Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Semak Cara Berwuduk Mommy Selama Ni, Apakah Betul Dan Sempurna?

Cara Berwuduk

Kredit gambar: istockphoto.com

Bila nak solat dan baca Al-Quran, sebagai contohnya, Mommy wajib untuk bersuci dan mengambil wuduk. Pentingnya wuduk ni, kalau tak betul dan sempurna, boleh menyebabkan solat kita tidak sah tau. Jadi, penting bagi kita sama-sama menyemak balik cara berwuduk kita.

Apa Itu Wuduk?

Menurut The Rohani, ‘wuduk’ membawa beberapa definisi daripada sudut yang berbeza. Dari sudut bahasa, wuduk bermaksud nama untuk sesuatu perbuatan yang menggunakan air pada bahagian-bahagian badan yang tertentu.

Dari penjelasan syara’ pula, wuduk adalah membersihkan sesuatu yang tertentu dengan perbuatan yang tertentu. Ia dihuraikan dengan cara mengambil wuduk yang dimulakan dengan niat, membasuh muka, kedua belah tangan, kepala dan kedua belah kaki berpandukan syarat dan rukun yang tertentu.

Niat Berwuduk

Sebelum meratakan air ke anggota badan, adalah lebih baik jika Mommy mulakan dahulu wuduk ini dengan niat. Seperti yang dikongsikan oleh Aku Islam, berikut adalah niat untuk berwuduk:

Highlighted

Kredit gambar: akuislam.com

Maksudnya: Sahaja aku mengangkat hadas kecil kerana Allah Taala

Sebaik sahaja air mengena pada kulit muka, niatkanlah di dalam hati dan sunat jika dilafazkan dengan lisan. Tetapi jika Mommy ambil wuduk dimulakan dengan membasuh tangan, boleh niat terus pada waktu ini ya.

Cara Berwuduk, Langkah Demi Langkah

Telah dinyatakan dalam Al-Quran, Surah Al-Maidah, ayat keenam:

يَا اَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا اِذَا قُمْتُمْ اِلَى الصَّلاَةِ فَاغْسِلُوْا وُجُوْهَكمْ وَاَيْدِيَكُمْ اِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوْا بِرُؤُوْسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ اِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu akan mendirikan solat maka basuhlah muka kamu dan tangan-tangan kamu hingga siku-siku kamu dan sapulah kepala kamu serta (basuhlah) kaki-kaki kamu sehingga ke kedua mata kaki”.

Yang telah diperintahkan oleh Allah S.W.T. dalam kalamNya di atas adalah perintah yang wajib untuk wuduk. Tetapi selain daripada itu, ada beberapa perbuatan lain yang sunat untuk kita lakukan.

Jom, kita cuba laksanakan yang terbaik:

#1. Mulakan wuduk dengan bacaan bismillah dan niat

Kredit gambar: akuislam.com

#2. Basuh kedua-dua belah tangan sehingga ke paras pergelangan tangan sebanyak 3 kali

Kredit gambar: akuislam.com

#3. Masukkan air ke dalam mulut dan berkumur sebanyak 3 kali

Kredit gambar: akuislam.com

#4. Sedut air ke dalam lubang hidung dan keluarkannya. Ulangi sebanyak 3 kali juga

Kredit gambar: akuislam.com

#5. Kemudian, basuh seluruh kawasan muka termasuk anak rambut dan rambut di kawasan jambang sebanyak 3 kali

Kredit gambar: akuislam.com

#6. Teruskan dengan membasuh kedua belah tangan sehingga ke paras siku sebanyak 3 kali

Kredit gambar: akuislam.com

#7. Basuh bahagian kepala terutamanya di kawasan dahi dan ubun-ubun

Kredit gambar: akuislam.com

#8. Wuduk diteruskan dengan membasuh telinga di bahagian dalam dan luar sebanyak 3 kali. Masukkan jari telunjuk ke dalam lubang telinga dan letakkan ibu jari di belakang cuping telinga, tolakkan ke atas.

Kredit gambar: akuislam.com

#9. Akhiri wuduk dengan membasuh kedua-dua belah bahagian kaki sehingga ke paras buku lali sebanyak 3 kali

Kredit gambar: akuislam.com

#10. Baca doa selepas wuduk

Kredit gambar: Facebook @Mingguan Wanita

Meskipun pendek doanya, keutamaan doa selepas wuduk ini amatlah besar. Berwuduklah dengan tertib dan teliti ya Mommy. Jika tergopoh-gapah, risau kita tak perasan air tidak mengena di celah-celah anggota badan.

Hukum Berwuduk

Berikut adalah sabda Rasulullah S.A.W. yang telah dikongsikan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan:

إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلاَةِ فَأَسْبِغِ الْوُضُوءَ

Maksudnya: “Apabila engkau hendak bersolat berwudhu’lah dengan sempurna” – Riwayat al-Bukhari (5897) dan Muslim (397)

Memperelokkan dan menyempurnakan wuduk adalah dituntut dalam agama Islam. Hukum berwuduk ni tertakluk kepada tujuan ia diambil.

Seperti yang dikongsikan oleh The Rohani, berikut adalah beberapa contoh hukum wuduk untuk panduan Mommy:

Hukum berwuduk adalah wajib untuk:

  • Ibadat tertentu yang dimulakan dengan niat seperti solat fardhu, untuk memegang Al-Quran dan buku yang mengandungi surah Yasin.
  • Tawaf Ka’bah

Manakala, hukumnya adalah sunat untuk:

  • Mandi wajib
  • Ketika sedang marah
  • Duduk di dalam masjid
  • Hendak tidur
  • Baca al-Quran, hadis dan buku
  • Melaungkan azan
  • Usung jenazah

Cara Berwuduk Yang Betul Dan Sempurna

Mommy hendaklah teliti dalam mengambil wuduk. Hadirkan hati dan niat dengan betul. Lakukanlah wuduk dengan tertib sambil memohon doa kepada Allah S.W.T. di dalam hati.

Moga-moga, Allah menerima usaha kita dan mengurniakan kita ganjaran yang istimewa. InsyaAllah.