalah utusan Allah.

(٢x) حَيَّ عَلَى الصَّلاَةِ

Hayya ‘alashshalaah (dua kali).

Maksudnya: Marilah dirikan solat.

(٢x) حَيَّ عَلَى الْفَلاَحِ

Hayya ‘alalfalaah (dua kali).

Maksudnya: Marilah menuju kemenangan/kejayaan.

(١x) اَللهُ اَكْبَرُ ،اَللهُ اَكْبَرُ

Allahuakbar Allahuakbar (satu kali).

Maksudnya: Allah Maha Besar, Allah Maha Besar.

(١x) لَا إِلَهَ إِلَّااللهُ

Laa ilaaha illallaah (satu kali).

Maksudnya: Tiada Tuhan selain Allah.

Langkah 3 Cara Azan Bayi: Memberi Iqamah Pada Telinga Kiri

Setelah selesai membaca lafaz azan pada telinga kanan, anda perlu membaca Iqamah di telinga kiri bayi yang baru lahir pula

Bacaan Iqamah:

اَللهُ اَكْبَرُ،اَللهُ اَكْبَرُ

Allahuakbar, Allahuakbar.

Maksudnya: Allah Maha Besar, Allah Maha Besar.

أَشْهَدُ اَنْ لاَ إِلٰهَ إِلَّااللهُ

Asyhadu allaa illaaha illallaah.

Maksudnya: Aku menyaksikan bahwa tiada Tuhan selain Allah.

اَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ

Asyhadu anna Muhammadar rasuulullah.

Maksudnya: Aku menyaksikan bahwa Nabi Muhammad itu adalah utusan Allah.

حَيَّ عَلَى الصَّلاَةِ

Hayya ‘alashshalaah.

Maksudnya: Marilah dirikan salat.

حَيَّ عَلَى الْفَلاَحِ

Hayya ‘alalfalaah.

Maksudnya: Marilah menuju kemenangan/kejayaan.

اَللهُ اَكْبَرُ ،اَللهُ اَكْبَرُ

Allahuakbar Allahuakbar.

Maksudnya: Allah Maha Besar, Allah Maha Besar.

لَا إِلَهَ إِلَّااللهُ

Laa ilaaha illallaah.

Maksudnya: Tiada Tuhan selain Allah.

Semasa membaca Iqamah dan Azan, digalakkan menyentuh telinganya sedikit.

Apabila memberikan Azan dan Iqamah kepada bayi yang baru lahir, disarankan agar ayat-ayat suci ini dibaca oleh bapa kepada bayi tersebut.

Tetapi sekiranya bapa kepada bayi itu telah meninggal dunia atau dia tidak ada di rumah, maka saudara lelaki yang terdekat kepada bayi yang baru lahir boleh membacakan kalimat yang suci ini.

Namun, jika masih tiada lelaki di dalam rumah, mana-mana ulama Islam atau Muadzin atau Imam masjid boleh membaca Azan dan Iqamah.

Cara Mendidik Anak Dengan Betul

Kredit gambar: www.harapanrakyat.com

Berikut merupakan beberapa panduan dalam mendidik anak untuk dijadikan rujukan oleh Mommy dan Daddy atau penjaga.

#1. Memberikan Didikan Agama Yang Lengkap

Pendedahan yang lengkap terhadap agama adalah sangat penting dalam membentuk sahsiah diri anak-anak. Mommy boleh mula mengajar anak-anak cara solat dan beberapa surah atau doa yang mudah untuk dibaca dan dihafal oleh mereka.

#2. Berikan Perhatian Dan Kasih Sayang

Sentiasa memberi pelukan dan ciuman mesra pada setiap masa untuk menunjukkan rasa kasih sayang Mommy dan Daddy kepada mereka. Mommy boleh memberi kata pujian untuk segala yang mereka usaha lakukan.

#3. Menjadi Kawan Serta Pendengar Yang Baik

Kanak-kanak gemar bercerita dan suka bertanya banyak benda. Oleh itu, gunakan peluang ini untuk menjadi kawan serta pendengar yang setia sambil memberi kata nasihat dan membetulkan apa yang salah dengan cara penuh hikmah.

#4. Tunjukkan Contoh Teladan

Sentiasa tunjukkan sikap yang baik dan elakkan menggunakan kata-kata kesat. Anak-anak cenderung untuk meniru dan menggayakan segala tingkah laku orang yang mereka rapat dan sayang.

#5. Sentiasa Memantau Anak Anda

Hidup dengan zaman yang canggih ini, banyak menuntut komitmen. Anak-anak mudah terpengaruh dengan anasir negatif apatah lagi sekarang televisyen di rumah juga turut memaparkan tontonan yang tidak sesuai. Oleh itu, sentiasalah memantau segala aktiviti anak-anak dengan cara terbaik tanpa membuat mereka rasa terkongkong.

#6. Ajar Anak Untuk Mudah Memohon Maaf

Setiap kali anak-anak melakukan kesilapan, ajar mereka untuk terus meminta maaf dan tidak mengulang kesilapan tersebut. Jangan biarkan anak melakukan kesalahan tanpa ada rasa tanggungjawab terhadap kesilapan tersebut.

Menjadi ibu bapa menuntut anda untuk mempunyai kesabaran yang tinggi apatah lagi jika mempunyai anak yang ramai. Mendidik anak-anak bukanlah sesuatu yang mudah tetapi tidak mustahil anda tidak boleh melakukannya dengan usaha yang tanpa henti. Jangan pernah berputus asa dalam mendidik insan yang kita sayang kerana pada akhirnya usaha-usaha itu tetap akan membuahkan hasil.

Semoga dengan tips dan nasihat ini ia amat berguna kepada Mommy dan Daddy. Selain tips dan panduan cara azan bayi ini, Mommy boleh juga dapatkan tips penjagaan bayi baru lahir dan panduan-panduan keibubapaan menarik yang lain DI SINI!