Selain mengambil wuduk menggunakan air mutlak, terdapat cara lain yang boleh dilakukan sekiranya sumber air tidak dapat diperoleh iaitu dengan cara bertayamum.
Tayamum dari segi bahasa bermaksud qasad (mensahajakan) manakala dari segi syarak pula ia membawa maksud menyapu muka dan kedua belah tangan meliputi siku dengan debu tanah yang bersih mengikut syarat-syarat yang tertentu.
Untuk mengetahui dengan lebih lengkap berkaitan cara bertayamum, jom ikuti kupasan mengenainya melalui perkongsian ini!
Pelaksanaan Cara Bertayamum Mengikut Dalil
Keharusan untuk bertayamum ini sangat bertetapan dengan dalil dalam Al-Quran iaitu Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْٓا اِذَا قُمْتُمْ اِلَى الصَّلٰوةِ فَاغْسِلُوْا وُجُوْهَكُمْ وَاَيْدِيَكُمْ اِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوْا بِرُءُوْسِكُمْ وَاَرْجُلَكُمْ اِلَى الْكَعْبَيْنِۗ وَاِنْ كُنْتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوْاۗ وَاِنْ كُنْتُمْ مَّرْضٰٓى اَوْ عَلٰى سَفَرٍ اَوْ جَاۤءَ اَحَدٌ مِّنْكُمْ مِّنَ الْغَاۤىِٕطِ اَوْ لٰمَسْتُمُ النِّسَاۤءَ فَلَمْ تَجِدُوْا مَاۤءً فَتَيَمَّمُوْا صَعِيْدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوْا بِوُجُوْهِكُمْ وَاَيْدِيْكُمْ مِّنْهُ ۗمَا يُرِيْدُ اللّٰهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُمْ مِّنْ حَرَجٍ وَّلٰكِنْ يُّرِيْدُ لِيُطَهِّرَكُمْ وَلِيُتِمَّ نِعْمَتَهٗ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُوْنَ
Maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu hendak melaksanakan salat, maka basuhlah wajahmu dan tanganmu sampai ke siku, dan sapulah kepalamu dan (basuh) kedua kakimu sampai ke kedua mata kaki. Jika kamu junub, maka mandilah. Dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan atau kembali dari tempat buang air (kakus) atau menyentuh perempuan, maka jika kamu tidak memperoleh air, maka bertayamumlah dengan debu yang baik (suci); usaplah wajahmu dan tanganmu dengan (debu) itu. Allah tidak ingin menyulitkan kamu, tetapi Dia hendak membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmat-Nya bagimu, agar kamu bersyukur.”
(Surah Al-Maidah ayat 6)
Manakala dari Huzaifah r.a katanya, Rasulullah S.A.W bersabda:
“….dan (di antara keistimewaan yang diberikan Allah S.W.T kepada kami ialah) dijadikan bumi ini seluruhnya sebagai tempat sembahyang untuk kami, dan tanahnya pula dijadikan untuk kami sebagai alat untuk bersuci apabila kami tidak mendapat air.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Oleh itu, melalui dalil-dalil ini sangat jelas bahawa solat adalah wajib dilakukan oleh semua orang Islam walaupun sedang sakit atau dalam ketiadaan sumber air bagi mensucikan diri dari hadas kecil atau hadas besar.
Rukun Untuk Cara Bertayamum
Terdapat lima perkara dalam rukun tayamum iaitu:
- Niat tayamum
- Memindah debu tanah kepada anggota tubuh
- Menyapu seluruh muka
- Menyapu kedua tangan hingga ke siku
- Tertib
Syarat-syarat Tayamum
Berikut merupakan syarat-syarat untuk bertayamum iaitu:
- Jika tidak ada sumber air, sama ada dalam keadaan safar/dalam perjalanan ataupun tidak.
- Terdapat air tetapi dalam jumlah yang sangat terbatas iaitu air tersebut sangat diperlukan untuk tujuan lain yang lebih penting seperti untuk diminum.
- Keuzuran kerana sakit yang tidak membolehkan terkena air.
- Tayamum dilakukan setelah masuk waktu.
- Mengetahui arah kiblat yang betul sebelum melakukan tayamum.
- Menggunakan debu tanah yang suci bersih dan tidak mengandungi tepung dan kapur.
- Bertayamum untuk sekali solat sahaja.
Perkara Sunat Ketika Bertayamum
Antara perkara-perkara sunat ketika bertayamum adalah seperti berikut:
- Membaca bismillah
- Mendahulukan menyapu muka bahagian atas daripada di bahagian bawah
- Mendahulukan menyapu tangan kanan daripada tangan kiri
- Berturut-turut di antara debu pada dua tapak tangan
- Menipiskan debu pada dua tapak tangan dengan cara menepuk kedua-dua tangan tersebut
- Menjarangkan jari ketika memindahkan debu ke tapak tangan
- Membaca doa seperti membaca doa selepas wuduk
Panduan Cara Bertayamum
Berikut merupakan panduan lengkap cara bertayamum yang dianjurkan pelaksanaannya iaitu:
#1. Cari dan siapkan tanah yang berdebu dan perlu pastikan ia adalah bersih dari najis. Anda boleh menggunakan debu yang terdapat di tembok, kaca atau mana-mana tempat yang diyakini bersih.
#2. Dengan menghadap ke arah kiblat, tekapkan kedua-dua tapak tangan di atas debu tersebut dengan posisi jari-jemari bagi kedua-dua tapak tangan dirapatkan.
#3. Kemudian, tepuk kedua tapak tangan pada debu kali pertama untuk menyapu muka dimulai bismillah dan disertai dengan niat tayamum iaitu:
نَوَيْتُ التَّيَمُّمَ لِاسْتِبَاحَةِ الصَّلَاةِ للهِ تَعَالَى
Nawaytu tayammuma li istibaakhati sholati lillahi ta’ala
Maksudnya:
“Sahaja aku bertayammum bagi mengharuskan solat kerana Allah
Taala.”
Masa niat adalah ketika anda mula memindahkan debu dan sehingga menyentuh sebahagian
muka. Sapu keseluruhan muka dengan debu tersebut.
#4. Setelah selesai menyapu bahagian muka, bersihkan debu yang telah digunakan pada tapak tangan sebelum anda mengambil debu yang baharu.
#5. Kemudian, tekapkan kedua-dua tapak tangan ke debu semula, lalu tepuk perlahan kedua-dua tapak tangan ke debu pada kali kedua untuk menyapu tangan.
#6. Debu yang terdapat pada tapak tangan kiri, usapkan debu bermula dari belakang tapak tangan kanan hingga ke siku, dan pusing ke arah depan sapu pula dari siku hingga ke hujung jari.
#7. Selepas itu, buat langkah yang sama pada tangan kiri dengan menyapu debu pada tapak tangan kanan disapukan pada tangan kiri bermula belakang tapak tangan kiri hingga ke siku dan pusing ke depan dari siku hinggalah ke hujung jari.
Doa Setelah Selesai Melakukan Tayamum
Di bawah ini merupakan doa yang boleh dipanjatkan setelah selesai bertayamum dengan bacaannya seperti:
أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ، وَ أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ اجْعَلْنِي مِنَ التَّوَّابِيْنَ، وَاجْعَلْنِي مِنَ الْمُتَطَهِّرِيْنَ وَاجْعَلْنِي مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ سُبْحَانَكَ اَللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ، أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوْبُ إِلَيْكَ
Asyhadu an laa Ilaaha illalloh wahdahu laa syariika lahu. Wa asyhadu anna Muhammadan ‘abduhu wa rasuuluhu. Allahummaj’alni minat tawwaabiina, waj’alni minal mutatohhirina, waj’alni min ‘ibaadikas sholihiina. Subhanaka allahumma wa bihamdika astagfiruka wa atuubu ilaika
Maksudnya:
“Aku bersaksi tiada tuhan selain Allah semata yang tiada sekutu bagi-Nya. Dan aku bersaksi bahwa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya. Ya Allah, jadikanlah aku sebagai orang-orang yang bertaubat, jadikanlah aku sebagai orang-orang yang bersuci, dan jadikanlah aku sebagai hamba-hamba-Mu yang saleh. Mahasuci Engkau, ya Allah. Dengan kebaikan-Mu, aku bersaksi bahwa tiada tuhan selain Engkau. Dan dengan kebaikan-Mu, aku memohon ampunan dan bertaubat pada-Mu.”
Semoga dengan penjelasan mengenai cara bertayamum ini, anda akan lebih faham akan cara pelaksanaannya dan mengamalkannya di saat-sata yang diharuskan!
Terdapat pelbagai lagi panduan mengenai ibadah lain yang boleh anda pelajari dengan hanya klik di SINI!