Ibu, Bayi & Kanak Kanak

10 Cara Banyakkan Susu Badan: Tips #5 Sangat Membantu!

Semua ibu hamil faham akan kebaikan dan khasiat memberi susu badan kepada bayi. Jadi tak hairanlah, ramai yang mahu berusaha sedaya-upaya untuk memastikan si bayi tercinta mendapat susu badan yang mencukupi semasa di awal peringkat tumbesaran. 

Highlighted


Namun, di sebalik niat dan azam yang murni itu, pasti ramai juga yang risau sama ada susu yang dibekalkan untuk anak mencukupi atau tidak. Tak kurang juga yang gusar dan tidak tenang apabila mendapati dirinya kurang menghasilkan susu badan untuk bayi.  

Tambahan pula bila bayi menunjukkan tanda-tanda seperti tidak puas menyusu. Antara tanda-tandanya ialah apabila bayi mula merengek dan tidak gembira setiap kali selepas penyusuan, sering terganggu dari tidur kerana kelaparan dan berat badan yang tidak bertambah dengan ketara seperti bayi biasa.  

Sebab Utama Susu Badan Berkurangan

Sebenarnya, masalah kurang susu badan ini adalah suatu masalah yang bersifat sementara. Ada beberapa faktor yang menyebabkan susu badan ibu berkurang. Antara sebabnya ialah:

1. Faktor Emosi

Rasa resah, tertekan malah berasa malu pada diri sendiri dan orang sekeliling boleh mengganggu sistem badan berfungsi, termasuklah proses penghasilan susu badan. Ia akan menyebabkan susu berkurangan.

Kredit BBRFoundation

2. Faktor Kesihatan

Ibu yang menghidapi darah tinggi kerana kehamilan, diabetes, dan sindrom polycystic ovarian (atau PCOS) mungkin tidak dapat menghasilkan susu badan yang banyak seperti ibu normal yang lain.

Selain itu, mereka yang terpaksa mengambil ubat alahan, ubat sinus dan pelbagai jenis hormon mengawal kelahiran juga akan menghasilkan susu badan yang kurang.  

3. Tabiat yang Kurang Sihat

Ibu yang sedang menyusu badan digalakkan untuk tidak merokok dan meminum alkohol. Rokok dan alkohol akan memberi kesan terhadap penghasilan susu badan. Ibu yang terlalu berkerja keras dan tidak mendapat rehat yang cukup juga boleh mengakibatkan susu badan yang terhasil kurang dari normal. 

Penghasilan susu badan sebenarnya adalah berkaitan dengan pembekalan (supply) dan permintaan (demand). Lagi banyak ‘permintaan’ maka lebih banyaklah penghasilan susu badan. Jadi, apakah cara terbaik untuk banyakkan susu badan si ibu?

Cara Banyakkan Susu Badan

#1 Teknik susuan yang betul

Kerap kita mendengar luahan ibu yang berasa sakit ketika menyusukan anak. Ini terjadi kerana teknik dan posisi ibu dan bayi yang salah ketika menyusu. Teknik yang betul membuatkan penyusuan lebih selesa dan tidak sakit. 

Semasa menyusu, pastikan dada dan perut bayi direhatkan rapat ke badan ibu supaya kepala bayi menghadap lurus ke muka ibu, bukan ke sisi. Mulut bayi hendaklah terbuka luas dan memuatkan payudara dan bukan sekadar puting sahaja. Ibu boleh melihat dan mendengar bayi menyusu dengan selesa adalah tanda teknik susuan yang betul. 

Ini merupakan antara cara banyakkan susu badan yang sangat digalakkan untuk ibu-ibu. 

#2 Kerap menyusukan bayi mengikut keperluannya

Kredit: India Today

Seperti yang kita sedia maklum, penghasilan susu badan adalah mengikut permintaannya. Ini bermakna, lebih kerap kita menyusukan bayi, lebih banyak susu akan dihasilkan oleh badan kita.

Kerap menyusu akan membuatkan badan menghasilkan lebih banyak susu. Bagi bayi berusia satu hingga dua bulan kebiasaannya akan menyusu 7 hingga 9 kali sehari.

#3 Menyusu kedua-dua belah

Orang tua-tua dahulu selalu mengingatkan ibu yang menyusu untuk tidak hanya menyusu di sebelah bahagian sahaja, tetapi hendaklah menyusu kedua-dua belah.

Seperti yang ditekankan, susu akan lebih banyak jika ada permintaan, jadi dengan menyeimbangi penyusuan kedua-dua belah payudara bermakna akan lebih banyak susu akan dihasilkan. 

#4 Panaskan payudara sebelum menyusu serta betulkan puting

Persediaan sebelum hendak menyusu membantu badan menjadi produktif untuk menghasilkan lebih banyak susu badan. Tuamkan sekeliling payudara sebelum penyusuan serta pastikan puting di posisi betul dan tidak tersembunyi. Ini membantu bayi untuk menyusu dengan lebih selesa dan puas. 

#5 Memerah susu badan dengan kerap dan teknik betul

Bagi ibu-ibu yang sudah mula bekerja, jangan sekali-sekali ‘membazirkan’ nikmat badan yang mampu menghasilkan susu dengan sia-sia. Jangan berhenti menyusu walau tidak dapat bersama 24-7.

Perahlah susu badan dengan kerap dan simpan sebaiknya dengan mencuba tips penyimpanan susu ibu disini. Malah, anda sudah boleh mula memerah semasa cuti berpantang lagi. 

Perah susu dengan menggunakan teknik dan urutan yang betul. Gunakan pam pemerah susu yang baik dan dapat mengepam serta mengurut sekaligus.

#6 Perbanyakkan minum air masak

Walaupun para saintis bersetuju yang ibu yang menyusu badan tidak perlu risau akan kehilangan air dari badan akibat menyusu, minum air masak bukanlah sesuatu yang akan memudaratkan.

Susu badan mengandungi 90% air dan dengan menyusukan anak, mungkin ibu akan berasa hidrasi dan kekurangan air. Jadilah, tabiat perbanyakkan minum air masak, tanpa kandungan gula, adalah baik untuk badan yang sihat.

#7 Rehat secukupnya

Rutin menjadi ibu kepada bayi kecil memang agak memenatkan. Rehatlah dengan secukupnya. Dapat bantuan pasangan anda atau orang lain, jika perlu.

Tidur dan rehat yang mencukupi membantu badan untuk menghasilkan jumlah susu yang lebih banyak daripada tubuh badan yang keletihan. Badan yang lemah juga cenderung untuk dijangkiti penyakit dan mengganggu penghasilan susu. 

#8 Tenangkan minda dan berfikiran positif

Kredit Unicef

Selain dari rehat yang cukup untuk kesihatan fizikal, minda ibu juga memainkan peranan penting sehingga boleh mencorakkan penghasilan susu badan.

Hati yang resah, minda yang muram akan mengurangkan penghasilan susu badan. Sebaliknya, jiwa yang tenang dan minda yang berfikiran positif membantu menghasilkan susu badan dengan lebih banyak. 

#9 Makan makanan yang berkhasiat

Secara semulajadinya, ada banyak makanan yang berkhasiat dan membantu perbanyakkan susu badan. Antaranya ialah

  • oat dan bijirin
  • kekacang dan buah-buah kering seperti tamar
  • bijan
  • biji halba
  • sayuran berdaun hijau seperti bayam
  • lobak putih & merah
  • kacang soya
  • ulam-ulaman dan rempah-ratus
  • madu
  • bawang putih
Kredit: mom365

#10 Mengambil vitamin, suplemen atau milkbooster

Hari ini, ada banyak makanan suplemen, vitamin dan milkbooster yang boleh dibeli dan diamalkan bagi ibu yang mempunyai kekangan masa dan lebih selesa mengambilnya.

Kebanyakan vitamin, suplemen dan milkbooster ini adalah hasil kajian makmal setelah mengadunkan semua bahan-bahan semulajadi yang boleh membantu menambahkan susu badan. 

Asid folik sangat baik untuk menghasilkan susu dalam badan. Selain mulitivitamin yang lengkap yang boleh ibu amalkan, ada juga biskut dan susu milkbooster yang dihasilkan untuk membantu ibu dalam percubaah unutk perbanyakkan hasil susu badan.

Kredit Firstcry Parenting

Sebenarnya, dengan niat yang ikhlas, azam yang tekad dan disertakan dengan amalan yang betul dan sihat, menyusu badan bukanlah sesuatu yang membebankan. Ibu juga boleh belajar daripada petua tradisional. Ambillah peluang untuk dua tahun terawal kelahiran bayi ini untuk ibu menyusu badan. Semoga dipermudahkan untuk para ibu melaksanakan tanggungjawab ini.