Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Ketahui Cara Bayar Saman Online Dengan Cekap dan Mudah Melalui Portal ‘MyBayar Saman’

Kredit gambar: Adobe Stock

Ingat tak waktu baru mula-mula belajar memandu dulu? Kadang-kala rasa takut nak bawa laju-laju, kan? Sekarang bila dah lebih yakin, terlebih laju sampai kena saman! Jangan risau, Min nak kongsikan cara bayar saman online yang mudah dalam entri ini.

Sekarang nak bayar saman tak perlu beratur panjang-panjang di kaunter! Seperti kebanyakan perkhidmatan lain, urusan atas talian lebih cepat, mudah, dan cekap. Jimat masa, wang, dan tenaga.

Highlighted

Kredit gambar: Utusan Digital

Kalau Mommy atau Daddy masih ada saman PDRM yang tertunggak, ia tentulah perlu dibayar. Meninggalkan saman yang belum dijelaskan boleh mengakibatkan anda disenarai hitam tau!

Dengan membayar saman secara online, tiada caj tambahan pun yang dikenakan. Mommy pernah dengar tentang ‘MyBayar Saman‘?

Untuk membayar saman secara online, Mommy atau Daddy hanya perlu mendaftarkan diri di portal ini. Kemudian anda boleh buat terus bayaran menggunakan FPX (Financial Process Exchange).

Ini adalah kaedah pembayaran atas talian menggunakan bank sendiri.

Jom tengok macam mana untuk daftar diri di portal ini.

Cara Bayar Saman Online Melalui Portal ‘MyBayar Saman’

Cara Pendaftaran

1. Pergi ke laman ‘MyBayar Saman’ (https://mybayar.rmp.gov.my) untuk daftar. Klik butang ‘Daftar‘.

2. Pilih ‘Individu’ dan masukkan maklumat pengguna seperti nama penuh, nombor MyKad, alamat penuh, dan emel.

3. Masukkan nombor telefon bimbit untuk mendapatkan pengesahan OTP (one-time password).

4. Selepas pengesahan identiti berjaya, cipta kata laluan yang dijamin selamat untuk menyempurnakan pendaftaran. Kemudian pangkah/tandakan kotak untuk menyatakan anda setuju dengan terma dan syarat perkhidmatan ini.

5. Setelah pendaftaran berjaya, anda akan dibawa ke skrin log masuk secara automatik. Maklumat akaun anda dihantar ke emel yang didaftarkan dan ID pengguna ialah nombor MyKad yang didaftarkan.

Log Masuk

1. Untuk log masuk, masukkan ID Pengguna iaitu nombor kad pengenalan serta kata laluan yang dicipta tadi. Klik butang ‘Log Masuk’.

2. Setiap tunggakan saman akan dipaparkan di ‘dashboard’ anda. Jika anda tiada tunggakan sama, ia akan kelihatan seperti berikut.

Jika anda mempunyai beberapa saman tertunggak, ia akan kelihatan seperti berikut.

Cara Bayar Saman Online

1. Untuk membayar saman tertunggak anda, tandakan saman yang ingin dibayar yang terletak di sebelah kiri nombor kenderaan. Anda boleh memilih lebih daripada satu saman untuk dibayar bersama.

2. Setelah memilih saman-saman untuk dibayar, anda akan dibawa ke halaman untuk membayar. Pertama, pastikan butiran pembayar dan senarai saman adalah betul.

3.  Kemudian, pilih jenis pembayaran yang diingini sama ada melalui perbankan atas talian atau kad kredit. Kemudian tekan butang ‘Bayar RMXXX’.

4. Anda akan dibawa ke halaman perbankan untuk melengkapkan pembayaran. Anda akan diberitahu jika status pembayaran anda berjaya seperti berikut.

Mudah saja, kan? Kalau semua saman tertunggak sudah dibayar, lega rasanya!

Cara Bayar Saman Online Untuk Syarikat (Company)

Dahulu, jika ingin membayar saman untuk syarikat, anda hanya boleh membuatnya secara fizikal di Cawangan Trafik berhampiran.

Kini, anda juga boleh membayar saman online untuk syarikat di portal MyBayar Saman.

Caranya sama seperti yang digariskan di atas tadi. Cuma apa yang berbeza ialah apabila mendaftar, anda tidak perlu mengisi nombor MyKad anda.

Sebaliknya, anda perlu memilih ‘Jenis Pengguna’ sebagai “Syarikat” dan pilih ‘Pihak Berkuasa Pendaftaran’ sama ada SSM (ROC/ROB) atau Lain-lain (ROB).

Portal MyBayar Saman yang dilancarkan oleh atas inisiatif PDRM ini amat canggih sekali. Antaramuka (interface) UI/UX portal ini sangat moden dan mudah untuk dilayari, tak seperti kebanyakan portal lama lain.

Kalau anda belum daftar dan semak saman, kami sarankan anda buat secepat mungkin untuk memudahkan pengurusan pembayaran saman.

Semoga bermanfaat.