Mommy pernah atau suka masak kerang? Bagi Mommy yang baharu pertama kali ingin mencuba atau jarang memasak kerang, mungkin Mommy belum mahir cara bersihkan kerang dengan cepat dan senang.
Tetapi bagi penggemar makanan laut, terutamanya kerang dan selalu memakannya, mesti Mommy dah tahu cara bersihkan kerang dengan mudah dan cepat bukan?
Sekiranya ada di antara Mommy atau Daddy yang masih belum arif tentang bagaimana cara terbaik untuk bersihkan kerang, Min ada di sini untuk membantu anda. Jom kita lihat!
Cara Bersihkan Kerang Dengan Mudah
Berikut merupakan beberapa cara membersihkan kerang dengan pantas iaitu:
#1. Serai
Selain digunakan untuk masakan, serai juga berfungsi untuk membuang sisa kotoran yang terdapat pada kerang.
Caranya adalah dengan mengambil beberapa batang serai lalu ditumbuk sehingga ia menjadi hancur.
Kemudian, rendam dengan air bersama-sama dengan kerang, gaul sebati. Biarkan ia terendam selama selama 10 minit sebelum dicuci dan ditoskan airnya.
#2. Cara Bersihkan Kerang Dengan Pelepah Pisang
Ambil beberapa pelepah batang pisang serta daunnya. Potong kepada beberapa bahagian dan kemudian gosok pada kerang. Ulang selama beberapa kali sehingga ia bersih. Cara ini juga boleh membuatkan rasa kerang menjadi lebih enak.
#3. Daun Ubi
Daun ubi juga boleh digunakan untuk mencuci kerang. Hanya ambil beberapa helai daun ubi dan ramaskannya bersama-sama dengan kerang sehingga ia bersih.
#4. Cara Bersihkan Kerang Dengan Hampas Kelapa
Hampas kelapa juga membantu dalam proses pembersihan kerang agar ia lebih mudah dibersihkan.
Caranya, ambil hampas kelapa dan gaulkannya bersama dengan kerang. Biarkan kerang tersebut selama lebih kurang dua jam. Kerang akan kelihatan bersih dan lebih putih.
#5. Daun Betik
Selain daun ubi, anda juga boleh menggunakan daun betik untuk mencuci kerang. Ambil beberapa helai daun betik lalu diramaskan bersama dengan kerang sehingga ia menjadi putih dan bersih.
#6. Bawang Putih
Ambil beberapa biji bawang putih lalu ditumbuk sehingga halus. Kemudian gaulkannya bersama dengan kerang sehingga kerang menjadi bersih.
#7. Air Beras
Air basuhan beras juga boleh digunakan mencuci kerang dengan merendamnya.
#8. Asam Keping
Ambil kerang dan rendamkannya bersama dengan asam keping. Kerang akan menjadi lebih putih dan bersih.
#9. Serbuk Kunyit
Caranya adalah dengan memasukkan serbuk kunyit ke dalam air rendaman air kerang. Biarkan selama 10 hingga 15 minit barulah dicuci bersih.
#10. Cara Bersihkan Kerang Dengan Kapur Makan
Bancuh satu sudu kapur makan bersama dengan air ke dalam satu bekas. Kemudian, masukkan kerang yang telah dicuci ke dalamnya dan biarkannya lebih kurang 10 hingga 15 minit. Setelah itu, gaul kerang tersebut dan bilas sehingga bersih.
#11. Garam dan Air Sejuk
Mula-mula, basuh dahulu kerang tersebut dan masukkan ke dalam sebuah bekas. Kemudian, isikan bekas tersebut dengan air sejuk dan tambahkan sedikit ais untuk pastikan air tersebut kekal sejuk.
Setelah itu, masukkan garam kasar ke dalamnya dan gaul bersama-sama dengan kerang. Ulang langkah tersebut sehingga air menjadi jernih.
#12. Garam dan Cili Kering
Rendam kerang bersama dengan garam serta cili kering lebih kurang 30 minit dan kemudian bilas bersih. Semua sisa kotoran yang terdapat dalam kerang akan keluar!
Dapatkan pelbagai tips yang memudahkan aktiviti seharian Mommy yang lain di SINI.