Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Cara Banyakkan Susu Badan Secara Tradisional (Petua Ibu-Ibu Secara Turun Temurun!)

Kredit Foto: Adobe Stock

“Haih susu semakin berkurang dan tak pekat, macam mana ni?” Mama pasti runsing apabila susu semakin berkurangan bukan?

Kalau sebelum ini kita sudah kongsikan mengapa susu badan ibu yang menyusu sering berkurangan, dalam entri kali ini, saya ingin kongsikan pula petua tradisional yang sering digunakan untuk menambah susu badan.

10 Cara Banyakkan Susu Badan Secara Tradisional Yang Sering Diamalkan 

1) Cekur Manis

Highlighted

Kredit Foto: Google Image

Cekur manis atau digelar pucuk manis merupakan antara salah satu cara banyakkan susu badan secara tradisional. 

Mengikut petua, Mama perlu menghancurkan daun cekur manis dan tampalkan pada payudara Mama. Kemudian, biarkan ia kering selama beberapa minit dan basuh dengan bersih. 

Ramai ibu yang telah mencuba petua ini dan mengatakan bahawa cara ini memang berkesan buat mereka. Jadi, jika Mama mahu cuba, ikutkan sahaja cara yang di atas. 

2) Kacang Tanah

Kredit Foto: Google Image

Mengikut fakta, kacang tanah kaya dengan protein, zat besi, vitamin E, kalsium, vitamin B kompleks, dan fosforus. 

Menariknya, kacang tanah mempunyai protein yang lebih tinggi daripada kacang soya, daging, dan telur!

Selain itu, kelebihan kacang tanah ini dikatakan mempunyai jumlah amino asid yang tinggi dan ini amatlah bagus terutamanya dalam menambah susu badan buat ibu yang baru melahirkan bayi.

Tapi, sekiranya Mama atau bayi anda mempunyai alahan terhadap kacang tanah, jangan cuba petua ini ya! Takut memudaratkan anda dan si manja pula nanti.

3) Air Longan

Kredit Foto: Google Image

Longan kering selalunya boleh dibeli di pasaraya terdekat atau di kedai ubat cina. Apa yang Mama harus lakukan? 

Mudah sahaja. Mama perlu rebus segenggam longan kering yang telah dibasuh bersih dengan 3 cawan air sehingga kembang. Kemudian, Mama hanya perlu minum sahaja airnya. 

Dalam perubatan tradisional Cina, air longan ini dikatakan dapat memberi ketenteraman dan ketenangan jiwa, terutamanya buat Mama yang tertekan selepas melahirkan bayi. 

4) Jintan Hitam dan Halba 

Kredit Foto: Google Image

Mesti nama dua rempah ini tidak asing lagi bagi Mama bukan? Terdapat beberapa jenis rempah yang biasa digunakan dalam masakan boleh diadaptasikan sebagai cara banyakkan susu badan secara tradisional.

Antara rempah yang paling terkenal ialah halba. Mana nak cari rempah halba ni?

Jangan risau, halba boleh didapati di kedai runcit atau pasaraya yang berdekatan.

Mama hanya perlu cucikan halba tersebut dengan bersih, keringkan, kemudian simpan dalam sebuah bekas bertutup.

Antara kaedah yang paling sesuai untuk mengambilnya sebagai salah satu cara banyakkan susu badan secara tradisional dan tidak memudaratkan apendiks anda ialah dengan merendamkan sesudu halba dalam segelas air panas selama 15 minit. 

Kemudian, pastikan Mama tapis dan minum airnya sahaja. Untuk jintan hitam (habbatus sauda), Mama hanya perlu lakukan teknik dan cara yang sama. Mudah bukan petua ni? 

5) Bunga Melur

Kredit Foto: Google Image

Bagi masyarakat melayu atau mengikut petua tradisional, antara kegunaan bunga melur ini adalah untuk menambahkan air susu ibu. Bagaimanakah cara untuk melakukannya? 

Caranya mudah sahaja. Daun bunga melur digiling hingga halus dan tampal di sekeliling payudara pada waktu pagi sebelum mandi. Kemudian, cuci bersih bahagian tersebut sebelum menyusukan bayi.

6) Lobak Putih

Kredit Foto: Google Image

Eh, boleh ya gunakan lobak putih sebagai cara banyakkan susu badan secara tradisional?

Boleh Mama. Hanya dengan menjamahnya seperti ulam, Mama tidak perlu masak pun lobak putih dan boleh makan begitu sahaja!

Namun, jika Mama lebih selesa untuk masak lobak putih tersebut, Mama boleh gunakan cara dibawah. 

  1. Buang kulit lobak putih dan hiris halus-halus.
  2. Tambahkan hirisan bawang dan letak sedikit kicap serta garam.

7) Pucuk Betik

Kredit Foto: Google Image

Untuk petua seterusnya, Mama perlu minum air rebusan daun betik muda untuk melancar dan menambahkan susu bagi ibu-ibu yang menyusui bayi mereka dengan susu badan. 

Mama hanya perlu rebus beberapa helai daun betik yang sederhana muda. Paling penting sekali bagi mendapat keputusan yang optimum, air rebusan tersebut hendaklah diminum dua hingga tiga kali sehari.

8) Tuaman Daun Sirih

Kredit Foto: Google Image

Daun sirih ini juga petua yang harus disapukan pada buah dada. Mama harus sapukan sedikit minyak kelapa pada daun sirih. Kemudian, layurkan pada api sehingga layu. 

Setelah suam, tekapkan pada buah dada. Jangan lupa untuk lakukan petua ini setiap hari sehingga susu badan Mama bertambah!

9) Jantung Pisang

Kredit Foto: Google Image

Sedap kan jantung pisang? Seperti yang kita tahu, jantung pisang bukan sahaja sedap dimakan, ia juga berkesan dalam menambahkan susu badan bagi ibu yang mengalami kekurangan susu badan. 

Untuk tambahkan susu, Mama boleh masak resipi jantung pisang yang dicelur bersama sambal belacan, dibuat kerabu atau dibuat gulai masak lemak cili api.

10) Kurma

Kredit Foto: Google Image

Seperti yang diketahui, zat besi dan kalsium yang terdapat di dalam buah kurma merupakan sumber mineral yang terbaik dalam menambahkan susu ibu. 

Bagi ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu, sangatlah digalakkan untuk minum susu kurma atau makan kurma sebagai snek di dalam rutin pemakanan Mama untuk menambah kuantiti susu badan.

Zikir-Zikir dan Doa Yang Boleh Diamalkan Bagi Menambah Susu Badan (Bagi Yang Muslim)

  • Berzikir dgn kalimah Ya Matin (Maha Sempurna KekuatanNya) sebanyak 70 kali setiap hari. Waktu yang paling mustajab adalah pada waktu malam dan subuh. Mama juga boleh bacakan zikir tersebut dan hembuskan ke dalam segelas air dan kemudian diminum air tersebut. 
  • “Ya Allah, permudahkanlah segala urusan kehidupanku, banyakkanlah susuku untuk bayiku, dan permudahkanlah perjalananku untuk menyusukan anakku agar menuruti segala yang telah Engkau syariatkan. Amin.”
  • Membaca selawat dan bismillah sebelum menyusukan bayi.
  • Bacakan surah Al Baqarah ayat 60. Kemudian, letakkan tangan pada payudara, usap, dan doa dalam hati semoga Allah murahkan rezeki anak kita dan supaya kita mampu keluarkan susu yang cukup pada anak kita hingga sekurang-kurangnya umurnya 2 tahun.

Semoga cara banyakkan susu badan secara tradisional ini dapat membantu Mama dan pemakanan si manja Mama. 

Jangan lupa untuk sendawakan bayi dengan betul ya Mama selepas menyusu.

Ingat, dalam kita mengamalkan petua tradisional, kita haruslah merujuk nasihat doktor bagi penjelasan yang lebih baik. Selamat mencuba!

Sumber: Diari Aishah